CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, September 29, 2008

MUNAKAHAT - BAB 7 [NUSYUZ]


NUSYUZ (ISTERI DERHAKA)
MUQADDIMAH

Perkahwinan menyatukan dua pasangan yang berlainan jantina dalam melayari kehidupan bersama sebagai suami isteri, di mana kedua-duanya sama-sama berkongsi masalah sama ada dalam bidang keagamaan, pendidikan, kesihatan, harta benda (material), sosio-ekonomi, hal-ehwal anak-anak, keluarga, dan sebagainya. Justeru, kedua-dua suami isteri mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam mempertahankan alam rumahtangga hingga ke akhir hayat.

Seorang suami sebagai ketua dan pemimpin keluarga perlu mempunyai peribadi dan syakhsiyah yang mulia dengan sifat-sifat mahmudah bagi membolehkannya melaksanakan tanggungjawab sebagai pelindung dan pemimpin ahli keluarga terutamanya isteri.

Firman Allah (Surah an-Nisa’ : 34) ;
“Kaum lelaki menjadi pelindung kaum wanita dengan apa yang Allah kurniakan kelebihan ke atas setengah daripada mereka lebih daripada yang lain.”

Suami juga bertanggungjawab mendidik isterinya secara konsisten agar menjadi isteri yang solehah iaitu dengan cara memberi ilmu, menunjuk ajar dan memimpinnya ke jalan yang diredhai Allah, menghargai dan menjaga perasaannya dengan kasih sayang dan mahabbah, memberi layanan dan belaian yang wajar, simpati atas sebarang kekurangan dan kelemahan secara jujur dan ikhlas, serta tidak mengabaikan kewajipannya di dalam pemberian nafkah sara hidup, makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada isterinya.

Sebaliknya, seorang isteri pula bertanggungjawab untuk mematuhi dan menghormati suaminya dalam apa jua situasi kecuali yang melanggar syari’at Allah, memberi layanan yang sewajarnya, menjaga amanah suami dengan jujur dan ikhlas, menyediakan makan pakai serta menyelenggarakan tugas-tugas di dalam rumah, memelihara dan menjaga kebajikan anak-anak dengan didikan yang sempurna, serta menjaga kehormatan diri sebagai isteri kepada suami.

Sehubungan dengan itu, seorang suami perlu bijak mengemudi bahtera perkahwinan, cekal dan tabah serta tabah dalam menghadapi ujian dan cabaran, terutamanya cabaran kelemahan dan kekurangan peribadi sendiri yang kadangkala mengalah dan menyerah kepada gejala yang kurang sihat. Begitu juga cabaran perubahan pada isteri dengan tindakan dan sifat-sifat negatif sehingga sampai ke peringkat nusyuz.


PENGERTIAN NUSYUZ

- Keengganan seorang isteri dari menunaikan kewajipannya terhadap suami tanpa uzur syar’ie.

NUSYUZ, dari segi bahasa bermaksud engkar atau derhaka. Ertinya, isteri tidak melakukan hak kewajipan terhadap suami. Manakala pengertian Nusyuz dari segi istilah ialah suatu tindakan yang dilakukan oleh isteri yang dianggap menentang kehendak suami dengan tidak ada alasan yang munasabah menurut hukum syara’. Tindakan itu sama ada berupa perkataan atau perlakuan, tingkah laku, gerak geri yang dengan mudah disebut sebagai derhaka. Tindakan seumpama itulah yang dinamakan NUSYUZ.

Contohnya, Queen Control, melawan cakap suami, meninggalkan rumah tanpa izin suami, dan sebagainya.


TANDA-TANDA ISTERI NUSYUZ

Di antara beberapa gambaran yang menandakan seseorang isteri itu nusyuz ialah :

1. Isteri yang tidak memenuhi kehendak suami seperti melayan keinginan suami ditempat tidur, tanpa uzur syar’ie (seperti datang haidh atau nifas atau sakit).

2. Suami telah menyediakan rumah kediaman yang sesuai dengan keadaan suami, tiba-tiba isteri tidak mahu berpindah ke rumah tersebut. Atau isteri meninggalkan rumah tanpa izin suami, kecuali kerana dharurat atau kerana sesuatu keuzuran, seperti berlaku banjir, rumah runtuh, kebakaran, gempa bumi dan sebagainya.

Dalam situasi-situasi berikut, isteri adalah diharuskan keluar dari rumah walaupun tanpa izin suaminya, iaitu ;

o Untuk mengelakkan dari maut apabila isteri takutkan dirinya atau harta bendanya daripada ancaman orang-orang fasik, pencuri dan seumpamanya.

o Untuk menyelamatkan diri apabila didapati rumah yang didiaminya hendak roboh, banjir atau terlibat dengan kebakaran.

o Keluar kerana menuntut fardhu ‘ain atau kerana meminta fatwa sekiranya suami tidak mampu untuk memberi fatwa.

o Keluar untuk mencari nafkah seperti berniaga, bekerja, mengajar, bercucuk tanam dan sebagainya.

o Keluar rumah semasa ketiadaan suami dalam negeri seperti menziarahi keluarganya, jiran tetangganya atau menziarahi orang sakit, mengucapkan takziah, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya.

o Keluar ke pejabat qadhi untuk menuntut haknya daripada suami.

3. Apabila kedua suami isteri tinggal di rumah kepunyaan isteri dengan izin isteri kemudian suatu masa isteri mengusir atau melarang suami memasuki rumah tersebut.

4. Apabila isteri musafir tidak bersama suami atau pun bukan bersama muhrimnya (orang yang haram berkahwin dengannya) walaupun perjalanan yang wajib seperti pergi menunaikan ibadat haji, kerana perempuan yang musafir tanpa diiringi suami atau muhrimnya dianggap sudah melakukan satu perkara yang salah (maksiat).

5. Apabila isteri bermuka masam, bercakap kasar atau ia memalingkan muka terhadap suaminya sedangkan suami berkeadaan lemah lembut dan bermanis muka.

6. Isteri yang tidak ta’at, tidak menghormati suami, membelakangkan suami dalam pelbagai keadaan, memburuk-burukkan suami dihadapan ahli keluarga atau orang lain, mencaci-maki suami, memukul suami, dan melakukan segala perbuatan yang boleh menyakitkan atau melukakan hati suami.

7. Isteri enggan mendengar segala nasihat suaminya mengenai agama dan perkara-perkara yang membawa ke arah kebaikan.

8. Isteri yang memerintah suami dengan lagak sombong dan angkuh memandangkan jawatan atau pendapatannya yang lebih lumayan daripada suami. Istilah ini dikenali dengan Queen Control.

9. Isteri tidak mengendahkan kata-kata suami atau meninggalkan segala suruhan suami termasuk tidak mengerjakan kewajipan dalam ibadah seperti solat dan puasa. Atau isteri mengerjakan solat sunat atau puasa sunat, sedangkan suami tidak meredhainya ataupun tidak mengizinkannya.

10. Isteri mengunci (menutup) pintu di hadapan suaminya tanpa ada sesuatu alasan yang munasabah, menyebabkan suami berkecil hati atau mendatangkan kemarahan kepada suami.

11. Isteri yang tidak mengendahkan hal-ehwal dalam rumahtangga seperti tidak menyediakan makan minum dan pakaian untuk suami tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syara’ malah menyerahkan sepenuh urusan tersebut kepada orang lain seperti orang gaji atau pembantu rumah.

12. Isteri yang tidak mempedulikan hal-ehwal anak-anaknya atau anak-anak suaminya dan membiarkan mereka tanpa ada pengawasan yang rapi atau tiada hubungan yang intim dan harmoni di antara isteri dan anak-anak, kerana sibuk dengan tugas lain atau lebih mementingkan urusan kerjaya di luar.

13. Isteri yang membenarkan orang lain yang bukan muhrim seperti salesman ataupun sahabat handainya, masuk ke dalam rumahnya semasa ketiadaan suami dan tanpa keizinan dari suami.

14. Isteri yang memberikan harta kepunyaan suami yang ada di dalam rumah tanpa ada keizinan daripada suami kepada orang lain yang memerlukan bantuan.

15. Isteri yang menghilangkan diri atau meninggalkan suami pergi bersama lelaki lain, kerana bencikan suaminya.

PERKARA-PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN APABILA ISTERI NUSYUZ

Dalam sesebuah kehidupan berumahtangga, perselisihan faham memang tidak dapat dielakkan, bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Lantaran itu, apabila berlaku krisis di dalam rumahtangga, seorang suami perlu menilai dan meneliti diri sendiri terlebih dahulu secara adil kerana berkemungkinan perubahan itu berpunca daripada kesalahan, kesilapan, kelemahan atau kelalaian suami itu sendiri.

Jika benar perubahan atau perlakuan isteri yang tidak sewajarnya itu berpunca daripada suami sendiri, maka suami hendaklah mengakui dengan ikhlas dan meminta maaf kepada isteri.

Di dalam menghadapi gejala nusyuz, suami tidak boleh membiarkan isterinya terus menerus dalam keadaan sedemikian ataupun bersikap rela dengan perangainya sehingga ia boleh dikatakan seorang suami yang dayus. Namun begitu seorang suami tidak juga boleh bertindak melulu dan bertindak kasar yang boleh sampai ke tahap penderaan dan penyiksaan sama ada secara fizikal atau mental.

Suami perlulah menanamkan sikap positif dalam diri dengan cara mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan segala masalah dan kekusutan yang melanda, disamping mengekalkan sifat sabar dan tawakkal, meneliti dengan adil saksama serta bertindak dengan bijaksana mengikut lunas-lunas yang ditetapkan syara’.

Firman Allah (Surah an-Nisa’ : 34) ;
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkanlah (pulaukanlah) mereka di tempat tidur, dan (kalau mereka masih berdegil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Berpandukan pengertian ayat di atas, apabila seorang suami melihat tanda-tanda yang menunjukkan isterinya itu nusyuz, hendaklah suami itu ;

1. Menasihatinya dengan cara yang baik dan berlemah lembut, agar menjadi seorang isteri yang solehah yang sentiasa menta’ati Allah dan suaminya. Disamping itu juga suami mestilah menerangkan kepada isterinya bahawa nusyuz itu adalah salah dan dikutuk oleh Allah serta memberitahunya bahawa isteri yang nusyuz boleh dipotong atau tidak diberi sara hidupnya.

Firman Allah (Surah an-Nisa’ : 34) ;
“Isteri yang kamu takuti kederhakaan mereka, maka berilah nasihat kepada mereka.”

Adalah menjadi kewajipan kepada seorang suami untuk memberi nasihat berulang kali kepada isterinya, seelok-eloknya dengan cara yang baik, rasional, logik, prihatin dan bersifat terbuka, disamping tidak mengenepikan kehadiran, kelebihan dan segala kebaikan yang pernah dicurahkan oleh isteri.

2. Seandainya suami tidak berupaya, maka ia boleh mendapatkan khidmat nasihat darIpada pihak ketiga yang boleh diterima atau dihormati oleh kedua-dua pihak seperti ahli keluarga yang lebih tua (ibu bapa, adik-beradik atau saudara mara terdekat), atau dari kalangan orang yang lebih berpengalaman seperti kaunselor.

Walau apapun bentuk nasihat atau sesi kaunseling yang diberikan, matlamat utamanya tetap satu iaitu untuk menyelamatkan bahtera rumahtangga dan mengelakkan daripada keretakan yang boleh sampai ke tahap perceraian.


3. Jika nasihat atau kaunseling itu tidak sedikitpun memberi kesan, maka suami boleh meninggalkan dari berseketiduran dengan isteri tersebut (memulaukan tempat tidur). Langkah kedua ini adalah bertujuan sebagai salah satu pengajaran dan tekanan psikologi dengan niat agar isteri merasa tertekan kerana dirinya tidak dilayan oleh suami, sekaligus menyedarkan dan menginsafkan dirinya tentang kesilapan yang dilakukannya. Sebagaimana Firman Allah (Surah an-Nisa’ : 34) ;
“Dan tinggalkanlah dari seketiduran dengan mereka.”

Dari ayat ini dapat difahami bahawa Allah menyuruh suami-suami meninggalkan dari seketiduran sahaja, bukan meninggalkan percakapan kerana meninggalkan percakapan lebih dari 3 hari adalah haram, bukan sahaja terhadap isteri-isteri malah terhadap orang lain juga berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. :
“Tidak halal bagi seseorang muslim tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.”
Maksudnya ialah bila berjumpa di antara satu sama lain, tetapi seandainya tidak bersua muka, tidaklah diharamkan walaupun tidak bercakap selama bertahun-tahun lamanya.


4. Jika tidak seketiduran pun tidak memberi apa-apa kesan, malah isteri tersebut masih terus nusyuz, maka diharuskan bagi pihak suami menggunakan langkah ketiga iaitu memukul isteri tersebut dengan syarat pukulan itu tidak sampai mencederakan atau melukakan. Langkah ini dilakukan semata-mata untuk mengajar dan mendidik (ta’zir dan ta’dib) sepertimana pukulan ibu bapa terhadap anak-anak yang degil. Sebagaimana Firman Allah (Surah an-Nisa’ : 34) ;
“Dan pukullah mereka (isteri).”

Cara pukulan yang dimaksudkan ialah seumpama pukul-pukul sayang, dengan tujuan meluruskan yang bengkok, membetulkan yang salah dan mengubati jiwa yang sakit. Pukulan seumpama ini adalah sebagai tanda kekesalan dan kekecewaan seorang suami terhadap perlakuan isterinya yang nusyuz.

Dalam hal ini, suami mestilah berhati-hati supaya tidak terpukul di tempat-tempat sensitif yang boleh mendatangkan bahaya seperti muka, perut, dada, alat kelamin, dan sebagainya. Rasulullah s.a.w. telah memberi peringatan tentang perkara ini melalui hadith baginda yang bermaksud ;
“Apabila mereka (suami) terpaksa memukul isteri, janganlah memukul dengan pukulan yang membahayakan dan menyeksa.”

Dalam peringkat yang akhir ini, harus dilakukan oleh suami sekiranya difikirkan dengan cara ini akan memberi kesan. Sebaliknya kalau difikirkan tidak akan memberi kesan, maka tidaklah harus dilakukan.


5. Seandainya langkah terakhir itu juga tidak mendatangkan hasil, maka suami boleh melaporkan perkara tersebut kepada qadhi dan mendapatkan khidmat nasihat keluarga agar kedua-dua suami isteri memperolehi keterangan yang lebih berkesan dalam hal yang mereka hadapi. Jika sekiranya isteri masih berkelakuan nusyuz, maka suami boleh menjatuhkan talaq satu apabila tidak ada cara lain lagi untuk menyelamatkan rumahtangga mereka. Ataupun melalui kuasa qadhi dalam hal perceraian. Ini dilakukan agar tidak akan menjejaskan maruah dan agama suami.

Firman Allah (Surah an-Nisa’ : 35) ;
“Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara keduanya (suami dan isteri), maka lantiklah seorang hakim dari keluarga lelaki dan seorang hakim lagi dari keluarga perempuan, jika kedua orang hakim itu bermaksud mengadakan pembaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

AKIBAT NUSYUZ

Seorang isteri yang melakukan nusyuz akan mengakibatkan timbul kesan-kesan berikut :

1. Dia mendapat kemurkaan dan kutukan Allah s.w.t.

2. Oleh kerana nusyuz adalah haram, maka dia dianggap telah melakukan dosa besar.

3. Gugur hak nafkah (sara hidup) yang sepatutnya diperolehi daripada suaminya, sehinggalah dia bertaubat dan tidak mengulangi lagi tabiat lamanya yang boleh menyebabkannya nusyuz.

qalam_azraq, 29092008 / 12.38am

0 comments: