CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, September 25, 2008

MU’AMALAT - BAB 5 [JUAL SALAM / BAI'U SALAM]

JUAL SALAM
[ JUALAN BERTANGGUH ]

TA’RIF BAI’U SALAM (JUAL SALAM)

SALAM dikenali juga dengan perkataan ‘SALAF’. Dinamakan SALAM kerana menyerahkan bayaran pada majlis akad, dan dinamakan SALAF kerana didahulukan bayaran daripada menerima barang jualan.

Bertitik tolak dari huraian tersebut, SALAM dari segi bahasa ialah Pendahuluan. Sementara pengertian Salam dari segi istilah syara’ ialah ;
Menjual suatu barang yang penyerahannya ditunda, atau menjual suatu (barang) yang ciri-cirinya jelas dengan pembayaran modal lebih awal, sedangkan barangnya diserahkan kemudian hari.

Jual Salam juga bermaksud Jual beli secara tempahan.
Definisi lain bagi Jual Salam ialah ;

Z Menjual sesuatu yang tidak dilihat barangannya hanya ditentukan sifat-sifatnya, dan barang tersebut adalah di dalam tanggungan penjual.

Z Jual beli yang dilakukan terhadap sesuatu barangan yang belum wujud pada waktu akad dilakukan tetapi ia sudah ditentukan jenis, kadar harga serta sifatnya.

Contohnya :
Kata penjual, “Saya jual kepada awak satu almari kain yang diperbuat daripada jenis kayu meranti, besarnya 100cm dengan harga $150.” Jawab pembeli, “Saya beli almari tersebut dengan sifat-sifat dan harga sekian.”

Contoh lain bagi Jual Salam :
Ø Pembelian alat-alat perabot seperti set kerusi meja ruang tamu, katil tempat tidur, almari pakaian, dapur dan sebagainya.

™ Harga barang-barang secara Jual Salam dibayar terlebih dahulu.
™ Dipesan sesuai dengan selera dan kehendak pelanggan (pengguna).


DALIL-DALIL HARUS JUAL SALAM


Firman Allah (Surah al-Baqarah : 282) ;
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang (yang diberi tempoh) hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.”

Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Sesiapa yang berjual salam pada sesuatu barang, hendaklah barang itu ditentukan sukatannya, timbangannya dan tempoh masa penyerahannya.”
[HR Bukhari dan Muslim, Abu Daud, An-Nasaie, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dari Ibnu Abbas]

Hadith Rasulullah di atas ini diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, iaitu ketika baginda Rasulullah s.a.w. pertama kali berhijrah ke Madinah (Yathrib), baginda telah menyaksikan penduduk Madinah telah melakukan jualbeli salam terutama buah-buahan selama satu tahun, dua tahun dan tiga tahun. Melihatkan fenomena ini, Rasulullah s.a.w. telah mengakui jenis jualbeli ini dengan syarat akadnya jelas serta ditentukan ciri-cirinya dan waktu penyerahannya.

Berdasarkan Ijma’ >> Berkata Ibnu al-Munzir : Telah bersepakat oleh ahli ulama’ dengan mengharuskan jual salam, kerana orang-orang ramai sangat-sangat memerlukan kepadanya. Begitu juga para petani, pekedai-pekedai dan ahli perniagaan, mereka memerlukan wang untuk membantu mereka dan membesarkan pertanian, perdagangan dan sebagainya. Oleh sebab itulah diharuskan jual salam untuk membantu keperluan mereka.


RUKUN JUAL SALAM

1. Penjual dan pembeli
2. Barangan yang dijual.
3. Harga bayaran (wang)
4. Sighah (Lafaz akad ijab dan qabul).



SYARAT-SYARAT BARANG JUAL SALAM

1. Hendaklah dinyatakan jenis barang yang dijual seperti beras siam, beras mahsuri, dan sebagainya, dan sifat-sifatnya seperti beras mahsuri no. 1, telur ayam grade B dan sebagainya.

2. Barang yang dijual itu mesti ada sewaktu tempoh yang ditetapkan (tempoh masa penyerahan barangan). Sekiranya seseorang itu menjual salam suatu barang yang tidak dapat diserahkan pada masa yang dijanjikan, maka hukumnya adalah tidak sah. Contohnya, menjual buah rambutan yang masih berpohon rendah yang dijanjikan penyerahannya dalam masa sebulan.

3. Barang tersebut kebiasaannya ada, bukan barang yang jarang-jarang ada kerana barang-barang yang jarang–jarang ada itu tidak diyakini untuk memperolehinya di waktu yang telah ditetapkan.

4. Barang yang dijual itu hendaklah dari jenis yang boleh dijualbeli.

5. Barang jualan tersebut menjadi hutang penjual. Maka tidak sah jual salam sekiranya penjual berkata, “Aku jual kepada engkau meja ini dengan harga $80.00.”

6. Barang itu mestilah diberikan kepada pembeli apabila sampai tempoh masa yang dijanjikan.

7. Hendaklah penyerahan atau penerimaan barang tersebut ditangguh penyerahannya kepada masa yang tertentu. Menurut Mazhab Maliki - minima 15 hari, manakala menurut Imam Shafi’e pula - tempoh penangguhan tidak disyaratkan.


SYARAT-SYARAT HARGA JUAL SALAM

1. Bayaran bagi barang yang ditempah hendaklah secara tunai.

2. Bayaran diserahkan dalam Khiyar Majlis ‘aqad jual beli itu juga. Jadi, tidak boleh dianggap mengandungi Khiyar Syarat kerana tempoh tangguh penyerahan barang bukan tempoh khiyar. Khiyar telah dipersetujui semasa ‘aqad.


SYARAT SAH AKAD JUAL SALAM

1. Harga barangan mestilah dibayar di majlis akad (dibayar terlebih dahulu).

2. Hendaklah disebut semasa akad jual salam itu jenis barang yang dijual dengan sifat-sifat yang berbeza, seperti lembu jantan, kambing jantan berusia dua tahun dan seumpamanya.

3. Hendaklah disebut tempoh masa yang tertentu semasa akad seperti bulan Muharram, bulan Januari dan sebagainya.

4. Disebutkan tempat penerimaannya sekiranya tempat akad itu tidak sesuai untuk menjadi tempat penyerahan barangan. Contohnya, seperti kawasan terpencil atau pendalaman.

5. Hendaklah berterimaan kedua-dua belah pihak di majlis akad sebelum berpisah. Kerana seandainya dilambatkan bayaran, bukannya jual salam bahkan dinamakan jual hutang dengan hutang,.

6. Akad jualbeli salam adalah tunai (terlaksana). Dalam erti kata lain, tidak boleh disyaratkan khiyar (khiyar syarat) sama ada kedua-dua belah pihak atau salah seorang dari keduanya.

BUDI PEKERTI DALAM JUAL SALAM

« Masing-masing penjual dan pembeli hendaklah bersikap jujur dan tulus ikhlas serta hendaklah amanah dalam perjanjian yang telah dibuat.

« Penjual hendaklah berusaha memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

« Pembeli janganlah pula cuba menolak barang-barang yang telah dijanjikan itu dengan membuat pelbagai alasan palsu.

« Apabila diserahkan barang itu sebagaimana yang disifatkan di dalam akadnya atau lebih baik lagi, wajiblah pembeli menerimanya.

« Sekiranya barang yang dibawa itu terkurang sedikit daripada syarat-syarat yang telah dibuat, masing-masing hendaklah bertoleransi dan mencari keputusan yang sebaiknya. Pembeli (tidak wajib) dibolehkan tidak menerima barang tersebut.

PERBEZAAN DI ANTARA
JUAL SALAM DENGAN JUALBELI

JUAL BELI

1. Dalam jualbeli biasa, pembeli dibolehkan membayar barangan jualbeli sama ada dengan cara tunai atau hutang, harga tetap atau tawaran.
2. Harga barangan boleh dilakukan sama ada dengan cara tunai (cash) atau cek (cheque) dan yang sebanding dengannya.
3. Bagi jualbeli biasa, bayaran bagi sesuatu barang yang dibeli boleh dibayar tunai dan boleh juga dengan cara hutang, mengikut budi bicara masing-masing.

4. Dalam jualbeli biasa, barang jualan boleh dilihat semasa akad.

5. Barang yang dijual tidak semestinya ditentukan ciri-ciri atau sifatnya.

JUAL SALAM

1. Harga barang dalam jual beli salam tidak boleh diubah-ubah, namun harus diserahkan semasa akad.

2. Harga yang diberikan dalam jual Salam adalah tunai (cash). Seandainya menggunakan cek maka hukumnya tidak sah, kerana pengusaha atau penjual memerlukan modal.

3. Penjual atau pengusaha tidak boleh menentukan pembeli membayar barang tersebut secara hutang (bayar kemudian).

4. Dalam jual salam, barang jualan belum dapat dilihat semasa akad jualbeli.
5. Barang jual salam mesti ditentukan sifat-sifat dan ciri-ciri barang jualan.


HIKMAT JUAL SALAM

{ Untuk memberi kemudahan kepada ahli-ahli perusahaan atau ahli perniagaan mendapatkan modal bagi menjalankan urusan perusahaan dan perniagaan.

{ Memberi peluang berunding dengan lebih baik di antara penjual dan pembeli mengikut cara yang diizinkan oleh syara’.

{ Memberi peluang kepada penjual menyediakan barang yang tidak ada atau belum siap seperti yang diperlukan oleh pembeli.

{ Pembeli akan mendapatkan barangan yang lebih baik dan selesa sebagaimana yang dikehendakinya menurut bentuk-bentuk yang telah ditetapkan, sekaligus memberi kepuasan kepada pelanggan (pembeli).

{ Meningkatkan daya kreativiti penjual dalam menyediakan barang (benda) yang ditempah.

{ Membolehkan para peniaga merancang pembangunan perniagaan berdasarkan selera pelanggan yang berbagai-bagai ragam.

{ Merupakan salah satu bentuk pertolongan di antara sesama manusia.
qalam_azraq, 25092008 / 5.25am

0 comments: