CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, September 24, 2008

MU’AMALAT - BAB 3 [RIBA]

RIBA

MUQADDIMAH

Dalam mu’amalat harta benda (urusan perniagaan), ada dua sistem yang berlaku dalam masyarakat iaitu ;

1. Sistem Jualbeli yang berdasarkan kerelaan antara dua pihak dan tidak bersifat menindas.

2. Sistem Riba yang lebih bersifat penindasan di mana golongan pemodal (pemberi hutang) memeras golongan peminjam (yang berhutang) dengan pertambahan kadar hutang.

Riba adalah suatu amalan yang merosakkan tujuan utama perniagaan untuk memenuhi keperluan dan kehendak setiap orang (penjual dan pembeli) yang dapat membangunkan kehidupan yang sihat dan mewujudkan masyarakat yang harmoni dan maju.

Justeru itu, riba merupakan suatu penindasan kepada pembeli atau pengguna kerana mereka dikenakan bayaran lebih bagi setiap urus niaga dengan bayaran bertangguh seperti pembelian barang dengan berhutang kepada bank atau pembelian barang dengan bayaran beransur-ansur. Oleh kerana itulah, Islam dengan jelas mengharamkan riba dan orang yang melakukannya dikenakan hukuman sebagai orang yang melakukan dosa besar.

PENGERTIAN RIBA

Dari segi lughah (bahasa), Riba berasal dari perkataan Bahasa Arab yang bererti lebih, subur, bertambah.

Adapun ta’rif Riba dari segi istilah syara’ :

Suatu akad yang terjadi ke atas penukaran barangan tertentu yang tidak diketahui persamaan kadarnya atau nilainya sama ada ianya senilai kadarnya atau tidak penukaran barangan itu mengikut peraturan syara’ (seperti menukar emas dengan emas tanpa diketahui kadar keduanya), atau penukaran barangan tersebut diketahui persamaan kadarnya atau nilainya tetapi penyerahan kedua-dua barangan atau salah satu daripada keduanya ditangguhkan (seperti menukar 2 gram emas dengan 2 gram emas yang bertangguh penyerahannya).

Suatu akad yang melibatkan sebarang pertambahan (lebih) yang disyaratkan atau dijanjikan semasa akad untuk diberikan kepada pemberi hutang. Contohnya, Salim meminjamkan $10,000 kepada Zaini dengan syarat Zaini membayar lebih (faedah) sebanyak $5,000 bersama kadar hutang yang dipinjamkan oleh Salim.


HUKUM RIBA

Dari segi hukum, amalan riba adalah HARAM dan merupakan salah satu dosa besar berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah serta ijma’ ulama’ Islam dari semua mazhab pada setiap tempat dan sepanjang zaman. Ia tidak berbeza dengan konsep faedah yang dikenakan ke atas pinjaman untuk pelaburan atau kegunaan sendiri samaada sedikit atau banyak kerana nas Al-Qur’an dan Hadith dengan jelas mengharamkannya.

Dalam pada itu, semua agama langit telah secara tegasnya mengharamkan riba. Di dalam Old Testament ada menyebut, “jika kamu memberi pinjam kepada salah seorang dari anak bangsaku, janganlah menuntut keuntungan bagi pemilik.” (Safat al-Khuruj, ayat 25, fasal 22).

Adapun semasa zaman Rasulullah s.a.w., pengharaman riba ini adalah seperti yang terkandung dalam Al-Qur’an iaitu telah melalui empat peringkat wahyu pada masa yang berlainan ;

(1) Wahyu Pertama (Surah al-Ruum : 39) ;
“Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia bertambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredhaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipatgandakan (pahalanya).”

(2) Wahyu Kedua (Surah an-Nisaa’ : 161) ;
“Dan disebabkan mereka memakan riba, padahal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya, dan kerana mereka memakan harta orang dengan jalan yang batil (salah). Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir di antara mereka itu siksa yang pedih.”

(3) Wahyu Ketiga (Surah Ali ‘Imran : 130 – 132) ;
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. Dan peliharalah dirimu daripada api neraka, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir. Dan ta’atilah Allah dan Rasul supaya kamu diberi rahmat.”

(4) Wahyu Keempat (Surah al-Baqarah : 275) ;
“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan berdirinya orang yang kerasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Kedaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.”

DALIL PENGHARAMAN RIBA

Dalil daripada Al-Qur’an

1. Firman Allah (Surah Al-Baqarah : ayat 275) ;
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri dengan betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan (terhuyung-hayang) kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan bahawa sesungguhnya berjual beli itu adalah sama saja seperti riba. Pada hal Allah menghalalkan jualbeli( berniaga) dan mengharamkan riba. Maka siapa yang menerima pengajaran dari Tuhannya, lalu berhenti (melakukan riba), maka untuknya apa yang telah terlalu dan urusannya terserah kepada Allah. Barangsiapa kembali (melakukan riba), mereka itulah penghuni neraka serta kekal di dalamnya.”

2. Firman Allah (Surah an-Nisa’ : ayat 161) ;
“Dan kerana mereka mengambil riba, padahal mereka dilarang mengambilnya dan kerana mereka memakan harta orang dengan jalan yang batil.”

3. Firman Allah (Surah Ali ‘Imran : ayat 130) ;
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba yang berlipat-lipat ganda dan takutlah kepada Allah, mudah-mudahan kamu menang (sukses).”

4. Firman Allah (Surah Ar-Ruum : ayat 39) ;
“Apa-apa (wang) yang kamu berikan (kepada orang) dengan riba (tambahan bunga), supaya bertambah banyak harta manusia, maka tiadalah wang itu bertambah banyak disisi Allah. Dan apa-apa (zakat) yang kamu berikan (kepada orang), kerana menghendaki keredhaan Allah, maka itulah yang berlipat ganda.”

5. Firman Allah (Surah Al-Baqarah : ayat 278) ;
“Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan tinggalkan sisa-sisa riba itu, jika kamu orang-orang yang beriman.”

Dalil daripada Hadith

1. Dalam Hadith Rasulullah s.a.w. pula, Rasulullah s.a.w. telah bersabda ;
“Allah melaknat (mengutuk) orang yang makan riba, pemberinya, saksi-saksinya, jurutulisnya dan ia berkata, mereka itu sama sahaja.” [HR Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmidzi]

2. Dalam hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda ;
“Apabila riba dan zina menjadi-jadi di sebuah kampung (tempat tinggal), maka sesungguhnya mereka telah membenarkan diri mereka menerima azab Allah.” [HR al-Hakim dan Abu Ya’la]

3. Sabda Rasulullah s.a.w. lagi ;
“Hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan, sahabat-sahabat bertanya : Apakah ia wahai Rasulullah? Jawab baginda : Mensyirikkan Allah, melakukan perbuatan sihir, membunuh diri atau jiwa (manusia) yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan yang hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan dan menuduh zina terhadap perempuan-perempuan yang baik yang tidak ada perasaan untuk melakukannya.” [HR Bukhari dan Muslim]

4. Sabda Rasulullah s.a.w. ;
“Riba mempunyai 73 pintu (punca), yang paling mudah ialah seperti seorang lelaki bernikah dengan ibunya.” [HR Ibn Majah]


JENIS-JENIS RIBA

Berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan Al-Hadith Rasulullah s.a.w., para ahli ulama’ Fiqh telah membahagikan Riba kepada empat jenis iaitu :
(1) Riba al-Qardhu
(2) Riba an-Nasi’ah
(3) Riba al-Fadhlu
(4) Riba al-Yadu


Riba al-Qardhu dan Riba an-Nasi’ah adalah jenis riba yang tergolong dalam hutang piutang, sementara Riba al-Fadhlu dan Riba al-Yadu pula tergolong dalam riba jenis jualbeli.


RIBA AL-QARDHU

Al-Qardhu bermaksud hutang iaitu memberi sesuatu harta samaada wang atau benda kepada seseorang yang memerlukan dan diambil kembali gantinya. Hukum memberi hutang adalah sunat dan sangat digalakkan dalam Islam bahkan dikira sebagai amal soleh. Namun begitu, hutang yang mendorong seseorang pemiutang untuk mengambil manfaat atau menggunakan faedah yang dijadikan syarat dalam ‘aqad (kontrak) hutang piutang adalah haram dan ia dianggap riba walau dalam apa bentuk sekalipun.

Adapun Riba Al-Qardhu ialah jenis kontrak hutang yang melibatkan wang atau barang-barang berharga yang lain, di mana pemiutang meminjamkan sesuatu kepada orang yang berhutang dengan disyaratkan sesuatu faedah atau manfaat ke atas orang yang berhutang.

Dalam ertikata yang lain, kontrak hutang yang dijalankan adalah untuk suatu tempoh tertentu yang disertakan dengan syarat tambahan ke atas jumlah hutang yang dipinjamkan semasa membuat bayaran.

Contoh : Salamah meminjamkan wang sebanyak $1,000 kepada Kartina selama tiga bulan dengan syarat Kartina mestilah membayar balik sebanyak $1,250 ataupun Kartina meminjamkan kereta Toyota Vios miliknya kepada Salamah selama tiga bulan. Jadi, lebihan wang sebanyak $250 atau pinjaman kereta tersebut dalam istilah sekarang ini dinamakan bunga (interest) dan isitilah syara’ pula dinamakan riba.


RIBA AN-NASI’AH

Riba An-Nasi’ah ialah kontrak hutang yang mengenakan bayaran lebih dari hutang yang asal kepada orang yang berhutang untuk dibayar kepada pemiutang, sekiranya orang yang berhutang gagal membayar ataupun menangguhkan (melambatkan) pembayaran hutang pada waktu (tempoh) yang ditetapkan.

Dalam ertikata yang lain, ia merupakan pertambahan dengan sebab lambat membayar atau penangguhan bayaran hutang atau pinjaman. Riba jenis ini juga dinamakan Riba al-Jahiliah kerana ia begitu popular yang sering diamalkan di kalangan masyarakat Arab semasa zaman Jahiliah. Dalam konteks semasa, Riba an-Nasi’ah adalah sama dengan pinjaman wang dengan faedah (interest).

Contoh : Masnah berhutang wang sebanyak $5,000 daripada Hjh Leha selama 5 bulan. Apabila sampai tempoh 5 bulan Masnah tidak mampu menjelaskan kesemua hutangnya, maka Hjh Leha mengenakan bunga iaitu sebanyak $10.00 bagi setiap hari yang tertangguh (lewat bayaran).


RIBA AL-FADHLU

Riba Al-Fadhlu ialah pertambahan yang berlaku di dalam jualbeli ataupun pertukaran barang ribawi yang sama jenisnya tetapi tidak sama sukatan atau timbangannya. Dalam ertikata yang lain, jual beli yang disertai dengan tambahan dengan salah satu jenis barang yang sama jenis.

Contoh : menjual (menukar) 5 gram emas dengan 6.5 gram emas, atau menjual dua kilo beras dengan tiga kilo beras.

RIBA AL-YADU

Riba Al-Yadu ialah pertukaran barang ribawi di dalam jualbeli yang sama jenis atau berlainan jenis tetapi penyerahan barangan tersebut tidak dilakukan pada waktu yang sama di tempat akad (bertangguh penyerahan barangan). Dalam ertikata yang lain, jualbeli (tukaran barang) bagi barang ribawi yang sama jenis atau berbeza jenis secara tunai tetapi lewat penyerahan salah satu daripada barangan jualbeli.

Contoh : menjual (menukar) 10 gram emas dengan 10 gram emas ataupun menjual gandum dengan barli, tetapi tidak dilakukan penyerahan barangan sewaktu akad.


BARANG-BARANG RIBAWI

Barang-barang ribawi adalah barang-barang yang boleh dijualbeli yang terdapat unsur-unsur riba di dalamnya sekiranya tidak mengikut peraturan syara’. Dalam hadith Rasulullah s.a.w. mengenai pengharaman Riba Al-Fadhlu dan Riba Al-Yadu, terdapat enam jenis barang-barang ribawi iaitu :

Illat matawang :
(1) Emas
(2) Perak

Illat makanan :
(1) Gandum (tepung)
(2) Syaer (barli) atau hintah (biji gandum)
(3) Tamar
(4) Garam

Menurut pendapat Mazhab Syafie dan jumhur ulama’ Fiqh, jenis-jenis makanan yang lain juga termasuk dalam jenis barang ribawi dan dihukumkan sama dengan hukum barang ribawi, iaitu dengan jalan qiyas seperti beras, jagung, gula, halia dan sebagainya kerana sama maksudnya dari segi makanan yang asasi bagi manusia.


SYARAT-SYARAT JUALBELI BARANG-BARANG RIBAWI

Melalui hadith Rasulullah s.a.w., para ulama’ telah berpendapat bahawa untuk mengelakkan dari berlakunya Riba Al-Fadhlu dan Riba Al-Yadu dalam jualbeli barang-barang ribawi, hendaklah mengikut syarat-syarat berikut :

(1) Jualbeli barangan ribawi yang sama jenis dan illatnya seperti emas dengan emas, atau gandum dengan gandum :
i. Hendaklah sama sukatan dan timbangan kedua-dua barang.
ii. Penyerahan barangan mestilah dalam waktu akad.
iii. Hendaklah secara tunai.

(2) Jualbeli barangan ribawi yang berlainan jenis tetapi sama illatnya seperti emas dengan perak, atau beras dengan gandum :
i. Penyerahan barangan mestilah dalam waktu akad.
ii. Hendaklah secara tunai.

(3) Jualbeli barangan ribawi yang berlainan jenis dan berlainan illatnya seperti wang dengan beras, emas dengan gandum dan seumpamanya - tiada dikenakan syarat persamaan dan tidak terikat dengan syarat penyerahan dalam masa yang sama.

HIKMAT RIBA DIHARAMKAN

1. Dari segi akhlak dan etika moral:-

Ë Riba boleh menghilangkan atau menghapuskan perasaan belas kasihan dan semangat tolong menolong antara sesama manusia.

Ë Riba menanamkan sifat tamak dan haloba terhadap harta ke dalam jiwa manusia lantaran hanya mementingkan kepentingan diri sendiri.

Ë Memberi hutang secara riba tidak lagi merupakan satu amalan pertolongan bahkan telah bertukar menjadi salah satu cara untuk mengaut keuntungan berlipat ganda melalui usaha orang lain. Ini akan menyebabkan terputusnya satu amalan kebajikan antara sesama manusia melalui hutang tanpa faedah (Qardhul Hasan).

2. Dari segi prinsip harta :

Ë Menurut ajaran Islam, harta adalah merupakan satu amanah Allah yang diberikan kepada manusia yang harus digunakan pada jalan kebaikan, kemakmuran, keselesaan dan kemajuan umat manusia, bukannya dijadikan sebagai penindasan seperti amalan riba.

3. Dari segi kemasyarakatan :

Ë Riba merupakan satu bentuk penindasan golongan kaya ke atas golongan miskin dalam sesebuah masyarakat. Justeru itu, ia boleh mengakibatkan perasaan tidak puas hati pada golongan miskin terhadap mereka yang kaya. Keadaan seumpama ini boleh menimbulkan pelbagai angkara jenayah di dalam masyarakat seperti mencuri, merompak, menculik, malah boleh sampai ke tahap membunuh, oleh sebab desakan kesempitan hidup. Atas dasar itulah, Islam telah mengharamkan riba sebagai salah satu langkah membanteras gejala negatif disamping untuk mewujudkan suasana perpaduan, harmoni dan persefahaman antara sesama anggota masyarakat.

Ë Melalui amalan riba juga boleh mewujudkan satu kelas rakyat yang mampu hidup tanpa berusaha dan bekerja tetapi menerima hasil daripada kekayaan yang semakin bertambah. Masyarakat tidak mendapat sumbangan tenaga buruh dan keusahawanan golongan seumpama ini, kerana mereka memperolehi keuntungan tanpa bersusah payah dan tidak perlu menanggung risiko kerugian. Impaknya, golongan seperti ini dapat menguasai masyarakat dengan mudah. Sedangkan Islam mengesyurkan dan menggalakkan umatnya agar berniaga dan berusaha mencari rezeki dengan cara yang halal dan diredhai oleh Allah. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sembilan persepuluh (90%) dari punca rezeki adalah di dalam bentuk perniagaan.”

4. Dari segi ekonomi :

Ë Menurut salah seorang ahli ekonomi Islam Pakistan, Afzalur Rahman dalam bukunya Economic Doctrine of Islam (1976), beliau telah membuat beberapa kesimpulan tentang bahaya sistem amalan riba terhadap ekonomi. Di antaranya ;

È Menyebabkan kemerosotan dalam bidang pelaburan

È Boleh melemahkan ekonomi samada dari sudut keluarga, masyarakat atau negara.

5. Dari segi konsep :

Ë Amalan memberi hutang adalah sangat digalakkan dalam Islam dan diberi ganjaran pahala oleh Allah kerana ia boleh membantu mereka yang sangat berhajat dan memerlukan. Lantaran disebaliknya jika hutang tersebut disyaratkan ada penambahan (bunga), maka seseorang boleh terlibat dengan riba. Dalam Al-Qur’an, salah satu kesan dari riba ialah ia boleh menyebabkan hilangnya keberkatan harta.

Sepertimana Firman Allah dalam Surah al-Baqarah : 276 ;
“Allah menghapuskan (berkat) riba dan menambah (berkat) harta-harta sedeqah.”

PERBEZAAN DI ANTARA UNTUNG DENGAN BUNGA / FAEDAH / RIBA

Seringkali terjadi kekeliruan di kalangan masyarakat tentang perbezaan antara KEUNTUNGAN yang terdapat di dalam jual beli, termasuklah Mudharabah, Musyarakah, Jualan dengan harga bertangguh (Bai’u Bithaman Aajil), Bai’u Salam, Al-Ijarah (Sewaan) dan sebagainya, dengan RIBA atau FAEDAH (Wang Bunga) atau Interest yang diperolehi melalui hutang piutang.

Pada zaman yang serba moden ini, sebilangan orang salah tanggapan bahawa keuntungan dan riba adalah sama sahaja. Anggapan seumpama ini bukan saja baru muncul malah sejak berzaman-zaman lampau, sepertimana Firman Allah (Surah al-Baqarah : 275);
“....Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba.”


Mengikut pemahaman, mereka berpendapat orang-orang yang makan riba menyamakan faedah (bunga) yang mereka ambil dari hutang piutang itu dengan keuntungan yang diperolehi melalui jual beli. Dalam membetulkan kekeliruan sebegini, Allah telah berfirman dalam sambungan ayat di atas iaitu ;
“Padahal Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Adapun perbezaan di antara UNTUNG dengan RIBA bolehlah dirumuskan seperti berikut ;

1. Dari segi hukum.

Berdasarkan dalil daripada Al-Qur’an dan Hadith Rasulullah s.a.w., UNTUNG yang diperolehi dari jualbeli adalah HALAL hukumnya, sementara amalan RIBA termasuk yang berbentuk faedah atau wang bunga (interest) dari hutang adalah HARAM.

2. Dari segi pelaksanaan.

Mendapatkan keuntungan dari jualbeli sudah menjadi matlamat atau dasar utama bagi seseorang yang berniaga (atau membuat pelaburan dari modalnya). Ini memang selaras dan bersesuaian dengan hukum fiqh Islam yang sememangnya mengharuskannya.
Sedangkan riba (faedah) menerusi hutang pada asalnya bukan menjadi matlamat atau dasar untuk mengaut keuntungan, kerana dalam konsep Islam memberi hutang adalah salah satu amalan berkebajikan (amar ma’ruf) yang tidak mengharapkan sebarang balasan kecuali atas konsep sedeqah iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah. Lantaran itu, sebarang faedah (riba) melalui hutang tidak boleh dianggap sebagai sumber keuntungan duniawi.

Keuntungan menerusi jualbeli adalah sesuatu yang belum dapat ditentukan kadarnya kerana ia banyak bergantung kepada usaha, kebolehan mental dan kekuatan fizikal seseorang. Atas dasar itu untung patut diberikan kepadanya sebagai ganjaran atas titk peluh usahanya. Namun dalam pada itu jualbeli turut terdedah kepada risiko kerugian.
Dalam riba (faedah atau bunga), penentuan kadarnya telah pun ditetapkan semasa akad tanpa mengambil kira sama ada pihak yang berhutang itu untung atau rugi. Ini bererti risiko kerugian dalam urusan riba tidak wujud sama sekali. Oleh sebab itulah konsep riba hanya mengutamakan kepentingan sebelah pihak sahaja.

qalam_azraq, 24092008 6.15am

0 comments: