CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, December 23, 2008

MUNAKAHAT - FASAKH [BAB 10]


FASAKH
[Membatalkan Perkahwinan]
.
PENGERTIAN FASAKH

FASAKH dari segi bahasa bererti batal atau pembatalan.

Pengertian Fasakh dari segi istilah :
Ø Pembatalan ‘aqad perkahwinan yang disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada masa ‘aqad atau disebabkan oleh kecacatan yang mendatang yang menghalang keutuhan perkahwinan dan kelangsungannya.

FASAKH - Membatalkan perkahwinan melalui kuasa Qadhi, sekiranya didapati sesuatu sebab atau kecacatan sama ada pada isteri atau suami. Oleh yang demikian pihak isteri juga pihak suami bolehlah melaporkan kepada qadhi sebab-sebab ianya menuntut fasakh.

Daripada pengertian tersebut dapat difahami bahawa ;

ÿ Fasakh berbeza dengan Talaq.

ÿ Fasakh berlaku atau dilakukan dengan dua sebab sama ada sebab yang serentak pada masa ‘aqad nikah, atau sebab yang berlaku selepas ‘aqad nikah.

ÿ Fasakh membawa akibat pembatalan perkahwinan dan berlaku perceraian di antara suami isteri.


SEBAB-SEBAB FASAKH

(A) FASAKH DENGAN SEBAB-SEBAB MUQARIN

Sebab muqarin ialah sebab yang berlaku serentak dalam masa ‘aqad nikah ;

« Selepas akad, didapati tidak menepati syarat sah nikah seperti isteri terdiri daripada perempuan yang haram dinikahi (sama ada haram dengan sebab muhrim secara keturunan, penyusuan atau persemendaan, ataupun perempuan tersebut masih isteri orang lain ataupun masih dalam ‘iddah perceraian dengan bekas suaminya).

« Anak yang dikahwinkan oleh wali semasa kecil (sama ada lelaki atau perempuan), kemudian apabila ia dewasa (baligh), ia menuntut fasakh nikah.

« Perempuan yang dewasa berkahwin dengan lelaki yang tidak setara (sekufu) tanpa izin walinya, kemudian wali menuntut perkahwinan itu difasakhkan.

« Perempuan dewasa yang berkahwin dengan lelaki dengan mas kahwin yang tidak munasabah tanpa izin wali, sedangkan suaminya pula tidak mahu membayar mas kahwin yang munasabah. Lalu wali menuntut perkahwinan itu difasakhkan.


(B) FASAKH DENGAN SEBAB KECACATAN

Antara sebab yang membolehkan fasakh ialah kecacatan yang tidak direlakan oleh salah seorang pasangan suami isteri kerana kecacatan itu boleh menghalang pencapaian tujuan asal berkahwin. Menurut mazhab Syafi’ie kecacatan yang boleh dijadikan sebab untuk menuntut fasakh ialah ;

« Gila
« Sakit kusta
« Sopak
« Halangan untuk melakukan persetubuhan seperti mati pucuk, tersumbat sebab ada ketumbuhan.
« Kecacatan disebabkan oleh mandul (impotent).

Sehubungan dengan kecacatan fizikal dalaman sama ada dari pihak suami atau isteri terbahagi kepada tiga ;

Ø Kecacatan yang melibatkan suami isteri iaitu gila (sama ada berterusan atau berkala, walaupun telah diubati), kusta dan sopak.

Ø Kecacatan yang melibatkan suami sahaja iaitu mati pucuk dan terpotong zakar.

Ø Kecacatan yang melibatkan isteri sahaja iaitu tertutup kemaluan dan ketumbuhan tulang.

Dalam kes seumpama ini, masing-masing berhak khiyar untuk memfasakhkan perkahwinan, kerana perkara yang tersebut boleh menghilangkan tujuan beristimta’ (berlazatan dalam perkahwinan).


(C) FASAKH DENGAN SEBAB YANG MENDATANG

« Salah seorang daripada suami atau isteri murtad (atau kedua-duanya sekali).

« Suami isteri yang kafir, kemudian seorang daripada suami atau isteri memeluk agama Islam, dan tidak diikuti oleh seorang lagi hingga selesai iddahnya (bagi isteri). Maka terfasakhlah nikahnya. Tetapi sekiranya yang seorang lagi mengikut memeluk agama Islam dalam masa iddah, tidaklah terfasakh nikahnya.

« Suami melakukan sesuatu yang diharamkan dalam persemendaan seperti suami melakukan wati syubhah atau berzina dengan salah seorang usul atau furu’ isteri {berzina dengan ibu mertua atau anak isteri (anak tiri suami)}. Begitu juga sebaliknya iaitu jika isteri melakukan perkara yang sedemikian.

« Dengan sebab suami menghilangkan diri bertahun-tahun lamanya dan tidak diketahui sama ada hidup atau mati. Bila berlaku hal yang demikian pihak isteri hendaklah melaporkan kepada qadhi untuk menuntut fasakh.

Sekiranya suami hilang melebihi tempoh enam bulan, isteri boleh menuntut fasakh menurut pendapat Mazhab Hanbali berdasarkan amalan Sayyidina Umar bin Al-Khattab. Sementara menurut Mazhab Maliki - tempoh selama setahun, manakala Mazhab Syafi’ie - dalam tempoh 4 tahun.

« Suami tidak mampu membiayai nafkah, tempat tinggal atau membayar mas kahwin. Apabila terdapat hal yang demikian, pihak isteri bolehlah memberitahu qadhi, dan qadhi boleh memfasakhkan nikah itu setelah diberi tempoh kepada suami untuk menjelaskannya tidak kurang dari tiga hari.


PROSES TAHLIL (PENGHALALAN NIKAH SEMULA)

Nikah yang difasakhkan tidak boleh dirujuk semula. Sekiranya bekas suami ingin hidup bersama dengan bekas isterinya semula, hendaklah dilakukan akad nikah yang baru (berserta mahar yang baru). Ini adalah berlainan dengan thalaq biasa yang mana perkahwinan boleh disambung semula selama isterinya itu masih berada dalam iddah (talaq raj’ie) kecuali perceraian yang berlaku dengan talaq tiga.

Bagi isteri yang telah dijatuhkan talaq tiga, perkahwinan dengan bekas suaminya tidak boleh disambung semula dengan rujuk atau akad yang baru sehinggalah bekas isterinya berkahwin lebih dahulu dengan seorang lelaki yang lain (suami baru) dan menjalani alam rumahtangga yang sebenar kemudian diceraikan oleh suami barunya dan isteri telah selesai menjalani iddah.


TAHLIL

Tahlil ialah menghalalkan nikah semula, iaitu setelah suami bercerai dengan isterinya dengan thalaq tiga. Isteri tersebut tidak halal dinikahi oleh bekas suaminya kecuali setelah memenuhi lima syarat berikut :

1) Hendaklah perempuan (isteri) itu menjalani ‘iddah dengan bekas suaminya yang menceraikannya hingga selesai tempoh iddahnya.

2) Perempuan itu berkahwin dengan lelaki lain (suami baru) dengan akad nikah yang sah.

3) Berlaku persetubuhan (wathi) dengan suaminya yang baru dan menjalani alam rumahtangga yang sebenar.

4) Perempuan tersebut diceraikan oleh suaminya yang kedua dengan rela hati (bukan dengan paksaan).

5) Perempuan itu menjalani ‘iddah lagi dengan suaminya yang kedua sehingga tamat tempoh ‘iddahnya.

Apabila kelima-lima syarat tersebut itu dilalui oleh bekas isterinya, maka barulah suami yang pertama boleh menikahi semula bekas isterinya (dengan mahar yang baru).

Walaupun Islam telah memberi cara untuk membolehkan suami isteri yang telah bercerai dengan talaq tiga untuk kembali semula melalui kaedah tahlil, namun Islam menetapkan bahawa perkara itu bukanlah senang dirancang seperti yang disebut sebagai ‘Cina Buta’. Perkahwinan dengan suami yang baru (suami kedua bagi bekas isteri) hendaklah merupakan perkahwinan yang sebenar, menepati hukum perkahwinan yang ditetapkan oleh Islam iaitu membina rumahtangga bahagia dan mendapat zuriat serta tidak ada perancangan untuk bercerai.

Firman Allah (Suarh al-Baqarah : 230) ;
Jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.”


ISTILAH CINA BUTA

Cina buta ialah istilah yang sering digunakan dalam masyarakat melayu tentang lelaki yang menjadi ‘pak sanggup’ untuk bernikah dengan janda yang akan diceraikannya setelah nikah semata-mata untuk membolehkan bekas suaminya yang pertama bernikah dengannya semula. Dengan erti kata yang lain, perkahwinan cina buta adalah perkahwinan sementara yang sengaja dirancang untuk membolehkan bekas suami berkahwin semula dengan janda yang ditalaq tiga. Perbuatan seumpama ini adalah dilarang oleh Islam bahkan dilaknat oleh Allah.

Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam :
Mahukah kamu aku beritahu tentang kambing yang dipinjam?” Jawab mereka (para Sahabat Rasulullah), “mahu Ya Rasulullah”. Lalu baginda bersabda, “Dia ialah muhallil (lelaki yang berkahwin sementara). Allah melaknat muhallil dan muhallil lahu (bekas suami yang mahu bernikah dengan bekas isterinya semula).” [HR Ibnu Majah]

PERBEZAAN ANTARA FASAKH DENGAN TALAQ

1. Talaq terbahagi kepada dua bahagian iaitu Talaq Raj’ie (meleraikan hubungan perkahwinan secara tidak terus-menerus) dan Talaq Ba’in (meleraikan hubungan perkahwinan terus-menerus). Fasakh pula merupakan tindakan meleraikan hubungan perkahwinan terus-menerus dan hanya boleh bersama semula setelah melakukan ‘aqad nikah dan membayar mahar yang baru.

2. Kuasa menjatuhkan talaq dan bilangannya adalah terletak pada suami. Sementara bagi fasakh pula kuasa menjatuhkannya adalah pada hakim atau qadhi atau tertakluk kepada keputusan mereka.

3. Talaq mempunyai bilangan (iaitu tiga kali) dan menjadikan bilangan talaq berkurangan, sedangkan fasakh tidak mempunyai bilangan dan tidak mengurangi bilangannya.

4. Bagi masalah talaq, isteri berhak mendapat nafkah dalam tempoh iddah, namun bagi masalah fasakh, isteri tidak berhak mendapat nafkah semasa dalam tempoh iddah.

5. Talaq adalah merupakan hak bagi suami (dalam erti kata suami yang berhak menjatuhkan lafaz talaq), sementara fasakh pula adalah hak bagi suami dan isteri, dan adakalanya ia tertakluk kepada keputusan Qadhi (mahkamah syariah).
.
KLASIFIKASI TALAQ & FASAKH

TALAQ

Dalam mazhab Syafi’ie yang digolongkan dalam talaq ;

Ø Mengeluarkan lafaz thalaq sama ada secara sorih atau kinayah.

Ø Khulu’ (Tebus Thalaq).

Ø Ila’ (suami bersumpah enggan melakukan persetubuhan dengan isteri).

Ø Perceraian melalui majlis tahkim.
.
FASAKH

¨ Suami sukar membayar mahar atau nafkah asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal setelah diperingatkan oleh hakim atau qadhi.

¨ Li’an.

¨ Perceraian yang disebabkan oleh kecacatan.

¨ Perceraian yang disebabkan salah seorang di antara suami atau isteri memeluk Islam.

¨ Perceraian yang disebabkan salah seorang murtad.

¨ Perceraian yang disebabkan tiada kesetaraan antara suami isteri.
.
PERBEZAAN ANTARA FASAKH DENGAN KHULU’

FASAKH
1. Pembatalan perkahwinan dengan kuasa qadhi atas sebab atau perkara-perkara yang berlaku dalam rumahtangga atau, syarat yang tidak dipenuhi semasa akad nikah.
.
2. Hak suami dan isteri.
.
3. Tiada bayaran tebusan.

4. Berlaku disebabkan kelemahan-kelemahan yang terdapat pada suami atau isteri.
.
.
KHULU’ (TEBUS TALAQ)

1. Isteri membuat tuntutan membebaskan diri daripada suaminya dengan bayaran atau memulangkan mahar kepada suami melalui qadhi atau mahkamah.

2. Hak isteri sahaja.

3. Ada bayaran tertentu sama ada dengan tebus talaq atau dengan memulangkan mahar kepada suami.

4. Berlaku disebabkan kelemahan suami dari sudut perangai, sifat atau fizikal, atau isteri berasa tidak ada keserasian dengan suami dan ditakuti berlaku nusyuz jika masih meneruskan perkahwinan.
.
.
BERERAPA PERMASALAHAN BERHUBUNG DENGAN FASAKH

1. Khiyar Fasakh Nikah

Khiyar fasakh nikah hendaklah dilakukan melalui mahkamah syari’ah dan bukan dilakukan dengan sesuka hati atau dipandang mudah bagi menjamin maruah dan kesucian Islam.

Keempat-empat imam mazhab telah sependapat bahawa jika suami atau isteri mengetahui ‘kecacatan’ pasangannya sama ada sebelum atau selepas akad nikah tetapi dia rela dengan kecacatan itu, maka dia tidak boleh menuntut fasakh nikahnya.

Menurut Imam Syafi’ie, tiga kecacatan atau sebab yang membolehkan khiyar fasakh nikah ialah penyakit gila, kusta dan sopak. [dan mati pucuk (al-unnah) dalam Kitab al-Raudah].

Menurut Imam Nawawi, permulaan penyakit kusta dan sopak belum membolehkan sabit khiyar. Khiyar hanya sabit apabila penyakit itu menjadi teruk iaitu pada peringkat daging terlerai bagi kusta, dan penyakit sopak yang merebak dan tidak dapat diubati lagi yang diakui oleh doktor pakar.

Bagi kes mati pucuk, pihak isteri tidak berhak khiyar fasakh dengan segera kerana isteri telah mengetahui kesanggupan suaminya melakukan persetubuhan dan dia telah menikmatinya. Masalah kedudukan mati pucuk berlainan dengan masalah terpotong kemaluan di mana harapan untuk bersetubuh telah musnah sama sekali, sedangkan kes mati pucuk masih ada harapan untuk sembuh.

Apabila telah sabit penyakit mati pucuknya, pihak qadhi hendaklah menetapkan tempioh setahun sebagaimana yang telah dilakukan oleh Umar bin al-Khattab r.a. yang telah diriwayatkan oleh al-Baihaqi. Menurut kata al-Rafi’i, inilah yang dilakukan oleh ulama’, iaitu tempoh setahun itu sangat wajar.
.
Menurut mereka, ketidaksanggupan bersetubuh itu mungkin disebabkan oleh udara panas lalu pulih pada musim sejuk, atau sebaliknya, disebabkan oleh udara sejuk lalu boleh pulih pada musim panas, dan berkemungkinan juga disebabkan oleh pelbagai faktor dan keadaan yang lain. Setelah berlalu tempoh setahun tetapi suami masih juga tidak mempunyai kesanggupan untuk bersetubuh, ini bermakna penyakit suami itu sememangnya berasal daripada kelemahannya sendiri, bukan dipengaruhi oleh faktor-faktor luar.
.
Hitungan setahun itu bermula dari masa yang telah ditentukan oleh qadhi. Pihak qadhi pula menetapkan masa itu berdasarkan tuntutan yang dikemukakan oleh isteri kepada mahkamah.
.
2. Fasakh dengan sebab penipuan
.
Jika sebelum nikah, salah seorang daripada lelaki atau perempuan menentukan syarat-syarat kepada bakal pasangan seperti bersifat baik, berharta, masih bujang atau dara, namun setelah berkahwin ternyata pasangan itu tidak mempunyai sifat-sifat tersebut, maka terdapat dua pendapat dalam hal ini ;
Ω Sah nikahnya dan tidak boleh khiyar kerana tubuh badan manusia yang berakad nikah itu tidak bertukar dengan orang lain.
Ω Nikah itu terbatal kerana menyalahi sifat-sifat yang telah ditentukan bukan berdasarkan tubuh badan orangnya.
.
Keadaan ini berbeza dengan syarat setara (kufu) kerana jika perempuan menentukan syarat-syarat setara, kemudian didapati pasangan itu tidak setara, maka isteri mempunyai hak khiyar nikah. Walinya juga mempunyai hak tersebut sebab ketidaksetaraan boleh menimbulkan aib.
.
3. Tuntutan Cerai
.
Tuntutan cerai boleh dilakukan oleh isteri, apabila suami tidak mampu menanggung nafkah isteri dalam keadaan isteri pula tidak rela tinggal bersama suaminya lantaran kemiskinan. Tuntutan cara itu hendaklah dikemukakan ke mahkamah syari’ah untuk disiasat, dipertimbangkan dan diluluskan.
.
Peruntukan hukum ini iaitu isteri yang menuntut cerai disebabkan suami tidak mampu menanggung nafkah isteri adalah berdasarkan Firman Allah (Surah al-Baqarah : 229) ;
Sesudah itu bolehlah ia (rujuk) dan memgang terus (isterinya) itu dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
.
Firman Allah (Surah al-Baqarah : 231) ;
Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudharat.”
.
Hadith Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ;
Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda tentang lelaki (suami) yang tidak mampu menanggung isterinya, hendaklah diceraikan antara kedua-duanya.”
[HR Abu Daud]
Diqiyaskan kepada kes al-Jab yang difasakh nikah kerana mati pucuk.
Jelasnya, suami yang tidak mampu memberikan nafkah batin juga boleh sabit fasakh nikah. Oleh itu, suami yang tidak mampu memberikan nafkah zahir lebih utama kerana kemudharatan tidak mendapat makanan lebih berat daripada kemudharatan tiada nafkah batin.
.
4. Tuntutan Cerai kerana dianiaya
.
Sepanjang tempoh perkahwinan, suami tidak boleh menganiaya isteri walau dalam bentuk apa sekalipun, selama isteri taat kepada suami kecuali jika isteri nusyuz. Dalam keadaan sedemikian pun suami tidak boleh menganiaya isterinya, bahkan ia berkewajipan mendidik isterinya.
.
Jika ia mahu bertindak pun, mestilah mengikut cara-cara yang ditentukan oleh syara’. Sekiranya suami menganiaya isteri dengan melanggar ketentuan syara’ dan batas-batas peri kemanusiaan serta kehormatan wanita yang sewajarnya, sedangkan ia tidak melaksanakan perintah Allah dalam urusan dengan isterinya, maka isteri hendaklah mengemukakan pengaduan kepada mahkamah syari’ah.
.
Apabila sabit kesalahan suami, qadhi atau hakim hendaklah melarangnya. Jika berulang, hakim atau qadhi boleh mengenakan takzir. Dan jika penderaan sampai ke peringkat yang membahayakan keselamatan isteri, maka hakim atau qadhi boleh meminta dibentuk majlis tahkim yang boleh menggunakan kuasa untuk menjatuhkan talaq ke atas isterinya demi menyelamatkannya, ataupun hakim atau qadhi sendiri menjatuhkan talaq tersebut jika anggota majlis tahkim tidak dapat berfungsi dengan baik dan berkesan.
.
5. Tuntutan Cerai suami di penjara
.
Kedudukan suami dalam penjara sama dengan kedudukan suami yang ghaib yang tidak dapat dikesan. Apabila hukuman penjara itu lama sehingga isterinya menghadapi banyak kesusahan dan kesulitan dalam hidup, maka isteri boleh menuntut cerai kepada mahkamah syari’ah setelah sekurang-kurangnya setahun suami itu di penjara.
.
.
KESAN (IMPLIKASI) FASAKH
.
1. Suami dan isteri tidak boleh rujuk dalam tempoh iddah.
2. Mereka boleh berkahwin semula dengan akad nikah dan mahar yang baru.
3. Isteri tidak berhak mendapat nafkah semasa dalam tempoh iddah.
4. Rumahtangga akan runtuh dan anak-anak akan kehilangan kasih sayang.
5. Kebajikan anak-anak terabai dan mereka berkemungkinan mengalami gangguan emosi yang teruk.
.
.
HIKMAT FASAKH
.
1. Hal ini menunjukkan bahawa Allah dan RasulNya tidak sekali-kali membenarkan berlakunya sebarang penipuan dan pemalsuan dari semua bentuk akad, apatahlagi akad dalam perkahwinan.
2. Islam memberikan hak memilih (khiyar) kepada suami isteri selepas akad nikah di atas perkara-perkara yang akan menghalang tercapainya tujuan perkahwinan yang dikehendaki oleh syara’.
3. Keharusan fasakh adalah sebagai lambang ajaran Islam yang menghendaki keadilan untuk kebaikan umatnya. Hal ini bertujuan supaya mereka (kedua pasangan suami isteri) hidup dalam suasana rumahtangga yang aman dan damai, tidak tertekan jiwanya oleh perasaan yang menganggu ketenteraman hidup mereka.
4. Memberi peluang kepada isteri membuat tuntutan pembatalan perkahwinan sebagai salah satu jalan penyelesaian bagi kes-kes yang melibatkan keaiban atau kecacatan kepada pasangan masing-masing.
5. Mengelakkan kemudharatan, kesengsaraan atau penderitaan yang ditanggung oleh suami atau isteri jika perkahwinan diteruskan.
6. Sebagai peringatan kepada suami agar sentiasa bertanggungjawab dalam melaksanakan hak-hak isteri dan keluarga.
7. Menyelamatkan akidah dan nilai-nilai baik isteri dan anak-anak ekoran suami yang murtad, fasik dan mengabaikan perintah agama. Begitulah sebaliknya.
8. Jalan terbaik bagi perkembangan emosi dan mental serta intelektual anak-anak apabila mereka terjebak dengan masalah keluarga.
.
.
PERCERAIAN ATAU PERPISAHAN DENGAN SEBAB KECACATAN
.
Secara umumnya, kecacatan ini ada dua jenis, iaitu ;
1. Kecacatan yang tidak dapat mendukhul isterinya itu seperti terpotong zakar ataupun ratqa’ ( tertutup faraj disebabkan ada ketumbuhan) dan sebagainya.
2. Kecacatan yang tidak menghalang dari melakukan persetubuhan, tetapi adalah satu penyakit yang memudharatkan, seperti jazam, gila dan sebagainya.
.
Terbahaginya kecacatan ini kepada tiga bahagian, iaitu sebagaimana berikut ;
.
1. Kecacatan pada lelaki, iaitu ;
« AL-JABB - Terpotong zakar.
« ( AL-'UNNAH ) - Lemah dari melakukan jima’ dengan sebab zakarnya itu kecil atau mati pucuk.
« ( AL-KHASSA' ) - Kasi dengan terpotong dua biji batu atau pun dijadikan tanpa batu.
« ( AL-I'TIRADH) - Keadaan suami tidak mampu melakukan persetubuhan dengan sebab penyakit ataupun dengan sebab tua.
.
2. Kecacatan pada perempuan, iaitu ;
« ( RATQA') - Faraj tersumbat dengan daging dari asal kejadian, tidak boleh dimasukkan zakar ke dalamnya.
« ( QARNA' ) - Satu penyakit atau tumbuh tulang dalam faraj yang menghalang zakar memasukinya.
« ( AL-'AFLU ) - Faraj berbuih yang menghilangkan kelazatan persetubuhan.
« ( AL-AFDHA') - Qubul dan dubur menjadi satu atau pun lubang air kencing dan lubang mani menjadi satu, kerana ini menghilangkan kelazatan persetubuhan.
.
3. Kecacatan bersama yang didapati pada lelaki dan perempuan, iaitu ;
« Gila.
« Penyakit kusta ( JAZAM ).
« Penyakit sopak atau balar ( BIRASH ).
« Sentiasa kencing dan berak dengan tidak boleh dikontrol
« Penyakit buasir.

qalam_azraq 23122008 1.00pm

0 comments: