USUL FIQH
MUQADDIMAH
Semua ilmu agama mempunyai hubungkait sama ada secara langsung ataupun tidak. Setiap individu hendaklah berusaha mendalami dan mempelajari semua ilmu tersebut sebaik mungkin untuk menjadi insan yang berilmu dan beramal. Ilmu Usul Fiqh juga merupakan salah satu cabang kepada ilmu agama yang mana ia mempunyai hubungan yang erat dengan Ilmu Fiqh dan undang-undang. Ilmu Fiqh ialah suatu ilmu tentang hukum-hukum syariat yang praktikal (amali) yang diperolehi daripada dalil-dalil yang tafsili, manakala undang-undang pula ialah suatu kaedah yang digunakan dalam menetapkan hukum kemudiannya diperundangkan melalui badan perundangan yang tertentu.
Undang-undang Islam juga merupakan ketentuan syari’at yang telah ditetapkan untuk dilaksanakan yang menjadi tanggungjawab pemerintah (atau penguasa) melaksanakannya serta menjadi tanggungjawab rakyat untuk mematuhinya. Dalam perundangan Islam, segala undang-undang yang diperolehi adalah istinbat dan kesimpulan daripada pemahaman yang dibuat adalah dengan berpandukan sumber-sumber hukum yang utama iaituAl-Qur’an, Hadith dan Ijtihad Ulama’ (atau Ijma’).
SEJARAH PEMBINAAN ILMU USUL FIQH
Syari’at Islam yang datang kepada kita pada dasarnya ialah Al-Qur’an. Kemudian Al-Qur’an itu telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sama ada dengan kata-kata atau dengan perbuatannya. Perkataan dan perbuatan baginda itulah yang dikatakan As-Sunnah (Al-Hadith).
Para sahabat Nabi s.a.w. mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap bahasa Al-Qur’an dan Hadith kerana kedua-duanya adalah dalam Bahasa Arab yang juga menjadi bahasa pertuturan mereka sehari-hari. Mereka juga mengetahui sebab-sebab turunnya ayat Al-Qur’an, rahsia-rahsia syari’at, instisari, hikmah dan roh perundangan. Pengetahuan ini adalah disebabkan oleh pergaulan mereka dengan Rasulullah s.a.w. disamping kecerdasan akal mereka sendiri. Lantaran itulah mereka tidak memerlukan peraturan-peraturan dalam mengambil sesuatu hukum (istinbat) sebagaimana mereka tidak memerlukan kaedah-kaedah untuk mengetahui bahasa mereka sendiri. Segala pengetahuan mereka tentang ilmu ini diperturunkan pula kepada golongan Tabi’in dan seterusnya kepada Tabi’it Tabi’in sampai kepada golongan Imam Mujtahidin, berterusan hinggalah sampai ke hari ini.
Sesudah Islam meluas dan bangsa Arab sudah bergaul dengan bangsa-bangsa lain, maka dibuatlah peraturan-peraturan Bahasa Arab. Selain bertujuan untuk menjaga bahasa Arab sebagai bahasa Al-Qur’an daripada pengaruh bahasa-bahasa lain, kaedah dan peraturan yang dibentuk adalah untuk memudahkan bangsa lain mempelajarinya. Disamping itu juga, telah berlaku banyak peristiwa baru yang timbul dalam segala lapangan kehidupan, sekaligus fenomena tersebut menyebabkan para ulama’ berusaha sedaya upaya mencetuskan keadaan mencari dan menentukan hukum bagi peristiwa-peristiwa itu.
Para ulama’ yang berwibawa telah tersebar di pelbagai negeri baru dan telah terpengaruh pula oleh lingkungan persekitaran dan cara berfikir negeri yang didiaminya yang sama sekali berbeza satu sama lain. Kesannya, masing-masing ulama berusaha melakukan ijtihad dan mencari hukum dengan jalan mereka sendiri yang dipandangnya benar atau sesuai dengan minda mereka. Keadaan seumpama itu sudah setentunya menimbulkan perbezaan pendapat, baik sebagai keputusan hakim maupun sebagai fatwa, bukan sahaja antara satu negeri dengan negeri yang lain bahkan antara satu daerah dengan daerah yang lain dalam sesebuah negeri.
Justeru dengan berlakunya perselisihan pendapat di kalangan para ulama’ itu telah mencetuskan fikiran untuk membentuk peraturan-peraturan dalam ijtihad dan pengambilan hukum, agar dengan adanya segala peraturan ini dapat diperolehi pendapat yang benar dan pasti serta dapat memperdekatkan jarak perbezaan pendapat di antara para ulama’.
Orang yang pertama mengusahakan peraturan-peraturan tersebut ialah Imam Syafi’ie (wafat 204H) yang dikarangnya dalam kitab Ar-Risalah. Secara ringkasnya, dalam kitab ini, ia membicarakan tentang Al-Qur’an, kedudukan Hadith dan bahagian-bahagiannya, Ijma’, Qiyas dan pokok-pokok peraturan pengambilan hukum (istinbat). Usaha Imam Syafi’e ini merupakan titik tolak yang pertama daripada ilmu Usul Fiqh yang kemudiannya dilanjutkan pembahasannya oleh para ahli ulama’ Usul Fiqh sesudahnya sehingga menjadi banyak pembicaraannya.
Para ahli ulama’ Usul dalam membicarakan persoalan usul fiqh tidak selalunya sama, sama ada berkenaan dengan istilah-istilah maupun tentang jalan pembicaraannya. Oleh sebab itulah terdapat dua golongan, iaitu ;
Ø Golongan Ulama Syafi’ie (para ahli ulama Ilmu Kalam atau Mutakallimin).
Ø Golongan Ulama’ Hanafi.
Golongan pertama (Syafi’iyah) dalam pembahasannya selalu mengikuti cara-cara yang lazim digunakan dalam Ilmu Kalam, iaitu dengan menggunakan akal fikiran dan alasan-alasan yang kuat dalam menetapkan peraturan-peraturan pokok, tanpa memperhatikan apakah peraturan-peraturan itu sesuai dengan soal furu’ atau tidak. Di antara ulama’ yang termasuk dalam golongan ini ialah golongan Mu’tazilah, Syafi’iyah dan Malikiyah.
Di antara kitab-kitab yang telah dikarang oleh golongan ini ialah ;
¨ Al-Mu’tamad, karangan Muhammad bin Ali (wafat 463 H).
¨ Al-Burhan, karangan Al-Juwaini (wafat 478 H).
¨ Al-Mustashfa, karangan Al-Ghazali (wafat 505 H).
¨ Al-Mahsul, karangan Ar-Razy (wafat 606 H) yang meringkaskan ketiga-tiga kitab di atas.
Golongan kedua pula (Hanafiyyah) dalam pembicaraannya selalu memperhatikan dan menyesuaikan peraturan-peraturan pokok dengan soal furu’, sehingga mereka sebenarnya menetapkan peraturan-peraturan pokok dengan soal-soal furu’, sehingga mereka sebenarnya menetapkan peraturan-peraturan pokok tersebut berdasarkan soal-soal furu’ yang telah diterima daripada imam-imam mereka. Apabila peraturan pokok itu bertentangan dengan soal furu’, maka peraturan pokok itu diubah sedemikian rupa sehingga sesuai dengan soal furu’. Di antara golongan Hanafiyyah ini ialah Al-Jasshas (wafat 370 H), Al-Bazdawi (wafat 483 H), An-Nasafi (wafat 790 H).
Sesudah mereka, muncul pula angkatan baru yang menyatukan kedua aliran, aliran Mutakallimin dan Hanafiyyah. Di antara ulama’-ulama’ dalam golongan ini ialah;
} Sadrus Syari’ah (wafat 747 H) - kitab karangannya Tanqihul Usul
} As-Sa’ati (wafat 694 H) - kitab karangannya Badi’un Nidzam
} Kamal bin Hammam (wafat 861 H) - kitab karangannya At-Tahir
Setelah itu, lahir pula As-Syatibi (wafat 780 H) yang menulis kitab Al-Muwafaqat dengan cara yang baru. Dalam kitab ini selain diterangkan kaedah-kaedah Usul, juga diterangkan tujuan syari’at dan hikmah mentasyri’kan sesuatu hukum. Selain kitab-kitab tersebut, banyak lagi kitab-kitab Usul yang terkemudian seperti Irsyadulfuhul oleh As-Syaukani (wafat 1255 H), Usul Fiqh oleh Al-Chudari (wafat 1245 H) dan sebagainya. Selepas itu banyak kitab Usul Fiqh yang diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain seperti ‘Kelengkapan Dasar-dasar Fiqh’ oleh Prof T.M. Hasbi As-Shiddiqi (indonesia) dan seumpamanya.
RUANG LINGKUP PEMBAHASAN ILMU USUL FIQH
Bidang perbahasan utama Ilmu Usul Fiqh ini ialah tentang kaedah-kaedah umum yang digunakan oleh para ahli ulama’ Islam untuk mengeluarkan hukum daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Dalam keadaan lain, bidang Ilmu Usul Fiqh turut membahaskan dalil-dalil syara’ dan kaedah yang dibuat untuk menunjukkan sesuatu hukum yang berkaitan dengan perbuatan orang-orang mukallaf.
Masalah-masalah yang dibahas dalam Ilmu Usul Fiqh pula ialah cabang-cabang hukum syara’ dengan maksud untuk diselidiki dengan lebih mendalam lagi. Sebagai contoh perintah Allah, untuk diselidiki adakah wajib atau sunat. Begitu juga larangan Allah untuk diselidiki lebih lanjut adakah menunjukkan haram atau makruh. Oleh kerana itu, segala perintah Allah sama ada yang wajib atau sunat, kedua-duanya adalah dari suruhan ( al-Amru ), sementara tiap-tiap yang haram atau makruh, kedua-duanya adalah dari laranganNya ( an-Nahi ).
Ilmu Usul Fiqh juga diasaskan untuk mengetahui amal perbuatan, apakah hukumnya halal kerana tidak ada illat yang menyebabkan ia terlarang. Begitu pula mengenai sesuatu hukum setelah dihubungkan dengan illatnya. Misalnya, minuman keras adalah haram diminum kerana ia boleh menyebabkan mabuk. Sementara cuka yang asalnya daripada tuak itu halal diminum kerana ia tidak menyebabkan mabuk. Jadi yang menjadikan sesuatu perkara itu haram ialah kerana ada illatnya (iaitu yang memabukkan), dan hukum cuka itu tidak haram kerana tidak ada illat bagi cuka. Maka dinyatakan, bahawa hukum itu berjalan seiring, bersangkutpaut dengan illatnya à ada illat maka ada hukum, tiada illat maka tiada hukum.
Ilmu Usul Fiqh juga turut membahaskan dalil hukum yang disepakati, tidak terperinci atau dalil tidak putus dan tidak disepakati. Antaranya ialah dalil Al-Ijma’ Ulama’, Al-Qiyas, Masalih al-Mursalah, Istihsan, Istishab, ‘Urf dan seumpamanya serta kedudukan dalil-dalil ini dalam menetapkan hukum syara’.
Secara globalnya, persoalan yang sering berlaku dalam pembahasan Usul Fiqh ialah persoalan ijtihad oleh para mujtahid dalam menetapkan hukum-hukum agama, terutama apabila timbul masalah-masalah baru yang tidak dapat diselesaikan oleh masyarakat awam atau masalah-masalah baru yang timbul di dalam zaman moden ini.
Sebagai rumusannya, skop perbahasan Ilmu Usul Fiqh ialah ;
(a) Menganalisa cara-cara mengistinbatkan (mengeluarkan) hukum-hukum syara’.
(b) Membicarakan dan membahaskan kaedah-kaedah hukum syara’ yang umum.
(c) Istinbat atau mengeluarkan hukum daripada dalil-dalil dan nas serta beramal dengannya.
HUBUNGAN USUL FIQH DENGAN ILMU-ILMU LAIN
Suatu ilmu itu tidak dapat berdiri dengan sendirinya malah selalu bersangkut paut dengan ilmu-ilmu yang lain. Demikian halnya dengan Ilmu Usul Fiqh adalah kaedah-kaedah (peraturan-peraturan) yang dipinjam dari ilmu-ilmu lain yang dijadikan suatu ilmu yang tersendiri. Di antara ilmu yang mempunyai kaitan dengan Usul Fiqh ialah ;
Ilmu Tauhid
Iaitu ilmu yang menerangkan hukum-hukum syara’ dalam bidang iktikad (kepercayaan) yang diperolehi dari dalil-dalil yang qat’ie atau pasti, yang berdasarkan ketetapan akal, Al-Qur’an dan Hadith.dengan mengetahui ilmu ini, kita mengetahui adanya Tuhan (Allah) yang menurunkan syari’at, dan adanya Rasul yang membawa syari’at tersebut (syari’at Islam).
Bahasa Arab
Sumber hukum yang utama iaitu Al-Qur’an dan Hadith, keduanya adalah dalam Bahasa Arab. Kedudukan Bahasa Arab adalah sangat penting untuk mempelajari Ilmu Usul Fiqh, terutama dari segi selok beloknya seperti Nahwu, Sharaf, Lughat dan sebagainya, untuk mengetahui atau mengambil sesuatu hukum daripada sumber hukum tersebut.



0 comments:
Post a Comment