CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, September 24, 2008

MU’AMALAT - BAB 5 {ekstra} BAI'U ISTISNA & BAI'U BITHAMAN AAJIL

JUAL ISTISNA’

TA’RIF ISTISNA’

ISTISNA’ ialah suatu akad untuk membeli barang yang tertentu yang akan diperbuat oleh tukang (pengusaha) yang mana barang tempahan dan usaha pembuatannya itu adalah dari pengusaha.

Jual Istisna’ juga bermaksud konsep jualbeli yang dipersetujui di antara pembuat barangan yang ditempah dengan pembeli, dan barangan yang hendak dibuat atau ditempah itu disebutkan kadar dan jenisnya serta bahan yang hendak digunakan itu juga ialah bahan yang ada pada pembuat atau pengusaha.

Dalam jualbeli istisna’ ini, pembeli akan menentukan kadar dan bentuk yang dikehendakinya dan pembuat atau pengusaha akan membuat dengan persetujuan dan kerelaan kedua-dua belah pihak.

Sebagai contoh, seorang pembeli menempah sepasang kasut kepada seorang tukang kasut.

Maka apabila barang itu dari penempah bukan dari pengusaha, maka akad tersebut dinamakan ijarah (Upah atau sewa) bukannya istisna’.

RUKUN ISTISNA’

Rukun Istisna’ ini sama seperti rukun jual beli, iaitu ;

$ Penempah atau pembeli
$ Pengusaha atau penjual
$ Barang yang ditempah atau yang diusahakan
$ Harga atau wang
$ Sighah atau Ijab dan Qabul

HUKUM ISTISNA’

Adapun akad istisna’ ini menyerupai jual salam, kerana kedua-dua jenis jualbeli ini melibatkan barang yang ma’dum (tidak jelas / samar-samar) atau barang yang tiada semasa akad. Walau bagaimanapun, perbezaan yang ketara di antara keduanya ialah jual salam dimestikan bayaran tunai semasa akad, sementara jual istisna’ tidak wajib disegerakan bayaran dan tidak ditentukan tempoh masa.

Pendapat yang sahih dari kalangan Ulama’ Hanafiyah mengatakan bahawa istisna’ ini adalah jual beli, bukan janji untuk menjual dan bukan juga ijarah. Sementara mengikut Qiyas, jual istisna’ ini tidak harus kerana menjual barang yang ma’dum. Namun begitu, pada pendapat Hanafiyah, istisna’ (jualbeli secara tempahan) ini adalah harus dipandang dari sudut istihsan, kerana banyak berlaku di kalangan orang ramai dan mereka mengetahui pada setiap masa tidak ada sesiapapun yang mengingkarinya. Oleh itu, sebagai ijma’ dari mereka mengharuskannya.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. ;
“Tidak bersepakat (ijma’) umatku tentang perkara kesesatan.”

Dan berkata Ibnu Mas’ud r.a. ;
“Mana-mana yang memikir oleh orang Islam itu baik, maka perkara itu disisi Allah juga adalah baik.”

Menurut pendapat Ulama’ Malikiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah, jualan secara istisna’ ini adalah sah mengikut asas jual salam dan orang ramai telah pun mengetahui. Manakala syaratnya adalah sama dengan syarat jual salam dan sah di sisi Syafi’iyah sama ada ditentukan padanya tempoh masa untuk menyerahkan sesuatu yang ditempah ataupun tidak dengan dibayar tunai.


SYARAT-SYARAT ISTISNA’

Disyaratkan bagi harusnya istisna’ itu beberapa syarat ;

1. Hendaklah menyatakan jenis yang ditempah, kadar dan sifatnya.

2. Hendaklah dari barang-barang yang banyak berlaku atau kebiasaan berlaku di kalangan orang ramai menempahnya. Seperti kasut, perabut rumah, dan seumpamanya.

3. Tidak ada padanya tempoh masa. Sekiranya ditentukan tempoh masa untuk penyerahan barang tempahan, berubah akad itu menjadi akad jual salam di sisi Abu Hanifah. Sementara as-Sahibani berpendapat, ini bukan syarat dan akad ini menjadi istisna’ sama ada ditentukan tempoh masa atau tidak.


HIKMAT JUAL ISTISNA’

Di antara hikmat yang diutarakan oleh para ulama’ yang mengharuskan jual istisna’ ini ialah ;

& Pembeli dapat menjelaskan bayaran secara ansuran.
& Pembeli dapat memiliki barangan yang diperlukannya dengan lebih cepat, sekalipun belum mempunyai wang yang mencukupi.
& Penjual dan pengusaha boleh menggunakan sebahagian cengkeram dan bayaran pendahuluan daripada pembeli sebagai tambahan modal perusahaannya.
& Melalui jual istisna’ ini boleh mengeratkan perasaan saling bantu membantu di antara sesama manusia.
& Memupuk rasa saling bertanggungjawab dan amanah dalam bermu’amalat.
& Salah satu bentuk kemudahan dalam Islam kepada umat manusia khasnya dalam mencari rezeki dan keperluan secara halal dan diharuskan oleh syara’.


PERBEZAAN ANTARA JUAL SALAM DENGAN ISTISNA’

Æ Barang jualan pada salam adalah hutang yang ditanggung oleh penjual. Ada kalanya barang tersebut boleh disukat, ditimbang, dihitung dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain, jual salam ditentukan sukatan, timbangan dan bilangan. Manakala barang yang dijual pada istisna’ pula ialah barang yang bukan menjadi hutang, hanya ditentukan ain atau jenis barang sahaja seperti menempah perabot rumah, kasut atau menjahit pakaian, tanpa dinyatakan warna atau keadaannya.

Æ Disyaratkan pada jual salam itu tempoh masa penyerahan barang jualan. Berbeza dengan istisna’ tidak ditentukan tempoh masa pada pendapat Imam Abu Hanifah.

Æ Akad jual salam adalah lazim (terlaksana atau tunai) dan pasti, sementara akad istisna’ tidak lazim.

Æ Disyaratkan pada jual salam mesti menerima bayaran di dalam majlis akad jualbeli (Bayaran tunai semasa akad). Berlainan dengan istisna’, tidak disyaratkan menerima pembayaran di dalam majlis akad.

JUALAN HARGA BERTANGGUH
{ BAI'U BITHAMAN AAJIL }

Mengikut sistem (peraturan) Bai’u Bithaman Aajil ini, penjual menyerahkan barang kepada pembeli dengan segera manakala pembeli pula menangguhkan pembayaran harga barang tersebut kepada suatu tempoh tertentu, ataupun membuat bayaran secara beransur-ansur. Kebanyakan Fuqaha’ mengharuskan bayaran lebih tinggi ke atas barang itu berbanding dengan harga tunai.

Para Fuqaha’ berpegang kepada dalil-dalil berikut ;

1) Firman Allah (Surah al-Baqarah : 275) ;
“Padahal Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba...”

2) Firman Allah (Surah an-Nisaa’ : 29) ;
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali engkau melakukan perniagaan dengan redha meredhai dari kalangan kamu.”

Berdasarkan dua ayat di atas dan pandangan Zaid bin Ali, juga Syeikh Doktor Sadiq ad-Dharir, mengharuskan amalan itu dilakukan oleh bank-bank Islam sebagai media (instrument) pelaburan. Namun begitu, beliau menyarankan dua perkara untuk kebajikan ramai, iaitu ;

O Perbezaan harga ke atas barang yang dibeli oleh pelanggan yang memerlukan dan bukan untuk tujuan perdagangan hendaklah rendah, kerana dengan itu bank dapat menunjukkan perkhidmatannya kepada orang ramai.

O Sekiranya melibatkan wang yang banyak, seperti jualbeli rumah atau bangunan-bangunan perniagaan bank mempunyai dua alternatif :

¶ Bank membeli tanah dan membina rumah di atasnya, kemudian dijual kepada pelanggan dengan harga tangguh.
¶ Bank membeli rumah siap dan dijual kepada pelanggan dengan harga tangguh.
qalam_azraq, 25092008 / 5.00am

0 comments: