CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, December 17, 2008

MU'AMALAT - WAQAF (BAB 11)

WAQAF

MUQADDIMAH

Setiap individu muslim sama ada miskin ataupun yang kaya perlu menyedari bahawa kehidupan di dunia ini sementara cuma. Harta benda yang diperolehi hanyalah amanah dari Allah yang dianugerahkan oleh Nya kepada hamba-hambaNya. Justeru, individu terbabit disamping memikirkan tentang kesenangan hidup di dunia dan di akhirat untuk kebaikan dirinya sendiri, sewajarnya memikirkan tentang nasib kehidupan orang lain dan umat Islam yang lain, yang mungkin berada dalam kesempitan dan serba-serbi kekurangan.

Oleh sebab itulah, mereka yang beriman dan berharta walaupun sedikit akan berfikir tentang tujuan dan matlamat harta benda yang diperolehinya itu untuk digunakan ke arah kebajikan, terutama dalam hal mencari keredhaan Allah. Sebagaimana berlaku di zaman Rasulullah s.a.w., ramai di kalangan para Sahabat baginda yang kaya-raya dan mempunyai kemewahan berlumba-lumba di dalam membantu dakwah baginda contohnya seperti Abdul Rahman bin ‘Auf yang telah menyedekahkan hartanya untuk tujuan kebaikan. Dalam Islam ada banyak cara dan kaedah untuk menyumbangkan harta ke arah kebajikan terutama untuk tujuan kemuslihatan umum dan pembangunan masyarakat Islam. Salah satu caranya ialah dengan menggunakan harta untuk Fi Sabilillah termasuk WAQAF.

Sebagaimana Firman Allah (Surah al-Baqarah : 261) ;
Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai. Tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaanNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Sabda Rasulullah s.a.w ;
Sesungguhnya perkara yang didapati oleh seseorang mukmin daripada amalannya dan kebaikansetelah ia meninggal dunia ialah, Ilmu yang disebarkannya, atau anak yang soleh yang ditinggalkannya, atau al-Qur’an yang diwariskannya, atau masjid yang dibinanya, atau rumah untuk Ibnu Sabil yang dibinanya, atau sungai yang dialirkannya, atau sedeqah yang dikeluarkannya daripada hartanya ketika ia sihat dan hidupanya. Semuanya akan didapati pahalanya setelah ia meninggal dunia.” [HR Ibnu Majah]


PENGERTIAN WAQAF

Asal perkataan waqaf pada bahasa bererti berhenti atau menahan.
Manakala Waqaf pada istilah syara’ ialah menahan harta yang tertentu yang boleh diambil manfaat daripadanya, serta kekal ainnya (dirinya) untuk dipergunakan pada jalan kebajikan dengan niat mendampingkan diri kepada Allah dan tidak akan dilakukan jualbeli atau hibbah atau sebagainya terhadap harta tersebut.

Contohnya : Ahmad berkata, “Aku waqafkan kebun kepunyaanku ini untuk anak-anak yatim.” Dengan demikian, kebun atau tanah itu telah tertahan, tidak boleh dijual, tidak boleh dihadiahkan, tidak boleh dihibbahkan, tidak boleh disewakan dan sebagainya, kerana kebun tersebut telah menjadi milik Allah. Manakala manfaat kebun atau tanah itu hendaklah dipergunakan untuk anak-anak yatim dan ia tidak boleh digunakan untuk selain daripada kegunaan anak-anak yatim itu.

Di antara unsur-unsur terpenting daripada waqaf ;
1. Ia menghadkan kuasa tuan punya harta itu dari terus berkuasa dengan sepenuh hati.
2. Ia adalah suatu sedeqah yang berjalan berterusan, harta yang diwaqafkan itu adalah kekal sifat dan zatnya.
3. Ia mestilah ada pihak atau tempat yang tertentu yang menerimanya dan bukan yang tidak diketahui.
4. Dapat diambil manfaat daripada harta itu mengikut lunas-lunas syara’.
5. Hanya faedah daripada harta itu saja yang boleh diambil dan dinikmati, manakala zatnya adalah menjadi milik Allah yang kekal.


HUKUM WAQAF

Menurut pendapat Jumhur Ulama’ (selain dari Hanafiah), waqaf ini hukumnya adalah SUNAT, dianggap sesuatu amal soleh dan sangat digalakkan dalam Islam. Ganjaran pahalanya berpanjangan bukan pada masa hidup sahaja malahan berterusan pahala atau ganjarannya selagi waqaf itu ada dan masih dipakai sehingga hari kiamat.

DALIL KEHARUSAN WAQAF

1. Firman Allah (Surah ali Imran : 92) ;
Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kepada kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai, dan apa-apa yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui .”

2. Firman Allah (Surah al-Baqarah : 267) ;
Wahai mereka yang beriman, hendaklah kamu nafkahkan (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya.”

3. Firman Allah (Surah al-Hijr : 77) ;
Serta kerjakanlah amal-amal kebajikan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

4. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda ;
Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedeqah jariah (waqaf), atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakannya (kedua ibu bapanya).“ [HR Muslim]

5. Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. berkata, Sayyidina Umar al-Khattab r.a. mempunyai sebidang tanah di Khaibar. Maka dia datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. meminta kebenaran padanya, lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah, saya mempunyai sebidang tanah di Khaibar, itulah satu-satu harta yang itdak pernah saya usahakan.” Maka jawab baginda, “Jika engkau hendak (waqafkan), waqafkanlah dan engkau sedeqahkan.” Lalu Umar r.a. menyedeqahkannya. Sesungguhnya tidak boleh dijualkan asalnya (tanah itu), juga tidak boleh dipusakai dan dihibahkan kepada orang lain.
[HR Bukhari dan Muslim]

6. Hadith Rasulullah s.a.w. - Daripada Abi Hurairah r.a. berkata ;
Rasulullah s.a.w. telah menghantar Umar untuk memungut sedeqah ...... dan adapun Khalid, maka sesungguhnya dia telah pun mewaqafkan baju rantainya untuk digunakan pada Sabilillah (sebagai alat kelengkapan perang).” [Muttafaqun ‘Alaihi]


HIKMAT DISYARIATKAN WAQAF

Waqaf ini adalah merupakan satu khususiah dan keistimewaan yang diberikan kepada umat Islam tidak diberi kepada umat-umat sebelumnya. Berkata Imam an-Nawawi - Waqaf itu adalah satu perkara yang dikhususkan kepada kaum muslimin. Berkata Imam as-Syafi’ie - Setahuku tidak pernah orang-orang Jahiliah mewaqafkan rumah dan tidak juga tanah mereka. Dan mula-mula sekali orang yang mewaqafkan hartanya di dalam Islam ialah Sayyidina Umar bin al-Khattab.

Hikmat dan rahsia disyariatkan Waqaf di dalam Islam ini sebenarnya banyak, di antaranya ialah ;

1. Berwaqaf itu adalah salah satu daripada amal jariah, amalan manusia yang berkekalan pahalanya sekalipun waqif (orang yang berwaqaf) itu telah mati selagi mauquf (barang yang diwaqafkan) itu masih ada.

2. Kebaikan bagi orang yang mewaqafkan ialah dia terus mendapat pahala daripada waqaf tersebut, meskipun dia sudah meninggal dunia, dan dia juga dikenang oleh orang yang hidup sebagai orang pemurah dan baik hati.

3. Kebaikan bagi pihak yang menerima waqaf pula ialah dapat menggunakan manfaat barang yang diwaqafkan secara percuma dan berterusan selagi tidak menyalahi tujuan yang dimaksudkan oleh pemberi waqaf.

4. Sebagai salah satu cara untuk mendampingkan diri lebih hampir kepada Allah, bukan sahaja untuk berbuat kebaikan dan amal kebajikan di dunia dengan niat untuk mendapatkan keredhaan Allah, malahan memperolehi ganjaran pahala dan pembalasan yang setimpal di akhirat kelak.

5. Sebagai salah satu cara untuk menolong manusia dan golongan tertentu. Terutama kepada golongan fakir yang lemah dan kurang bernasib baik, maka apabila diwaqafkan kepada mereka sesuatu benda atau barang, mereka boleh berusaha untuk memanfaatkannya sebaik mungkin dengan bantuan yang diberikan.

6. Menerusi waqaf dan pembangunan harta waqaf merupakan satu cara untuk membela golongan yang kurang bernasib baik, mengukuhkan ekonomi masyarakat Islam dan membangun umat yang bersatu padu dan bermaruah. Sementara bagi pihak yang kaya dan golongan berada dapat menambah ‘saham’ di akhirat kelak dengan pemberian harta waqaf yang mereka laburkan dengan niat semata-mata kerana Allah (lillahi ta’ala) sekaligus dapat menyalurkan hartabenda mereka ke arah amal kebajikan di dunia.

7. Dengan adanya sistem waqaf ini, maka terselamatlah harta benda yang diharapkan untuk mendapat pahala yang berkekalan itu dari dijual, dihibah, digadai, disewakan dan sebagainya, kerana dengan sendirinya harta waqaf tersebut sudah menjadi hak milik Allah yang kekal abadi.

RUKUN WAQAF

ê Orang yang berwaqaf
ê Orang yang menerima waqaf atau pihak tertentu
ê Sesuatu yang diwaqafkan
ê Sighah (Lafaz Waqaf)

SYARAT-SYARAT WAQIF (ORANG YANG BERWAQAF)

¥ Hendaklah seorang yang merdeka dan memiliki harta benda. Maka tidak sah waqaf yang dilakukan oleh hamba, kerana dia tidak memiliki harta, dan juga tidak sah waqaf harta orang lain dan harta yang dirampas kerana harta-harta tersebut bukan hak miliknya.

¥ Hendaklah seorang yang sempurna akal. Adalah tidak sah waqaf yang dilakukan oleh orang gila kerana mereka tidak berakal. Begitu juga tidak sah waqaf yang dilakukan oleh orang-orang yang kurang akal semulajadi, atau dengan sebab sakit atau terlalu tua.

¥ Hendaklah seorang yang sampai umur (Baligh). Maka tidak sah waqaf yang dilakukan oleh kanak-kanak sama ada yang mumayyiz ataupun belum mumayyiz, kerana baligh itu menunjukkan kesempurnaan akal dan layak untuk melakukan tabarru’.

¥ Hendaklah seorang yang cerdik. Maka tidak sah waqaf yang dilakukan oleh orang-orang yang safih (yang memboros / membazirkan harta), muflis dan orang yang pelupa.

¥ Hendaklah dilakukan dengan kerelaan hatinya sendiri, bukan dengan cara paksaan.

Tidak sah waqaf daripada kalangan kanak-kanak, orang gila, orang yang bodoh
dan mahjur alaihi dan orang yang dipaksa.

SYARAT-SYARAT MAUQUFUN ALAIHI (PIHAK YANG MENERIMA WAQAF)

MAUQUFUN ALAIHI - Orang yang menerima waqaf. Golongan yang menerima waqaf terbahagi kepada dua ;
1. Orang perseorangan atau kumpulan tertentu
2. Badan atau tempat yang tertentu

Penerima waqaf itu ada kalanya terdiri dari orang-orang yang tertentu dan ada kalanya tidak. Maka orang yang tertentu itu ada kalanya seorang, dua orang atau ramai. Sementara golongan yang tidak tertentu pula adalah seperti orang-orang fakir, ulama’-ulama’, para qari dan mujahidin, ataupun untuk masjid-masjid, rumah-rumah kebajikan, sekolah-sekolah dan sebagainya.


SYARAT BAGI PENERIMA WAQAF ORANG YANG TERTENTU

1. Penerima waqaf itu hendaklah seorang yang mempunyai keahlian boleh memiliki hartabenda. Maka tidak sah waqaf kepada hamba kerana dia tidak boleh memiliki hartabenda.

2. Penerima waqaf itu hendaklah ada semasa diwaqafkan serta boleh menerima barang atau benda yang diwaqafkan. Maka tidak sah waqaf kepada janin(anak dalam kandungan) kerana janin itu tidak boleh memiliki dan menerima barang yang diwaqafkan.

3. Hendaklah penerima waqaf itu orang yang tertentu (mu’aiyan). Maka adalah tidak sah waqaf kepada yang majhul seperti waqaf kepada seorang lelaki yang tidak ditentukan kerana waqaf itu milik yang terlaksana, bukannya yang belum jelas.

4. Penerima waqaf itu hendaklah beragama Islam. Maka tidak sah waqaf kepada orang-orang murtad dan kafir harbi kerana kedua-duanya itu wajib dibunuh, maka tiada lagi berkekalan sedangkan waqaf itu adalah sedeqah jariah.

5. Bukan pada perkara-perkara yang diharamkan, seperti waqaf bangunan untuk dijadikan gereja atau seumpamanya, kerana ia membantu kepada maksiat, sedangkan tujuan waqaf disyariatkan untuk qurbah lillahi ta’ala (mendekatkan diri kepada Allah).


SYARAT BAGI PENERIMA WAQAF YANG TIDAK TERTENTU

Hendaklah maklum dari badan-badan kebajikan dan kebaikan yang dianggap pembiayaannya itu Qurbah lillahi ta’ala (mendekatkan diri kepada Allah). Ini adalah ittifaq ulama’ untuk orang-orang Islam sahaja. Adapun yang dimaksudkan dengan disyaratkan Qurbah ialah pada pengurusnya kerana waqaf itu sendiri adalah Qurbah dan sedeqah. Oleh itu mestilah badan itu diadakan untuk tujuan tersebut, seperti untuk bantuan orang-orang fakir, pembiayaan untuk ulama’-ulama’ ataupun untun pembiayaan masjid-masjid, sekolah-sekolah, hospital, dan sebagainya.

Adalah tidak sah waqaf untuk tujuan maksiat seperti dipergunakan untuk kepentingan gereja. Tidak sah waqaf jika pihak yang menerima waqaf itu orang tertentu tetapi tidak boleh memilikinya, seperti waqaf Al-Qur’an untuk orang kafir, kerana orang kafir tidak boleh memiliki Al-Qur’an atau waqaf untuk anak yang masih di dalam perut ibunya, kerana anak itu tidak sah memiliki sesuatu pada ketika itu.

Jika sesuatu itu diwaqafkan kepada individu atau kumpulan ia disyaratkan boleh dimiliki. Tidak sah waqaf kepada anak yang masih dalam kandungan ibunya dan hamba. Waqaf untuk umum bagaimanapun tidak memerlukan adanya penerimaan. Ianya dianggap terlaksana apabila bangunan yang diwaqafkan itu dimasuki walaupun oleh seorang saja ataupun tanah perkuburan yang diwaqafkan itu mula ditanam mayat di dalamnya.


SYARAT-SYARAT MAUQUF (SESUATU BARANG YANG DIWAQAFKAN)

¥ Hendaklah barang suci, halal (mubah) dan bermanfaat serta kekal ‘ainnya. Maka adalah tidak sah waqaf makanan, kerana tidak kekal ‘ainnya bila-bila masa sahaja akan berkurangan walaupun makanan bermanfaat.

¥ Hendaklah manfaat itu harus pada syara’ sama ada manfaat itu boleh digunakan sekarang atau masa akan datang. Seperti waqaf anak lembu. Difahamkan dari syarat ini tidak sah waqaf alat permainan, duit (wang ringgit), emas dan perak untuk perhiasan, kerana alat permainan itu adalah perkara yang diharamkan, manakala duit (wang ringgit) serta emas dan perak untuk perhiasan tidak ada apa-apa tujuan pada syara’.

¥ Barang itu hendaklah hak milik dan kepunyaan sendiri. Maka tidak sah waqaf hartabenda orang lain tanpa kebenaran darinya. Walau bagaimanapun, adalah sah pemerintah mewaqafkan harta BaitulMal apabila ternyata ada muslihat (kebaikan untuk orang ramai).

¥ Milikannya itu hendaklah sempurna. Maka adalah tidak sah waqaf barang yang masih dalam masa khiyar, kerana barang tersebut belum lagi menjadi hak miliknya yang sempurna.

¥ Hendaklah barang itu maklum. Maka adalah tidak sah waqaf barang yang majhul kerana kejahilan itu membawa kepada berlaku pertengkaran.


SYARAT-SYARAT SIGHAT WAQAF

¥ Hendaklah ada menyatakan maksud waqaf itu. Sebagai contoh, “Aku waqafkan serelung bendang ini kepada persatuan orang-orang Melayu di kampung ini.”

¥ Hendaklah menyatakan untuk selama-lamanya ataupun tidak ditentukan masa. Menurut Jumhur Ulama’ adalah tidak sah waqaf sementara, kerana waqaf itu mengeluarkan harta secara qurbah, maka tidak harus dikeluarkan sehingga kepada masa tertentu. Seandainya sighah atau lafaz waqaf itu disertai dengan perkara yang menunjukkan sementara, seperti seorang lelaki yang berkata, “Aku waqafkan rumahku ini selama setahun, sebulan dan seumpamanya.” Maka waqaf ini dianggap batal.

¥ Hendaklah secara langsung, tidak bertakliq atau bersyarat. Waqaf itu terlaksana dengan serta merta tanpa takliq dengan bersyarat dan tanpa disandarkan dengan masa akan datang, kerana waqaf itu akad yang membawa kepada perpindahan hak milik dengan serta merta. Oleh itu adalah tidak sah waqaf secara takliq, sama seperti jualbeli dengan bertakliq.

¥ Hendaklah menyatakan tempat mempergunakannya yang telah ada - Menurut pendapat Ulama’ Syafi’iyah. Sekiranya seseorang yang berwaqaf berkata, “Aku waqafkan tanahku ini” tanpa menyebutkan tempat penyerahan, maka Qaul Azhar berpendapat - Batal waqaf itu kerana tidak menyebut tempat penyerahan, sementara Jumhur Ulama’ tidak mensyaratkan menyebut badan penerima.

Lafaz ijab waqaf terbahagi kepada dua jenis ;

& Dengan nyata atau soreh. Seperti seorang yang berkata, “Aku waqafkan tanahku ini untuk didirikan masjid.”

& Dengan tidak nyata. Seperti kata, “Aku kekalkan tanahku untuk orang-orang miskin.” Lafaz Kinayah ini disyaratkan dibuat dengan sesuatu niat yang khusus.


BEBERAPA HUKUM DAN PERMASALAHAN WAQAF

(1) Harta yang diwaqafkan bukan lagi menjadi miliknya, bahkan harta tersebut telah menjadi milik Allah.
.
(2) Manfaat barang yang diwaqafkan yang sudah dimiliki untuk tempat yang diwaqafkan (seseorang atau pihak yang menerima waqaf), dibolehkan bagi waqif mengambil manfaatnya untuk dirinya sendiri, dan boleh juga orang lain dengan jalan meminjam dari orang atau pihak yang menguasai waqaf tersebut.
.
(3) Sah waqaf rumah atau pohon buah-buahan yang berada di atas tanah dengan sebenar milik orang lain atau tanah yang disewakan, sekalipun kemudiannya akan diroboh atau dicabut atau ditebang selepas itu, jika ada gunanya lagi tetaplah ia menjadi milik orang yang diwaqafkan kepadanya.
.
(4) Tidak sah diwaqafkan manfaatnya (kegunaannya) sahaja seperti duduk dalam rumah sedangkan rumahnya tidak diwaqafkan kerana manfaatnya itu bukan ‘ain.
.
.
JENIS-JENIS WAQAF
Adapun tujuan waqaf adalah untuk membuat kebajikan dan berdamping dengan Allah. Ia berkekalan selagi wujudnya benda yang diwaqafkan itu. Oleh kerana berpanjangan masa, penggunaan dan tujuan asal pun turut juga berubah.
.
Fuqaha telah membahagikan jenis waqaf kepada beberapa jenis yang terbahagi pula kepada aspek yang tertentu;
.
Dari sudut penerima :
(a) Waqaf Khas - Golongan yang tertentu saja yang berhak mendapat faedah dan kegunaan dari harta waqaf itu.
(b) Waqaf Am - Ia tidak perlu ada penerimaan bahkan ia terus menjadi milik Allah. Ia dikendalikan oleh kerajaan dan diagihkan kepada saluran-saluran kebajikan tertentu, seperti waqaf untuk sekolah, waqaf untuk masjid, waqaf untuk jalan raya, waqaf untuk perumahan orang-orang miskin dan sebagainya.
(c) Waqaf Sekutu - Apabila seseorang pewaqaf mewakafkan hartanya untuk kebajikan am dan kalangan tertentu dari keluarganya.
.
Dari sudut tujuan :
(a) Waqaf Kebajikan - Tujuannya untuk kebajikan dan mendekatkan diri kepada Allah.
Jenis ini dibahagikan kepada dua penerima :
Æ Golongan khas seperti orang miskin.
Æ Badan kebajikan seperti masjid dan hospital.
(b) Waqaf Keluarga - Khusus kepada keluarga yang ditentukan oleh si pewaqaf.
.
Dari sudut waktu :
(a) Waqaf Sementara - Dikuatkuasakan dalam jangka waktu yang terhad.
Fuqaha sepakat menyatakan bahawa waqaf jenis ini tidak boleh dibuat untuk :
Æ Waqaf masjid dan tanah perkuburan.
Æ Apabila ia telah dipindah milik oleh kerajaan.
Æ Apabila ia tertakluk kepada wasiat mati seseorang pewaqaf.

0 comments: