CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, September 27, 2008

MUNAKAHAT - BAB 4 [MUHRIM]


MUHRIM
PEREMPUAN YANG HARAM DIKAHWINI



PEREMPUAN YANG HARAM DIKAHWINI
1. Haram buat selama-lamanya (Haram Mu'abbad)
2. Haram buat sementara waktu (Haram Mu'aqqat)


Kategori perempuan yang haram dikahwini buat selamanya terbahagi kepada tiga sebab utama, iaitu;
1. Haram dengan sebab keturunan atau kerabat / kekeluargaan (NASAB)
2. Haram dengan sebab penyusuan (RADHA’AH)
3. Haram dengan sebab persemendaan atau berambil-ambilan (MUSOHARAH)


HARAM DENGAN SEBAB KETURUNAN (NASAB)

1. Ibu, dan ibu kepada ibu (nenek) dan ibu kepada bapa (nenek) hingga ke atas. [Ibu kandung, nenek datuk kandung sahaja]

2. Anak perempuan dan cucu perempuan hingga ke bawah. [Anak perempuan atau cucu perempuan kandung]

3. Saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu sahaja. [Adik beradik perempuan]

4. Saudara perempuan bagi bapa (emak saudara sebelah bapa) hingga ke atas.

5. Saudara perempuan bagi ibu (emak saudara sebelah ibu) hingga ke atas.

6. Anak saudara perempuan dari saudara lelaki hingga ke bawah. [Anak buah yang perempuan]

7. Anak saudara perempuan dari saudara perempuan hingga ke bawah. [Anak buah yang perempuan]

Dalil bagi pengharaman tersebut adalah berdasarkan Firman Allah (Surah an-Nisaa’ : 23) ;
“Diharamkan ke atas kamu (mengahwini) ibu-ibu kamu, anak-anak kamu yang perempuan, saudara –saudara kamu yang perempuan, saudara-saudara bapa kamu yang perempuan (emak saudara sebelah bapa), saudara-saudara ibu kamu yang perempuan (emak saudara sebelah ibu), anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang lelaki (anak saudara perempuan dari saudara lelaki), dan anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan (anak saudara dari saudara perempuan kamu).”

Adapun hikmat pengharaman mengahwini kategori perempuan yang tersebut (haram dengan sebab keturunan) ini antara lain adalah kerana membangunkan sistem kekeluargaan berasaskan cinta-mencintai dan saling kasih sayang yang sebenar yang tidak dicampuri oleh sebarang kepentingan. Maka dengan pengharaman ini terputuslah sikap tamak dan haloba serta sempurnalah pergaulan dan percampuran dengan baik. Seandainya mengahwini salah seorang dari mereka yang tersebut, boleh membawa kepada putusnya hubungan silaturrahim terutama apabila berlaku pertengkaran dan perbalahan antara suami isteri dan memutuskan silaturrahim itu adalah haram. Selain itu juga, pengharaman ini adalah semata-mata untuk menghindarkan percampuran nasab (keturunan) dan mengelakkan dari kecelaruan keturunan yang mengakibatkan rosaknya institusi kekeluargaan dalam Islam, disamping untuk memperelokkan akhlak, sakhsiyah dan etika moral umat Islam.

Perhatian :

Anak perempuan yang lahir hasil dari perzinaan, tidak haram dengan bapa zinanya kerana anak perempuan yang lahir dari zina dianggap orang asing (ajnabiyah) baginya. Ini adalah kerana air mani zina itu tidak dihormati. Walau bagaimanapun, adalah makruh bagi bapa zina mengahwini anak zinanya itu.

Namun begitu berdasarkan perselisihan pendapat, ulama’ Abu Hanifah (Mazhab Hanafi) berpendapat - Tidak halal bagi bapa zina mengahwini anak perempuan yang hasil dari zinanya malah anak zinanya itu dianggap sebagai muhrimnya, iaitu sama seperti anak biasa. Walaupun tidak halal (haram) dikahwini , namun dia tidak berhak mendapat harta pusaka dari bapa zinanya itu. Sementara bagi ibu yang berzina dan semua muhrim ibunya adalah haram mengahwini anak zinanya itu. Begitu juga anak zina itu berhak mendapat harta pusaka daripada ibunya.


HARAM DENGAN SEBAB PENYUSUAN (RADHA’AH)

1. Ibu yang menyusukan (Ibu susuan), hingga ke atas.

2. Anak perempuan susuan dan cucu perempuan susuan.

3. Saudara perempuan yang sepersusuan (anak perempuan bagi ibu susuan).

4. Saudara perempuan bagi ibu susuan (Emak saudara bagi saudara sesusuan sebelah ibunya / semua adik-beradik kepada ibu susuan).

5. Saudara perempuan bagi bapa susuan (Emak saudara bagi saudara sesusuan sebelah bapanya / semua adik-beradik kepada bapa susuan).

6. Anak perempuan bagi saudara sepersusuan.

7. Anak-anak cucu yang menyusu itu dengan keluarga ibu susuan tersebut.

Dalil bagi pengharaman tersebut adalah berdasarkan Firman Allah (Surah an-Nisaa’ : 23) ;
“(Dan diharamkan) ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu dan saudara-saudara kamu yang perempuan sepersusuan.”

Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. :
Bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. menghendaki anak perempuan Hamzah. Maka sabdanya, “Sesungguhnya wanita itu tidak halal untuku kerana dia itu adalah anak perempuan saudaraku susuan, dan haram dengan sebab radha’ah (susuan) samalah dengan wanita-wanita yang diharamkan dengan sebab kerabat (keturunan).” [HR Bukhari dan Muslim]


Hikmat pengharaman perempuan-perempuan tersebut adalah kerana dengan susu yang dihisap (disusukan) itu akan menjadikan darah daging yang membentuk fizikal manusia. Maka dengan susu perempuan yang menyusukannya itu akan menumbuhkan daging anak yang disusukannya serta membesarkannya. Sebagaimana hadith ; “Tiada susuan kecuali membentuk tulang dan menumbuhkan daging.”


SYARAT-SYARAT HARAM DENGAN SEBAB SUSUAN

1. Ibu yang menyusukan itu hendaklah telah cukup umur (baligh).

2. Anak yang disusukan itu berusia dalam lingkungan dua tahun (belum genap umurnya dua tahun). Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a.;
Tidaklah (sabit) susuan itu melainkan dalam lingkungan umur dua tahun.” [HR Darul Qutni]

3. Bilangan menyusunya itu tidak kurang dari lima kali yang berasingan dan setiap kali menyusu mesti sampai kenyang. Sebagaimana tersebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. ;
“Adalah pada ayat yang diturunkan dari Al-Qur’an ialah sepuluh kali susu yang maklum lagi mengharamkan, kemudian dimansukhkan dengan lima kali susuan yang maklumnya sahaja. Selepas itu wafatlah Rasulullah s.a.w. pada ayat yang dibaca dari Al-Qur’an itu.” [HR Muslim]

4. Susu yang diberi kepada anak-anak itu mestilah ditelan dan sampai ke dalam perut kanak-kanak itu pada kelima-lima kalinya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah r.a.;
“Tidak diharamkan kahwin dari sebab susuan itu melainkan susuan yang sampai kepada perut kanak-kanak itu dan penyusuan itu pula mesti budak yang menyusu itu belum berumur dua tahun.” [HR at-Tirmidzi]

Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat yang tersebut,
maka tidaklah haram berkahwin di antara ibu yang menyusukan dengan anak yang disusukan.


HARAM DENGAN SEBAB PERSEMENDAAN (MUSOHARAH)

1. Ibu mertua (ibu kepada isteri) sama ada pernah dukhul atau tidak, sama ada dari keturunan atau penyusuan.

2. Ibu tiri (isteri kepada bapa) sama ada pernah dukhul atau tidak, nenek tiri (ibu kepada ibu tiri) hingga ke atas.

3. Menantu perempuan (isteri kepada anak) sama ada pernah dukhul atau tidak, isteri cucu hingga ke bawah.

4. Anak tiri (anak kepada isterinya dari suami yang lain), dengan syarat sudah diwathi ibunya. Jika belum diwathi ibunya, kemudian diceraikan ataupun meninggal dunia, maka tidaklah haram mengahwini anak tiri itu sama ada anak tiri itu dari keturunan atau penyusuan.

Pengharaman keempat jenis perempuan ini adalah bersandarkan Firman Allah (Surah an-Nisaa’ : 23) ;
“(Dan diharamkan) ibu-ibu isteri kamu (ibu mertua), dan anak-anak isteri kamu (anak tiri) yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri yang telah kamu campuri. Maka jika kamu belum campur dengan isteri kamu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya (anak tiri kamu itu); (dan juga diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandung (menantu) kamu.”

Dan juga berdasarkan Firman Allah (Surah an-Nisaa : 22) ;
“Dan janganlah kamu mengahwini perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh ayah kamu, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau. Sesungguhnya perbuatan itu amat keji dan dibenci Allah dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh).”

Antara hikmat dilarang berkahwin dengan kategori perempuan tersebut adalah seperti berikut ;

$ Mereka adalah orang-orang yang dibenarkan bergaul rapat, kerana pertalian kerabat dan tubuh badan, atau aurat mereka selalu terdedah kepada sesama sendiri dengan sebab itu rasa keinginan terhadap mereka menjadi lemah.

$ Untuk menjaga kehormatan dalam lingkungan keturunan kerana tidak layak sekali-kali menodai kehormatan mereka.

$ Untuk memelihara dari timbulnya keretakan dan perpecahan yang mungkin berlaku dalam keluarga yang boleh mengakibatkan pelbagai kesan yang buruk dalam masyarakat.

$ Dapat meluaskan lagi lingkungan keluarga bagi sesebuah masyarakat itu.



HARAM BUAT SEMENTARA WAKTU

1. DENGAN SEBAB MENGHIMPUNKAN (DUA ORANG BERSAUDARA)
Haram ke atas seorang lelaki mengumpulkan dua orang adik beradik menjadi isterinya, atau antara seorang perempuan dengan emak saudaranya, atau antara perempuan dengan muhrimnya.
Sebagaimana Firman Allah (Surah an-Nisaa’ : 23) ;
“(Dan diharamkan ke atas kamu) menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara kecuali apa yang telah terjadi pada masa lampau.”

Jadi berdasarkan ayat Al-Qur’an tersebut, perempuan-perempuan yang dimaksudkan ialah ;

1. Saudara-saudara perempuan bagi isteri (ipar duai bagi suami).

2. Saudara perempuan bagi bapa isteri sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu (Emak saudara isteri sebelah bapa).

3. Saudara perempuan bagi ibu isteri sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu (Emak saudara isteri sebelah ibu).

4. Anak saudara perempuan kepada isteri dari saudara lelaki.

5. Anak saudara perempuan kepada isteri dari saudara perempuan.


Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. ;
“Baginda Rasulullah s.a.w. melarang dari menghimpunkan antara seorang perempuan dengan emak saudaranya sebelah bapa, dan tidak boleh juga himpunkan antara seorang perempuan dengan emak saudaranya sebelah ibu.” [Muttafaqun ‘Alaih]

Sabda Rasulullah s.a.w. ;
“Tidak boleh dikahwini seorang perempuan (yang dihimpunkan) dengan emak saudara sebelah bapa, dan tidak boleh antara emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelakinya, dan tidak boleh dihimpunkan seorang perempuan dengan emak saudaranya sebelah ibunya. Dan tidak boleh di antara emak saudara sebelah ibu dihimpunkan dengan anak perempuan dari saudara perempuannya. Tidak yang besar dengan yang kecil dan tidak yang kecil dengan yang besar.” [HR at-Tirmidzi]

Kesemua kategori perempuan yang tersebut adalah haram dikahwini bagi seorang lelaki buat sementara waktu iaitu atas sebab perkahwinan yang sah dengan isterinya. Tegasnya, apabila seorang perempuan telah menjadi isteri bagi seseorang lelaki, maka adalah haram (tidak halal) dirinya (perempuan tersebut) dimadukan dengan kesemua muhrim isterinya, selagi statusnya masih lagi bergelar isteri yang sah.

Bilakah masanya diharuskan bagi seorang lelaki mengahwini perempuan-perempuan tersebut ?
Iaitu apabila berlaku salah satu sebab berikut ;

Æ Isteri kepada suami itu sudah kembali ke Rahmatullah (meninggal dunia).

Æ Isteri sudah diceraikan dengan talaq tiga, walaupun belum berlalu ‘iddahnya.

Æ Isteri sudah diceraikan dengan talaq satu atau talaq dua, dan iddahnya sudah selesai.
Selain daripada kategori perempuan yang tersebut di atas, ada beberapa kategori perempuan yang haram dikahwini buat sementara waktu dengan sebab-sebab yang tertentu. Apabila hilang sebab atau faktor yang menyebabkannya haram, maka tidaklah diharamkan lagi ke atas seseorang lelaki untuk mengahwini perempuan-perempuan dari kategori-kategori ini.

2. PEREMPUAN YANG DICERAIKAN DENGAN TALAQ TIGA

Perempuan yang diceraikan dengan thalaq tiga ini adalah dinisbahkan kepada bekas suaminya sendiri. Sesiapa sahaja dari kalangan lelaki yang menceraikan isterinya dengan tiga thalaq, adalah tidak halal baginya meruju’ kembali atau mengahwininya semula, kecuali selepas dia bersuami dengan lelaki lain. Ini adalah berdasarkan Firman Allah (Surah al-Baqarah : 230) ;
“Kemudian jika suami menthalaqnya (setelah thalaq yang kedua), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia kahwin dengan suami yang lain.”

3. PEREMPUAN YANG BERSUAMI

Tidak halal bahkan haram bagi mana-mana lelaki mengahwini perempuan yang masih menjadi isteri orang lain, kerana bergantung hak orang lain dengannya, sama ada suami itu orang Islam ataupun bukan Islam. Sebagaimana Firman Allah (Surah an-Nisaa’ : 24) ;
“Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) wanita-wanita yang bersuami, kecuali hamba-hamba yang kamu miliki.”
4. PEREMPUAN YANG MASIH DALAM IDDAH

Perempuan yang masih dalam iddah dengan bekas suaminya, sama ada iddah thalaq (diceraikan) atau iddah wafat (kematian), atau fasakh, adalah tidak halal atau haram bagi mana-mana lelaki lain selain daripada bekas suaminya sendiri mengahwini perempuan itu sehingga selesai iddahnya. Sekiranya sudah selesai iddah, maka lelaki lain adalah harus meminangnya dan mengahwini perempuan tersebut.

Firman Allah (Surah al-Baqarah : 235) ;
“Dan janganlah kamu berazam (bertetap hati) untuk berakad nikah, sebelum habis iddahnya. Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu. Maka takutlah kepadaNya, dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.”

Antara hikmat pengharaman tersebut ialah ;

¶ Kerana masih kekal lagi kesan perkahwinan yang lepas, seperti pemberian nafkah dan tempat tinggal bagi isteri.

¶ Untuk memelihara hak-hak suami yang lalu, iaitu hak ruju’ terhadap isterinya.

¶ Untuk mengelak dari bercampur nasab (keturunan), iaitu sekiranya perempuan tersebut hamil semasa dalam iddahnya.

5. PEREMPUAN YANG TIDAK BERUGAMA DENGAN UGAMA SAMAWI

Tidak halal bagi orang Islam mengahwini perempuan musyrikah seperti penyembah berhala, bintang, api, lembu atau yang seumpamanya atau perempuan yang tidak menganut sebarang agama (mulhid). Ini adalah berdasarkan Firman Allah (Surah al-Baqarah : 221) ;
“Dan janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba perempuan yang mukmin itu lebih baik dari wanita-wanita musyrik walaupun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba yang mukmin lebih baik dari orang musyrik walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan keampunan dengan izinNya. Dan Allah menerangkan ayat-ayatNya (perintah-perintahNya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran.”

Di antara sebab dan rahsia pengharaman itu ialah ;

Æ Kerana tidak tetap pendirian dan tidak ada persefahaman antara suami isteri.

Æ Berlainan aqidah ini akan membawa kepada perpecahan dan kemusnahan, disamping akan menyebabkan kepincangan dan keretakan rumahtangga.

Æ Dengan berlainan agama boleh menyebabkan berlakunya pengkhianatan perkahwinan, kerosakan dan kejahatan, sedangkan rumahtangga itu didirikan atas asas amanah, istiqamah dan kebaikan (merangkumi sakinah, mawaddah dan rahmah).

Seseorang lelaki yang beragama Islam adalah haram mengahwini perempuan yang bukan beragama Islam, kecuali perempuan Ahli Kitab iaitu Kafir Kitabiyah (Yahudi dan Nasrani). Walau bagaimanapun, pada masa kini perempuan Yahudi dan Nasrani serupa iktikad dengan orang-orang musyrikin, iaitu orang-orang Nasrani mengiktikadkan dan mempercayai bahawa Nabi Isa itu adalah anak Allah, dan Tuhan itu ada tiga (Isa, Maryam dan Ruh al-Qudus), sementara bagi orang Yahudi juga mengatakan bahawa Nabi Musa itu adalah anak Allah.

Adapun perempuan Yahudi dan Nasrani sebagai Ahli Kitab yang harus dikahwini adalah mereka yang terdiri daripada keturunan Ahli Kitab sebelum diutuskan Rasulullah s.a.w. menjadi Rasul, bukannya perempuan Yahudi dan Nasrani yang ada sekarang. Mereka yang memasuki agama Yahudi dan Nasrani selepas Nabi Muhammad s.a.w. diutus dan dilantik menjadi Rasul Allah, maka haram bagi lelaki Islam mengahwini mereka itu, kerana mereka bukanlah Ahli Kitab sepertimana yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Qur’an. Meskipun begitu, mereka ini haram dinikahi buat sementara waktu oleh sebab berlainan agama. Sekiranya mereka memeluk agama Islam, barulah diharuskan lelaki berkahwin dengan mereka.
6. PEREMPUAN YANG KELIMA UNTUK LELAKI YANG MEMPUNYAI EMPAT ORANG ISTERI

Dalam Mazhab Ahli Sunnah Wal-Jama’ah, adalah tidak harus bagi seorang lelaki berkahwin lebih daripada empat orang isteri. Jika sekiranya dia ingin berkahwin dengan perempuan yang kelima, wajib ke atasnya menceraikan salah seorang daripada empat orang isteri itu serta menunggu sehingga habis iddahnya, kemudian barulah boleh berkahwin dengan perempuan yang dikehendaki itu.

Ini adalah berdasarkan Firman Allah (Surah an-Nisaa’ : 3) ;
“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi (ingini) dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”

Sementara dalam hadith yang diriwayatkan oleh Sallim dari bapanya r.a. ;
“Bahawa Ghailan bin Salamah telah menganut Islam dan dia mempunyai sepuluh orang perempuan (isteri) yang memeluk Islam bersamanya. Maka baginda Rasulullah s.a.w. menyuruh Ghailan memilih empat orang sahaja dari mereka itu.” [HR Ahmad dan at-Tirmidzi]

Hadith lain yang diriwayatkan oleh as-Syafi’e dari Naufal bin Mu’awiyah ;
Bahawasanya (Naufal) semasa dia memeluk Islam di bawah jagaannya ada lima orang isteri. Maka baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Peganglah empat orang sahaja dan ceraikanlah yang lain.”

Bagi Mazhab az-Zahiriyah dan al-Imamiyah pula berpendapat - Sesungguhnya harus bagi lelaki berkahwin sehingga sembilan orang pada satu masa. Mereka berdasarkan kepada zahir ayat yang sama dalam Surah an-Nisaa’, ayat 3 ;
“Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi (ingini) dua, tiga atau empat.”

Mengikut pentafsiran pemahaman mereka, huruf wau (yang bermaksud 'dan') ini adalah untuk mutlaq al-jama’ (menunjukkan himpun) bukan untuk takhyir (pilihan). Maka jika dijumlahkan jadilah sembilan (ertinya 2 + 3 + 4 = 9).

7. PEREMPUAN YANG HAMIL HASIL PERZINAAN

Para Fuqaha’ bersepakat mengatakan - Halal bagi lelaki yang melakukan zina itu mengahwini pasangan zina itu. Jika sekiranya anak itu lahir selepas enam bulan dari tarikh akad nikah mereka, sabitlah nasab anaknya itu. Dan jika sekiranya lahir anak itu sebelum genap (kurang daripada) enam bulan dari tarikh akad nikah, maka tidak sabit nasab anaknya itu, kecuali apabila dia mengaku bahawa anak tersebut adalah anaknya. Dengan pengakuannya maka sabit nasab anak itu darinya, kerana boleh jadi hasil daripada akad yang lalu, ataupun dengan sebab dukhul syubhah, untuk menjaga kebaikan keadaan orang Islam atau untuk memelihara dan menutup maruah dan kehormatannya sebagai umat Islam.

Manakala bagi lelaki yang bukan penzina mengahwini perempuan yang melakukan zina, berkata Hasan al-Basri dan pengikut-pengikutnya - Sesungguhnya penzinaan itu menjadi terfasakh nikahnya. Ini adalah berlandaskan Firman Allah (Surah an-Nuur ; 3) ;
“Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan yang musyrik. Dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang mukmin.”

Menurut Jumhur Ulama’ pula - Harus mengahwini perempuan zina berdasarkan ayat di atas juga. Qaul pertama mengambil dalil dengan zahir ayat, manakala Jumhur Ulama’ menanggungkan ayat atas kecelaan bukan tahrim.

Berkata Abu Hanifah - Apabila perempuan zina itu tidak hamil, akad nikahnya itu adalah sah dengan lelaki yang bukan berzina dengannya. Begitu juga sekiranya dia hamil tetapi tidak dipersetubuhi sehingga dia bersalin. Ini adalah disebabkan ;

1. Tidak disebut perempuan-perempuan yang melakukan zina itu adalah sebahagian dari perempuan yang diharamkan kahwin untuk sementara waktu. Oleh yang demikian, perempuan tersebut adalah harus dikahwini. Berdasarkan Firman Allah (Surah an-Nisaa’ : 24) ;
“Dan dihalalkan bagi kamu selain dari yang demikian itu.”
[maksudnya selain dari jenis perempuan yang disebutkan dalam ayat 23 dan 24, Surah an-Nisaa’]

2. Tidak dihormati air mani zina dengan sebab tidak sabit nasab. Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. ;
“Anak itu untuk hamparan (hasil dari perkahwinan) dan bagi perempuan zina ditegah (dari disabitkan nasab)...”

Dan sesungguhnya ditegah dukhul perempuan hamil kerana perbuatan zina itu. Sabda Rasulullah s.a.w. ;
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Qiamat, maka dia tidak boleh menjirus airnya akan tanaman orang lain.” [HR at-Tirmidzi dan Abu Daud]

Menurut Mazhab Al-Malikiyah pula - Tidak harus melakukan akad nikah perempuan zina sebelum istibra’ selama tiga kali datang haid atau selama tiga bulan. Jikalau dia melakukan akad nikah sebelum istibra’ adalah akad itu fasid dan wajib fasakh, sama ada kehamilan itu zahir ataupun tidak.

Sementara Mazhab As-Syafi’ieyah pula berpendapat - Tidak haram berkahwin dengan perempuan zina (atau pelacur), kerana berdasarkan Firman Allah (Surah an-Nisaa’ :24) ;
“Dan dihalalkan bagi kamu selain dari yang demikian itu.”

Begitu juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah r.a. ;
“Tidak boleh mengharamkan yang haram itu menjadi halal.”

Pendapat Mazhab Al-Hanabilah pula - Apabila seseorang perempuan melakukan zina, tidak halal bagi mereka yang mengetahui demikian itu mengahwininya kecuali dua syarat, iaitu ;

1. Selesai iddah. Maksudnya, andainya perempuan itu mengandung, maka iddahnya akan selesai setelah ia bersalin.

2. Hendaklah perempuan tersebut bertaubat dengan berazam tidak mahu melakukan zina lagi. Apabila dia bertaubat maka hilanglah pengharaman pada asalnya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. ;
“Orang yang bertaubat dari dosanya itu adalah seperti mereka yang tiada lagi dosa baginya.”

qalam_azraq, 27092008 / 10.00am (delayed 28092008/6.15am)

0 comments: