CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, September 26, 2008

MUNAKAHAT - BAB 1 [MEMINANG]


KONSEP PEMINANGAN DALAM ISLAM
PENGENALAN MERISIK DAN MEMINANG

Merisik merupakan langkah pertama untuk mendirikan rumahtangga. Amalan ini telah menjadi adat kebiasaan bagi pihak lelaki yang berkenan kepada seseorang perempuan untuk dijadikan teman hidupnya. Walaupun begitu tidak salah sekiranya pihak perempuan merisik lelaki yang menjadi pilihannya.

Amalan ini biasanya dilakukan sendiri oleh ayah atau ibu pihak lelaki atau menghantar wakil berkunjung ke rumah keluarga perempuan yang menjadi pilihan pihak lelaki. Tujuannya ialah hendak bertanyakan perihal anak perempuan keluarga tersebut sama ada sudah dipinang orang ataupun belum, serta menyatakan hajat pihak lelaki untuk melamarnya.

Seandainya risikan itu mendapat jawapan yang positif, maka pihak lelaki boleh membuat keputusan sama ada hendak meneruskan hasratnya atau membatalkannya. Jika ia memilih untuk meneruskan hasratnya, maka bermulalah langkah kedua untuk mendirikan rumahtangga, iaitu meminang dengan maksud menyatakan hasrat untuk menjadikan anak perempuan dari pihak yang dirisik sebagai bakal isteri dan hasrat ini sama ada diterima atau ditolak oleh keluarga pihak perempuan, walaupun pada kebiasaannya kemungkinan diterima lebih banyak daripada ditolak.

Dalam adat meminang biasanya pihak lelaki akan membawa sesuatu hadiah dan barang yang boleh menjadi tanda pertunangan, seperti cincin pertunangan, wang perbelanjaan, barang-barang hantaran lain. Dengan erti kata lain, cincin pertunangan menjadi tanda bahawa anak perempuan keluarga tertentu telahpun diikat janji untuk dinikahkan dengan lelaki yang tersebut pada tempoh yang dipersetujui bersama antara pihak lelaki dan perempuan.

Antara perkara yang dibincangkan dalam merisik ialah ;
} Pengenalan keluarga lelaki dan perempuan.
} Pengenalan anak lelaki dan perempuan.
} Menyatakan hasrat merisik.
} Persefahaman antara kedua-dua belah pihak keluarga.
} Menerima atau menolak hasrat pihak lelaki yang merisik.

Di antara perkara yang dibincangkan dalam meminang pula ialah ;

Ø Memperjelaskan hasrat dalam risikan dan persetujuan pihak perempuan menerima hasrat pihak lelaki.
Ø Membaca khutbah meminang.
Ø Melakukan peminangan iaitu menyatakan hasrat oleh pihak lelaki dan penerimaan oleh pihak perempuan.
Ø Memberi hadiah atau tanda pertunangan.
Ø Membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan ‘akad nikah dan majlis walimatul-urus seperti ;
· Tempoh bertunang.
· Batas perhubungan anak lelaki dan anak perempuan dalam tempoh bertunang.
· Maskahwin (mahar) dan hantaran.
· ‘Akad Nikah.
· Walimatul-Urus (kenduri kahwin).
· Perkara-perkara adat istiadat yang tidak bertentangan dengan syara’.


PENGERTIAN MEMINANG

Meminang ialah melahirkan perasaan ingin berkahwin dari seorang lelaki (bakal suami) terhadap seorang perempuan untuk dijadikan pasangan teman hidupnya (bakal isteri).
Dalam syara’, pendahuluan akad nikah dinamakan pinangan ( KHITBAH ) iaitu pihak lelaki menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan seseorang perempuan secara langsung atau melalui kerabat atau sahabatnya yang diutus khas untuk merundingkan perkahwinan.


HUKUM MEMANDANG BAKAL ISTERI

Adapun hukum memandang bakal isteri adalah disunatkan ke atas bakal suami begitu juga sebaliknya. Tujuan diharuskan melihat pasangan masing-masing sebelum dilakukan upacara pertunangan adalah untuk memuaskan hati kedua-dua belah pihak, agar hidup mereka penuh dengan kebahagiaan dan kasih sayang, rukun damai dan mengelakkan penyesalan kemudian hari.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :
Sesungguhnya al-Mughairah (ibn Syu’bah) telah berazam untuk meminang seorang perempuan, maka Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepadanya, “Pandanglah perempuan itu kerana memandangnya itu lebih utama untuk menjalinkan kasih sayang (mengukuhkan pertalian) di antara kamu berdua.” [HR Ibn Ahmad, Ibn Majah dan at-Tirmidzi]

Dalam peristiwa lain, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Apabila ada antara kamu meminang perempuan, maka jika ia dapat melihat kepadanya akan perkara yang mendorong untuk mengahwininya hendaklah dilakukan.” [HR Ahmad dan Abu Daud]

Walau bagaimanapun, melihat kepada perempuan yang hendak dipinang itu adalah terbatas kepada muka dan dua tapak tangan sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu, kerana memandang muka sudah cukup untuk mengetahui kecantikannya sementara memandang dua tapak tangan pula ialah untuk mengetahui kesuburan tubuh badannya.

CARA-CARA MEMINANG

Sudah menjadi adat kebiasaan orang-orang Melayu mengadakan upacara pertunangan dengan cara menghantar sirih (junjung), cincin, pakaian persalinan, serta barang-barang hantaran yang lain yang dibawa oleh rombongan pihak pengantin lelaki, sebagai tanda perasmian pertunangan. Disamping menghantar tanda pertunangan ini diadakan jua perbincangan di antara kedua belah pihak untuk menetapkan hari bagi melangsungkan pernikahan dan kenduri perkahwinan.

Selain itu didapati juga cara-cara yang lain di mana bakal suami itu sendiri melahirkan keinginan kepada bakal isteri, sama ada dengan cara berterus terang (sorih), seperti katanya, “Saya mahu berkahwin dengan awak” ataupun secara sindiran (kinayah), seperti, “Awak ini cantik.”

Pada masa meminang, sunat membaca khutbah pada awalnya. Di dalam khutbah itu, peminang lebih dahulu memuji Allah s.w.t., kerana menurut Hadith yang diriwayatkan oleh Abi Daud, “tiap-tiap perkara yang tidak dimulakan dengan memuji Allah, nescaya terputus daripada keberkatan.” Selepas itu disusuli dengan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sambil berpesan supaya bertaqwa kepada Allah s.w.t. kemudian barulah dia meyatakan hajatnya, “Saya datang ke sini untuk meminang anak tuan.” Selepas itu, pihak wali perempuan pula berkhutbah lalu menyatakan jawapannya, misalnya, “Saya terima pinangan tuan terhadap anak saya.”


PEREMPUAN YANG BOLEH DIPINANG

Di antara perempuan yang diharuskan dipinang oleh seorang lelaki ialah seperti berikut ;

J Perempuan yang bukan di dalam iddah raj’iyyah iaitu iddah yang membolehkan bekas suami ruju’ semula, kerana perempuan seperti ini masih dianggap sebagai isteri kepada bekas suaminya.

Firman Allah (Surah al-Baqarah :235) ;
Dan janganlah kamu berazam (bertetap hati) untuk ber’akad nikah, sebelum selesai iddahnya.”

Bagi perempuan yang sedang di dalam iddah ba’in, iaitu iddah yang tidak membolehkan bekas suami meruju’ isterinya semula, seperti isteri yang telah ditalaq tiga, adalah harus dipinang dengan cara sindiran. seperti kata bakal suami : Awak ini cantik, atau banyak orang sukakan awak, dan sebagainya.

Sebagaimana Firman Allah (Surah al-Baqarah : 235) ;
“Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita* itu (yang suaminya telah meninggal dunia dan masih dalam iddah) dengan cara sindiran.”

Adapun yang dimaksudkan dengan ‘wanita-wanita itu’* dalam ayat tersebut ialah wanita-wanita yang telah meninggal dunia suaminya dan masih dalam iddah. Sementara maksud ‘dengan cara sindiran’ iaitu perempuan yang dalam iddah kematian suami dan perempuan yang diceraikan dengan talaq ba’in sahaja.

Antara sebab dilarang (tidak digalakkan) meminang perempuan yang sedang dalam iddah ba’in dengan cara terus-terang ialah kerana boleh jadi perempuan itu akan berdusta mengatakan bahawa iddahnya telah habis atau menyembunyikan sesuatu yang tidak patut disembunyikan seperti hamil.

Lantaran dengan cara sindiran boleh dilakukan, kerana sindiran tidak meyakinkan lelaki yang meminang itu benar-benar inginkan perempuan (janda) tersebut. Malah kata-kata sindiran dianggap kata-kata yang masih samar-samar yang memungkinkan lelaki itu hanya bergurau senda sahaja, bukan bermaksud ingin berkahwin dengannya. Jadi dengan cara sebegini, perempuan tersebut (janda yang dithalaq tiga) sudah tentu tidak akan berdusta, kerana ia tidak benar-benar yakin terhadap pinangan lelaki itu.

J Perempuan yang bukan di dalam pertunangan dengan orang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. ;
“Tidak harus seseorang lelaki meminang pinangan saudaranya sehingga peminang yang dahulu itu meninggalkannya atau pun peminang yang dahulu itu memberi keizinan kepadanya untuk meminang.” [HR al-Bukhari dari Ibnu Umar]

ÿ HARUS - Meminang gadis atau janda yang sudah habis ‘iddahnya atau yang telah dithalaq tiga (‘iddah ba’in), ‘iddah wafat atau wati syubhah.

ÿ HARAM - Meminang janda yang dalam ‘iddah raj’iyyah dan haram juga meminang perempuan yang masih dalam pinangan orang lain kecuali telah nyata pinangan itu ditolak atau telah diputuskan.

J Perempuan yang bukan muhrim kepada bakal suami, seperti ibu, kakak, adik perempuan, ibu saudara, nenek dan seumpamanya.

J Perempuan yang bukan isteri orang lain.


BATAS PERGAULAN SEMASA BERTUNANG

Syari’ah Islam membenarkan lelaki melihat perempuan yang menjadi pilihannya untuk dijadikan isteri dengan tujuan ;
« Mengenalinya dengan lebih jelas.
« Mengetahui tahap keteguhan agamanya.
« Mengetahui tahap keluhuran budi pekertinya.
« Mengetahui tahap pemikiran dan emosinya.
« Mengetahui hal-hal peribadi atau sakhsiyyah yang lain.

Kelonggaran ini dibenarkan oleh Islam dengan syarat kedua-dua pihak memang sudah membuat azam yang kukuh untuk merapatkan hubungan bagi memastikan perkahwinan mereka kelak dapat dibina atas asas persefahaman dan keserasian yang teguh. Perbuatan itu pula bukanlah dengan tujuan untuk memenuhi dorongan nafsu jahat sehingga berlaku maksiat. oleh itu, batasan pergaulan yang diizinkan oleh Islam hendaklah dipatuhi.

Di antara batas utama yang dibolehkan dalam Islam bagi bakal suami dan bakal isteri ialah ;
(a) Lelaki melihat perempuan pada muka dan dua tapak tangan dan tidak boleh bersentuhan.
(b) Pertemuan yang sopan dan di tempat yang terpelihara daripada gejala sosial dan maksiat.
(c) Pertemuan antara lelaki dan perempuan yang bertunang hendaklah ditemani oleh mahramnya supaya batas-batas pergaulan dapat dipatuhi.
(d) Pertemuan itu tidak terlalu kerap sehingga menimbulkan fitnah.

Sehubungan dengan batas pergaulan yang diharuskan oleh Islam terhadap pasangan yang bertunang, Islam tetap melarang perlakuan berdua-duaan, berkhalwat dan bergaul bebas, pergi ke sana ke mari seperti yang berlaku dalam masyarakat hari ini kerana perbuatan tersebut adalah haram dan boleh mendatangkan banyak keburukan kepada diri, keluarga dan masyarakat. dengan kata lain, kelonggaran yang diberikan oleh Islam adalah untuk memastikan bahawa bakal suami isteri itu akan dapat meletakkan asas kebahagiaan rumahtangga berdasarkan nilai agama dan kemanusiaan yang tulen, bukan berdasarkan penilaian nafsu, tetapi dengan penilaian hati yang luhur dan ikhlas, rela dan menerima kehadiran antara kedua belah pihak.

Ringkasnya, semasa bertunang, hubungan seseorang wanita dan lelaki tetap haram selagi akad nikah belum dilakukan. Bertunang bukanlah tiket untuk bergaul bebas antara lelaki dan perempuan.


BATASAN ANGGOTA PEREMPUAN YANG BOLEH DILIHAT

Imam Malik dan Imam Syafi’ie mengharuskan melihat muka dan dua tapak tangan sahaja. Sementara Imam Abu Hanifah pula berpendapat boleh melihat dua kaki, muka dan dua tapak tangan.

Perselisihan mereka berpunca daripada berbagai-bagai nas. Ada nas yang membolehkan memandang secara mutlak, ada nas yang membolehkan melihat batasan-batasan yang tertentu dan ada pula nas yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan sahaja. Inilah yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha’ kerana berdasarkan Firman Allah (Surah an-Nuur : 31) ;
“.....dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak.....”
iaitu ditafsirkan dengan ‘muka dan dua tapak tangan.’

Perbuatan melihat itu boleh dilakukan beberapa kali jikalau keadaan memerlukan demikian. Sementara itu, para fuqaha’ telah bersetuju bahawa melihat perempuan secara berkhalwat di antara mereka berdua tidak dibenarkan, kerana khalwat itu sendiri hukumnya adalah haram.

Sabda Rasulullah s.a.w. ;
“Apabila berkhalwat seseorang lelaki dengan perempuan, maka pihak ketiganya ialah syaitan.”

Dalam pada itu, pihak perempuan juga sunat melihat bakal suaminya pada bahagian selain aurat, kerana memberi peluang yang sama di antara bakal isteri dan bakal suami.


LAMARAN / PERTUNANGAN

Dalam proses melamar atau dalam tempoh pertunangan, lazimnya ia bertujuan untuk mengetahui latar belakang pasangan masing-masing yang diminati dari segi fizikal, mental dan sikap perlakuan.
Dalam Islam, lelaki boleh melamar wanita dan perempuan juga boleh melamar lelaki.

Pertunanganpengisytiharan untuk menyatukan kedua-dua lelaki dan perempuan sebelum rasminya menjadi suami isteri (hidup berumahtangga).
Bertunang ialah permintaan dari seorang lelaki kepada pihak perempuan untuk mengahwininya sama ada dilakukan oleh dirinya sendiri ataupun keluarganya dengan perantaraan pihak-pihak tertenu yang dipercayai sesuai dengan kehendak Islam.


PROSES PERTUNANGAN

1. Pihak yang meminang menyatakan ucapan hajat peminangan dan dijawab oleh pihak yang menerima peminangan secara ringkas (khitbah al-hajat).

2. Apabila pihak yang menerima peminangan bersetuju, pertunangan berlaku (berlangsung).

3. Diselajurkan dengan majlis ‘Doa Selamat’ atau ‘Doa Kesyukuran.’

4. Masa pertunangan ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak keluarga.

ANTONIM nya ;
Akad Nikah --> Ikatan Perkahwinan.
Pertunangan --> Bukan ikatan.

Tidak disyaratkan ‘menyarung cincin’ di jari dan segala hantaran yang beraneka macam.
Ia dilakukan hanya semata-mata berupa persetujuan kedua-dua belah pihak keluarga.


HUKUM BERTUNANG (MELAKUKAN PERTUNANGAN)

(1) Jumhur Ulama’ mengatakan - HARUS
Kerana : ia bertujuan untuk saling kenal-mengenali di antara satu sama lain.

(2) Sebahagian ulama’ mengatakan - mengikut hukum perkahwinan itu sendiri.
Ertinya : Kalau perkahwinan itu dihukumkan wajib, maka pertunangan itu juga menjadi wajib. Begitu juga dengan hukum-hukum yang lain.

(3) Ada ulama’ lain mengatakan - SUNAT


ASAS PERTUNANGAN

Firman Allah (Surah al-Baqarah : 235) ;
“Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita* itu dengan sindiran, atau kamu menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan-perkataan yang ma’aruf. Dan janganlah kamu berazam (bertetap hati) untuk beraqad nikah, sebelum habis ‘iddahnya. Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu, maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.”


PEMBUBARAN PERTUNANGAN

Timbul persoalan : Sekiranya pertunangan terputus, bagaimana dengan barang hantaran pertunangan yang telah diserahkan kepada kedua-dua belah pihak bakal pengantin ?

(a) Mazhab Syafi’ie dan Hanbali

WAJIB memulangkan semula hantaran pertunangan kedua-dua belah pihak tanpa melihat siapa yang membuat angkara (yang memutuskan pertunangan).

(b) Mazhab Maliki

Pihak yang menyebabkan terputusnya ikatan pertunangan WAJIB memulangkan semula hantaran pertunangan. Pihak yang teraniaya boleh mengambil barang hantaran pertunangan kesemuanya tanpa mengembalikannya semula.

(c) Mazhab Hanafi

Sekiranya segala barang hantaran masih ada, mesti dipulangkan kembali dengan tidak mengira siapa penyebab terputusnya pertunangan. Namun jikalau sekiranya rosak atau telah diguna pakai, maka tidak jadi mengapa (tidak perlu dipulangkan).

Menurut Jumhur Ulama’ -->
Mahar (Mas Kahwin) mesti dipulangkan kembali kepada pihak lelaki seandainya tidak jadi berkahwin.


HIKMAT (TUJUAN) PERTUNANGAN

Æ Persetujuan mengikat janji untuk perkahwinan.
Æ Untuk menghebahkan atau mengumumkan kepada masyarakat sekeliling.
Æ Supaya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara keluarga kedua-dua belah pihak.
Æ Melahirkan sikap jimat cermat dan membentuk ciri-ciri kejujuran serta keyakinan diri.
Æ Untuk menentukan kadar mahar (mas kahwin) dan lain-lain pemberian (barang hantaran).
Æ Untuk menetapkan tarikh, tempat dan hari perkahwinan yang dipersetujui oleh keluarga kedua pihak.
Æ Sebagai persediaan mempelajari hukum-hakam perkahwinan sebelum mendirikan rumahtangga.

PERMASALAHAN BERHUBUNGKAIT DENGAN PEMINANGAN ;

SEBAB-SEBAB YANG MEMBOLEHKAN PEMINANGAN KEDUA BERLAKU

Di antara sebab-sebab yang membolehkan peminang kedua masuk meminang ialah seperti berikut ;

1) Ada keizinan daripada peminang pertama kepada peminang yang kedua. Atas sebab ini, peminang kedua diharuskan meminang dan secara tidak langsung pertunangan dari pihak yang pertama terputus.

2) Tidak ada sikap pemedulian daripada pihak peminang pertama terhadap tunangnya dari pelbagai sudut. Jadi peminang kedua dibolehkan untuk masuk meminang.

3) Apabila peminang pertama murtad, maka pertunangan itu dengan sendirinya terbatal. Kes seumpama ini diqiyaskan dengan hukum perkahwinan, walaupun pemutusan pertunangan tidak diisytiharkan dengan rasmi. Dalam hal ini, peminang kedua diharuskan masuk meminang.

4) Apabila peminang pertama keluar (musafir) ke sesuatu tempat yang jauh dan putus hubungannya dengan tunangnya. Difahami bahawa dia tidak menghendaki tunangnya itu lagi (dilihat dari segi persepsi masyarakat).

5) Peminang pertama tidak menghalang peminang yang kedua untuk meminang tunangnya. Sehinggakan peminang kedua meminta izin, peminang pertama tidak menyatakan ‘ya’ atau ‘tidak’.

6) Ada tanda-tanda lahir menunjukkan peminang pertama memutuskan pertunangan. Contohnya, dia berkahwin dengan seorang perempuan yang tidak boleh disekalikan dengan tunangannya (ataupun adik beradik tunangnya).

7) Peminang pertama tidak mengisytiharkan pertunangannya sehingga peminang kedua tidak mengetahui akan perkara tersebut.

8) Pertunangan yang pertama menjadi haram. Iaitu kerana pinangan terhadap seorang perempuan yang diceraikan dengan talaq raj’ie (talaq satu atau dua) dan masih berada dalam iddah. Ertinya, peminang pertama meminang perempuan yang diceraikan dalam masa iddahnya belum selesai.

PEMINANGAN DALAM ISLAM
{SISIPAN}

1. Meminang ertinya ialah membuat lamaran untuk berkahwin. Maksudnya, lamaran daripada seorang lelaki kepada seorang perempuan pilihannya untuk dijadikan isteri.

2. Meminang boleh dilakukan sama ada secara berterus terang (sorih) atau cara kiasan / sindiran (kinayah).

3. Lamaran untuk berkahwin bukan terikat kepada orang lelaki sahaja tetapi perempuan juga boleh melamar lelaki yang dia suka.

4. Secara tafsilnya, khitbah merupakan permohonan rasmi daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan untuk berkahwin. Jika berlaku sebaliknya dianggap sebagai menawarkan diri untuk dipinang.

5. Hukum meminang adalah harus terhadap perempuan yang dipilih untuk menjadi bakal isterinya.

6. Antara syarat-syarat perempuan yang diharuskan untuk dipinang ialah :
Bukan isteri orang.
Bukan tunangan orang.
Bukan muhrim sendiri.
Perempuan yang bukan dalam idah raj’ie (talaq 1 dan 2)

7. Urusan peminangan biasanya dilakukan oleh orang perantaraan daripada pihak lelaki dan diajukan kepada wakil pihak perempuan.

8. Islam mengharuskan lelaki melihat bakal isterinya. Namun begitu, tempat-tempat yang diharuskan ialah muka dan dua tapak tangan (dari hujung jari hingga pergelangan tangan) sahaja.

9. Golongan lelaki juga digalakkan menyelidiki latar belakang perempuan yang bakal menjadi isterinya supaya perkahwinan mereka nanti akan berkekalan.

10. Apabila lamaran telah diterima, maka terjalinlah ikatan pertunangan di antara kedua-dua belah pihak.

11. Islam tidak melarang memberi tanda pertunangan dan mengadakan kenduri (walimah) untuk mengisytiharkan pertunangan. Walau bagaimanapun, masih ada batasan bahkan diharamkan pergaulan bebas di antara kedua pasangan sekalipun telah bertunang.

qalam_azraq, 26092008 / 5.45am

0 comments: