CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, September 24, 2008

MU’AMALAT - BAB 2 [JUALBELI YANG HARAM]

JUAL BELI YANG DIHARAMKAN

PENDAHULUAN

Setiap individu Muslim wajib mengawasi segala amalan dan pekerjaannya di mana setiap hasil pendapatan dan sumber rezekinya mestilah datang dari sumber yang halal, begitu juga makanan, minuman, pakaian dan segala harta yang dimiliki hendaklah terdiri daripada bahan yang bersih, suci dan halal. Pengawasan ini amatlah penting kerana ada hubungkaitnya dengan kehidupan setiap individu Muslim khususnya dalam bidang kerohanian (ibadat, akhlak, dan sebagainya).

Rasulullah s.a.w. pernah menceritakan perihal seorang hamba Allah yang sepanjang masa usianya menadah tangannya berdoa kepada Allah s.w.t. akan tetapi doanya itu tidak diterima oleh Allah kerana makanannya haram, pakaiannya haram dan dibesarkan dengan bahan-bahan dari sumber yang haram. Apabila doa seseorang itu tidak dikabulkan Allah s.w.t. bererti segala usahanya samaada dalam bidang duniawi maupun ukhrawi sia-sia belaka. Oleh kerana itulah, setiap insan perlu menitikberatkan segala tindakan dan perbuatan yang dilakukan sehari-hari sekalipun dalam hal-hal yang kecil seperti makan minum dan seumpamanya.

Dalam membincangkan masalah mu’amalah jual beli, perkara yang diutamakan ialah sama ada sah atau tidak sesuatu akad jual beli yang dilakukan. Oleh kerana persoalan ini mempunyai hubungan rapat dengan pemindahan hak milik barang yang diperjualbelikan itu, maka jual beli yang sah saja diakui oleh Islam dan pemindahan hak milik boleh berlaku dari seseorang kepada seorang yang lain melalui akad jual beli.

Di samping itu, tidak semua jual beli yang sah itu diterima oleh syara’, kerana terdapat jual beli yang sah (iaitu sempurna rukun dan syarat-syaratnya), tetapi mengandungi unsur-unsur yang negatif dan tidak sihat di dalam jual beli tersebut. Justeru itu, jual beli yang berkenaan dihukumkan haram.

Berdasarkan kepada tujuan dan kriteria yang ada pada sesuatu jualbeli yang berlangsung, maka di dalam mu’amalah terdapat jenis jualbeli yang diharamkan dengan dikategorikan kepada dua pembahagian, iaitu :
>> Jual beli yang haram dan tidak sah
>> Jual beli yang haram tetapi sah jualannya

JUAL BELI YANG HARAM DAN TIDAK SAH

1. Jual beli secara riba. Riba tidak hanya berlaku dalam hutang piutang saja, bahkan ia boleh berlaku dalam jualbeli barang tertentu seperti :
(i) Pertukaran matawang (Jualbeli sarf)
(ii) Jual beli bahan makanan
yang mana kedua-dua jenis bahan tersebut akan terlibat dengan mu’amalat secara riba jika ditukar dengan sama sejenis tanpa persamaan dari segi timbangan atau sukatan, atau serah menyerah dalam tempoh masa yang tidak sama.

Perlu ditekankan, jualbeli yang terlibat dengan riba adalah dihukumkan haram dan tidak sah, kerana tidak sama timbangan atau sukatan, dan proses penyerahan barang jualan dalam masa yang berlainan.

2. Jual beli bahan-bahan yang mengandungi najis, kerana ia tidak dianggap harta di sisi syara’. Walau bagaimanapun bahan najis yang boleh dimanfaatkan, seperti najis binatang untuk dijadikan baja, boleh dibayar sebagai upah mengangkat atau menyediakannya bukan atas asas jualbeli. Adapun bahan yang suci tetapi terkena najis (al-mutannajis) dan boleh dibersihkan semula, maka sah jualbelinya.

3. Menjual air benih binatang ternakan. Iaitu dengan cara mencampurkan air mani haiwan jantan dengan betina supaya haiwan betina itu bunting. Jualan seumpama ini tidak diketahui kadarnya dan dianggap tidak bernilai (bukan harta) serta tidak dapat diserahkan.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
Rasulullah s.a.w. telah melarang dari menjual air benih binatang ternakan.
[HR al-Bukhari]

Walaupun jualan sebegini diharamkan dan tidak sah jualannya, tetapi disunatkan (sah dan harus hukumnya) bagi orang yang memiliki binatang ternakan jantan supaya meminjamkan atau menyewakan kepada orang lain yang ingin membiakkan binatang ternakannya.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Sesiapa yang mencampurkan haiwan jantan dan betina sehingga mendapat anak, maka ganjarannya sebanyak 70 haiwan.” [HR Ibnu Hibban]

4. Menjual anak binatang (janin) yang masih di dalam kandungan ibunya. Ia dihukumkan tidak sah kerana tidak diketahui jenis dan sifatnya, sedangkan syarat bagi barang yang dijual hendaklah diketahui oleh pembeli akan sifat-sifat barang yang dijualbeli dengan jelas. Begitu juga tidak sah dan haram menjual salah satu daripada keduanya. Pendekata, apabila menjual ibu binatang yang sedang bunting, maka dengan sendirinya termasuk anak kandungannya itu sekali.

Demikian juga haram jualan tangguh kepada masa kelahiran anak, iaitu menjadikan kelahiran anak seekor binatang sebagai tempoh pembayaran jualan tangguh (Bai’u Bithaman Aajil). Oleh kerana tempoh kelahiran anak itu merupakan suatu masa yang tidak dapat dipastikan (majhul), maka jualan tersebut adalah tidak sah.

Penjualan seperti ini sering berlaku di kalangan orang-orang Arab pada masa silam. Di antara mereka yang membeli dengan cara tempahan anak-anak binatang yang masih di dalam kandungan khususnya dari binatang ternakan yang mempunyai baka yang baik.

Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah ibni Umar r.a. :
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melarang daripada menjual anak (binatang) yang masih di dalam kandungan ibunya, dan jualan ini telah pun dilakukan oleh Arab Jahiliah di masa silam. [HR al-Bukhari]

5. Menjual buah-buahan yang masih di pokok kecuali setelah nyata baik (masak). Sebagai contoh, buah yang masih putik atau muda, kerana buah-buahan ini sering gugur dan busuk. Buah-buahan yang belum dapat dimanfaatkan seperti putik yang masih kecil dan belum berisi, apabila dijual setelah dipotong dari pokoknya tidak dapat dimanfaatkan langsung samaada pada masa akad atau masa akan datang, maka ia dianggap pembaziran yang ditegah oleh Islam. Tetapi apabila sudah nampak tua maka sahlah dijual.

Sabda Rasulullah s.a.w. :
Rasulullah s.a.w. melarang daripada menjual buah-buahan sehingga nyata masaknya, dia melarang penjual dan pembeli. [Muttafaqun ’Alaih]

6. Jualan daging dengan binatang. Menjual daging, limpa, hati dan sebagainya dengan binatang, samaada dari satu jenis ataupun tidak adalah haram dan tidak sah. Seperti menjual daging lembu dengan kambing biri-biri dan sebagainya. Tetapi menjual kulit binatang yang telah disamak dengan binatang adalah harus dan sah.

Jualan daging dengan binatang ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Samrah bin Jundab r.a. :
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melarang jual binatang dengan binatang bayaran kemudian.”

7. Jualan yang bersyarat (bertaklik). Taklik disini bermaksud bergantung atau dengan syarat, iaitu meletakkan sesuatu sebagai sandaran atau cagaran terhadap sesuatu barang atau benda yang dijual dalam akad jualbeli sama ada dengan menetapkan sesuatu tempoh masa (waktu) atau sesuatu perkara yang dijangka berlaku pada masa akan datang.

Lazimnya, perkataan taklik ialah dengan menggunakan perkataan ‘sekiranya’, ‘seandainya’, ‘jika’, ‘kalau’, ‘dengan syarat’ dan seumpamanya. Sebagai contoh, Azmi berkata kepada Hardi, “Saya jual kereta Toyota Prado ini kepada awak dengan harga $50,000 dengan syarat awak jualkan notebook Apple awak kepada saya dengan harga $2500.” Ataupun “aku jual rumah kin kepada engkau dengan harga $100,000 sekiranya anakku lahir nanti.”

8. Jualan barang majhul (tidak nyata / tidak jelas). Menjual sesuatu yang tidak boleh dilihat dan tidak boleh diterima. Seperti menjual ikan yang masih di dalam laut, atau menjual burung yang masih terbang di udara, atau menjual ubi yang masih di dalam tanah dan sebagainya, kerana jualan seumpama ini menyalahi syarat-syarat jualbeli iaitu tidak jelas barangnya (majhul) dan tidak dapat diserahkan semasa akad.

9. Jualan dengan syarat hutang. Sebagai contoh, Hilmi berkata kepada Kipli, “Aku jual televisyen (jenama Akira 21 inci) ini kepada engkau dengan harga $250 dengan syarat engkau memberi hutang kepadaku $125.”

10. Menjual barang-barang yang baru dibeli tetapi belum diterimanya, kerana barang tersebut belum lagi menjadi miliknya yang sempurna.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Janganlah kamu menjual sesuatu yang kamu beli sebelum kamu terima.”
[HR Ahmad dan al-Baihaqi]


11. Jualan al-‘Arabun (Bai’u al-Arabun) – iaitu jualbeli yang dikenakan bayaran cengkeram (wang pendahuluan). Pembeli dikenakan membayar sebahagian harga barang yang akan dibelinya. Sekiranya ia tidak jadi membelinya, maka wang cengkeramnya tidak akan dipulangkan (dikira hangus) oleh penjual.

JUAL BELI YANG HARAM TETAPI SAH JUALANNYA
1. Jual beli yang menyebabkan pemisahan di antara ibu dengan anak yang masih kecil yang boleh memudaratkan anak tersebut dari segi kesihatan, makan minum dan seumpamanya.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Barang siapa memisahkan antara ibu dengan anaknya bahawa Allah memisahkan antaranya dengan orang yang dikasihinya di Hari Qiamat.”

2. Jual beli yang dilakukan pada ketika waktu sembahyang Jumaat, iaitu bermula dari azan kedua hingga selesai sembahyang tersebut, kerana waktu tersebut yang cuma memakan masa tidak sampai sejam telah dikhaskan untuk ibadat tertentu.
Firman Allah s.w.t. (Surah Jumu’ah : 1 – 2) :
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada Hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu).....”

3. Membeli barang dengan harga yang lebih mahal daripada harga pasaran biasa sedangkan dia bukanlah berhajat benar terhadap barang yang dibelinya itu, hanya bertujuan supaya orang lain tidak dapat memilikinya. Sebab pengharaman ini kerana boleh menyakiti orang lain.

Terdapat dua pendapat dari kalangan ulama’ tentang jualan seumpama ini :

(i) Al-Malikiah dan Al-Hanabilah; mereka berpendapat jualan seperti ini sah dan tsabit khiyar bagi pembeli apabila berlaku kerugian luar biasa.

(ii) Al-Hanafiah dan Al-Syafi’iyah pula mengatakan jualan sebegini sah tetapi berdosa.


4. Membeli barang yang sudah dibeli orang lain tetapi masih di dalam tempoh khiyar sama ada Khiyar Majlis atau Khiyar Syarat. Perbuatan seumpama ini boleh mengecewakan perasaan orang lain sebab itulah ia diharamkan walaupun jualbeli tersebut sah. Sabda Rasulullah s.a.w. :
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Janganlah seseorang dari kamu menjual sesuatu yang telah dibeli oleh orang lain.”
[Muttafaqun ’Alaih]

5. Membeli barang-barang keperluan ramai untuk disimpan atau disorokkan sedangkan masyarakat memerlukannya. Tujuannya ialah untuk dijual dengan harga yang lebih mahal dan mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan dari Mu’amar bin Abdullah r.a. dari Rasulullah s.a.w. :
“Tidak ada orang yang menyorokkan barang itu kecuali orang yang durhaka kepada Allah ataupun melakukan dosa.” [HR Muslim]

6. Menjual sesuatu barang yang akan digunakan oleh pembelinya untuk tujuan maksiat atau kejahatan. Sebagai misalan, Mazlan menjual buah kelapa kepada Zaini sedangkan dia mengetahui pembeli tersebut akan menggunakan air kelapa itu untuk dijadikan todi atau tuak. Demikian juga orang yang menjual buah anggur atau buah kurma kepada pemeroses arak, sekiranya yakin bahawa pembelian bahan tersebut adalah untuk pembuatan arak, atau lain-lain kegunaan yang diharamkan oleh syara’. Firman Allah s.w.t. (Surah al-Mai’dah : 2)
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kejahatan dan bermusuh-musuhan.”

7. Jualan secara tipu dan kecoh. Sebagai misalan, Syafiq seorang penjual sengaja meletakkan barang yang baik di sebelah atas tetapi di bahagian bawah adalah sebaliknya. Perbuatan ini adalah dilarang kerana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. :
Bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah lalu di satu tempat yang dilonggokkan makanan yang akan dijual. Kemudian baginda memasukkan tangannya ke dalam bungkusan itu, bila dikeluarkan jarinya dari dalam bungkusan itu didapatinya basah. Lalu baginda bertanya, “Kenapakah ini wahai tuan punya makanan?” Jawab tuan empunya barang itu, “Basah terkena hujan ya Rasulullah.” Sabda baginda lagi, “Kenapa engkau tidak letakkan di sebelah atas supaya dapat dilihat oleh orang?” Baginda terus bersabda lagi, “Sesiapa yang menipu, maka ia bukanlah dari golongan umatku.”

8. Jualbeli untuk mengatasi tawaran orang lain. Sebagai contoh, seorang pembeli telah bersetuju untuk membeli sesuatu barang, tiba-tiba datang seorang yang lain hendak membeli barang yang sama dengan harga yang lebih mahal lagi. Jualan seumpama ini adalah diharamkan, kerana ia boleh menyakiti hati orang lain dan larangan ini telah disebutkan dalam hadith Rasulullah s.a.w. :
“Tidak boleh menawar seseorang muslim atas tawaran seorang muslim yang lain.” [HR Muslim]

Tentang hukum jualan ini ulama’ berselisih pendapat :

(i) Mazhab Hanafiah dan Syafi’iyah - Jualan itu sah tetapi berdosa.

(ii) Mazhab Hanabilah dan Malikiah - Jualan itu fasid.


9. Menyekat pedagang-pedagang yang datang dari desa di pertengahan jalan sebelum mereka sampai ke kota dan tidak mengetahui harga sebenar di pasar, kemudian barang-barang tersebut telah dibeli dengan harga yang murah. Perbuatan seperti ini akan menyebabkan kerugian terhadap pedagang-pedagang dari desa itu.

Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Thaus daripada Ibnu Abbas r.a. :
Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Janganlah kamu menyekat pedagang-pedagang dari desa (luar kota) itu di pertengahan jalan sebelum mereka sampai ke pasar.”
[Muttafaqun ‘Alaih ]

PERMAINAN & KEGIATAN PERNIAGAAN YANG DIHARAMKAN

1. Permainan yang berbentuk judi atau berunsur judi yang kini banyak terdapat dalam masyarakat samaada berbentuk perniagaan, hiburan atau kegiatan sosial. Sebagai contoh :

2. Tikam-tikaman à membeli barang-barang berpandukan nombor yang tersembunyi dan bergantung pada nasib.

3. Cuba nasib atau lontar gelang à barang yang akan didapati adalah bergantung pada nasib gelang-gelang itu yang akan terkena pada barang tersebut, kadangkala tidak terkena langsung.

4. Bertaruh nasib dalam perlawanan atau permainan yang tergolong dalam amalan judi.

5. Kegiatan perniagaan yang diharamkan syara’ seperti judi, pelacuran, hiburan atau alat hiburan berunsur maksiat seperti loteri dalam apa jua bentuk contohnya, toto, nombor ekor dan skim cepat kaya.

6. Penjualan benda-benda yang diharamkan syara’ seperti minuman keras dan makanan-makanan dari benda-benda yang diharamkan.

7. Urus niaga yang berunsur riba.

PERBEZAAN DI ANTARA
JUALBELI YANG HARAM DAN TIDAK SAH DENGAN JUALBELI YANG HARAM TETAPI SAH JUALANNYA

Jual beli yang haram dan tidak sah melibatkan perkara-perkara berikut ;

¥ Tidak sempurna rukun dan syarat-syaratnya.

¥ Barang yang diperjualbelikan tidak mendatangkan secarang faedah atau manfaat kepada pembeli ataupun pelanggan.

¥ Barang yang dijual tidak dianggap sebagai harta walaupun dalam kuantiti yang banyak.

¥ Barang yang dijual itu tidak dapat diserahkan semasa akad jualbeli atau pada bila-bila masa jua.

Manakala jual beli yang diharamkan tetapi sah jualannya pula, dihukumkan sah jualbeli tersebut kerana menepati rukun dan syarat-syaratnya. Walau bagaimanapun ia dihukumkan haram kerana terdapat unsur-unsur negatif seperti berlaku penipuan, menyakiti hati orang lain, adanya penganiayaan, menimbulkan rasa kekecewaan dan tidak puas hati dan seumpamanya. Pendeknya, jualbeli sebegini diharamkan ditinjau dari segi perbuatan yang dilakukan sama ada dari pihak penjual maupun pembeli.


KESIMPULAN

Sebagai rumusan, dalam pelaksanaan jualbeli perlulah mempunyai kriteria-kriteria berikut untuk mengesahkan sesuatu urusan jualbeli sama ada ia melibatkan kuantiti yang sedikit atau banyak. Di antara kriteria tersebut ialah ;

1) Tidak bertentangan dengan kehendak syara’ (tidak bercanggah dengan Al-Qur’an dan Al-Hadith).

2) Menepati rukun dan syarat-syarat jualbeli.

3) Tidak terlibat dengan unsur-unsur riba.

4) Tidak ada unsur-unsur gharar (penipuan).

5) Tidak ada paksaan.

6) Kebaikannya mengatasi keburukan (manfaat adalah melebihi daripada mudharat).
.
qalam_azraq, 24092008 / 1.00am

0 comments: