TA’RIF SYARIKAT
Pengertian Syarikat dari segi bahasa ialah bercampur, berkongsi.
Pengertian Syarikat dari segi istilah syara’ pula ialah Satu akad (Perjanjian) atau perkongsian di antara dua orang atau lebih pemilik modal bagi menjalankan sesuatu perusahaan atau perniagaan atau pelaburan di mana mereka bersama bersetuju mengeluarkan modal dan sama-sama bersetuju berkongsi untung dan rugi.
DALIL HARUS SYARIKAT
SYARIKAT - Menetapkan hak pada sesuatu bagi dua orang atau lebih dengan cara berkongsi.
Secara umumnya, Syarikat ini diharuskan di dalam Islam, kerana banyak dalil-dalil yang menerangkan demikian di dalam Al-Quran dan Hadith Nabawi. Antara lain dalil-dalil yang mengharuskan mu’amalah syarikat ini ialah ;
Dalil daripada Al-Qur’an :
Firman Allah (Surah an-Nisa’ : 12) ;
“.....dan jika seseorang mati, sama ada lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan ayah atau anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu), maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam (harta). Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam sepertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dan perempuan).”
Firman Allah (Surah Sod : 24) :
“Dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bersyarikat itu sebahagian mereka berbuat zalim kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh dan amat sedikitlah mereka itu.”
Dalil daripada Hadith Rasulullah s.a.w. :
Hadith yang diriwayatkan oleh As-Saa’ib bin Yazid al-Makhzumi r.a.;
Sesungguhnya as-Saa’ib al-Makhzumi adalah salah seorang rakan kongsi Rasulullah s.a.w. sebelum baginda dilantik menjadi Rasul. Maka tatkala tiba hari kemenangan Mekah, baginda bersabda : Selamat datang saudaraku dan rakan kongsiku.
Hadith yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a. berkata :
Rasulullah s.a.w. bersabda, Allah s.w.t. berfriman (dalam Hadith Qudsi) : “Aku yang ketiga dalam dua orang yang bersyarikat selama tidak mengkhianati salah seorang anggotanya terhadap rakan perkongsiannya, maka apabila ia mengkhianatinya Aku keluar daripada keduanya itu.” [HR Abu Daud dan sahih al-Hakim]
Maksudnya : Allah sentiasa menjaga dan memberikan bantuan dalam harta benda kedua-dua rakan kongsi syarikat, dan Dia menurunkan keberkatan dalam perniagaan keduanya. Namun apabila berlaku pengkhianatan atau penipuan antara keduanya itu, maka Allah akan menarik semula keberkatan yang dikurniakanNya itu.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Kekuasaan Allah mengawasi dua orang yang bersyarikat selama kedua-duanya tidak melakukan pengkhianatan.” [HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah]
HIKMAT SYARIKAT
Bagi syarikat ini sebagaimana mu’amalah yang lain juga mempunyai pelbagai hikmat dan rahsia-rahsia yang tersendiri. Antara hikmat dan rahsia tersebut ialah seperti berikut :
R Memberikan kemudahan dari segi mendapatkan kewangan dan modal untuk menjalankan sesuatu perusahaan atau perniagaan yang memerlukan modal yang besar. Dengan cara bersyarikat juga dapat menubuhkan perniagaan yang lebih besar yang tidak mungkin dapat diungkayahkan oleh orang perseorangan.
R Untuk meningkatkan lagi sumber pendapatan dan keuntungan dalam perniagaan, iaitu dengan mencampurkan modal dan membesarkan skop perniagaan.
R Menggalakkan dan menanamkan semangat kerjasama serta mengekalkan sikap jujur dan amanah di kalangan ahli-ahli syarikat khasnya dan masyarakat amnya.
R Boleh mempertingkatkan taraf ekonomi dan sosial sesebuah masyarakat. Disamping itu juga syarikat boleh mengeratkan perhubungan silaturrahim antara sesama umat manusia (semangat ukhuwah Islamiah).
R Dengan adanya syarikat, individu perseorangan terutama rakan kongsi boleh menjadikannya sebagai salah satu punca rezeki dan pekerjaan yang halal di sisi Islam.
R Menunjukkan bahawa Allah s.w.t. Maha Adil lagi Saksama kerana memberikan kesenangan, rahmat dan hidayah iaitu dengan mengurangkan kesulitan, kepayahan dan kesukaran kepada manusia dengan adanya keharusan perkongsian (syarikat) dalam mu’amalah Islam.
R Membuktikan kesempurnaan dan keunggulan sistem ekonomi Islam yang lengkap dan syumul terutama dalam masalah hubungan antara sesama manusia (hablum minallah) di dalam dunia yang fana’ ini.
JENIS-JENIS SYARIKAT
Berdasarkan kajian daripada ahli-ahli fiqh, maka syarikat ada empat jenis ;
1. SYARIKAT AL-‘INAN
Suatu akad antara dua individu atau lebih berakad untuk berkongsi dengan mereka mengeluarkan modal untuk sesuatu perniagaan atau perusahaan, di mana keuntungan dan juga kerugian dari perniagaan tersebut dibahagikan antara ahli-ahli syarikat menurut kadar modal yang dikeluarkan.
Hukumnya - Kesemua empat mazhab, Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali mengatakan Syarikat Al-Inan adalah sah dan harus.
CONTOH SYARIKAT AL-INAN
AHLI SYARIKAT : ARMAN, HAZNI & FARHAN
ARMAN
MODAL (SAHAM) = $ 4000
PERATUS MODAL = 40 %
HAZNI
MODAL (SAHAM) = $ 1000
PERATUS MODAL = 10 %
FARHAN
MODAL (SAHAM) = $ 5000
PERATUS MODAL = 50 %
Jumlah pendapatan setahun = $ 16,000
Tolak kos urusan = $ 2000
Tolak bayaran zakat (2.5 %) = $ 400
Tolak modal = $ 10,000
KEUNTUNGAN BERSIH SYARIKAT = $3600
Keuntungan bersih yang dibahagikan ialah $ 3600 sahaja kepada tiga orang ahli syarikat.
PEMBAHAGIAN KEUNTUNGAN SETIAP AHLI SYARIKAT
ARMAN
$3600 x 40% = $ 1440
HAZNI
$3600 x 10% = $ 360
FARHAN
$3600 x 50% = $ 1800
2. SYARIKAT AL-ABDAN
Suatu akad antara dua individu atau lebih berkongsi tenaga atau usaha (bekerja) untuk membuat sesuatu pekerjaan yang sama seperti kedua-duanya bertukang kayu, atau berlainan jenis pekerjaan seperti seorang bertukang kayu dan seorang bertukang simen. Kemudian ganjaran atau upah dari pekerjaan tersebut dibahagi samarata antara mereka.
Hukumnya -
(a) Menurut mazhab Syafi’e, Syarikat al-Abdan di atas adalah tidak sah (tidak diharuskan) dan hasil upahnya adalah fasid (rosak). Alasan mereka ialah kerana terdapat syubhat pada memiliki upahnya. Dari segi kekuatan, kerajinan dan kemahiran ahli-ahli yang bersyarikat adalah tidak sama. Oleh itu hasil (upah / ganjaran) dari pekerjaan yang dilakukan adalah sepatutnya untuk dirinya sahaja. Sekiranya ahli-ahli itu berkongsi, maka hasil pendapatan mereka dibahagikan menurut upah atau ganjaran yang sebanding dengan usaha dan kepandaian (kemahiran) masing-masing.
(b) Menurut mazhab Maliki, Syarikat al-Abdan adalah harus dengan syarat pekerjaan yang dilakukan oleh setiap ahli syarikat adalah dari pekerjaan yang sama seperti kedua-duanya bertukang kayu atau bertukang simen.
(c) Menurut mazhab Hanafi, Syarikat al-Abdan adalah harus mutlaqan pada segala halnya dengan tiada perbahasan.
3. SYARIKAT AL-MUFAWADHAH
Suatu akad di antara dua individu atau lebih untuk berkongsi di antara mereka pada sesuatu perniagaan atau perusahaan sama ada jumlah harta mereka sama banyaknya atau tidak, tetapi harta (modal) mereka dan jenisnya tidak pula disatukan sebagai satu jumlah modal sebelum akadnya pada syarikat. Manakala keuntungan yang diperolehi oleh keduanya dibahagi sama rata antara keduanya, begitu juga jika terjadi kerugian setiap ahli syarikat bersama menanggungnya.
Hukumnya - Menurut mazhab Syafi’e dan Hanbali, Syarikat al-Mufawadhah tidak sah akadnya dan batal pada memiliki keuntungannya. Di antara sebabnya ialah modal kedua-dua individu yang berakad itu tidak disatukan menjadi satu jumlah modal harta sebelum akad dilakukan, maka cara sebegini seolah-olah perniagaan keduanya bukan syarikat. Oleh yang demikian, ia menyebabkan syubhat pada memiliki keuntungan dan kerugian yang mana sepatutnya hasil keuntungan dari usaha seseorang adalah hak dirinya sendiri sahaja. Begitu juga jika terjadi kerugian adalah ditanggung atas dirinya sendiri.
4. SYARIKAT AL-WUJUH
(i) Suatu akad di antara dua individu atau lebih yang bekerjasama untuk membeli barangan secara kredit (berhutang) tanpa mengeluarkan sebarang modal. Mereka bergantung sepenuhnya ke atas kemampuan dan usaha perdagangan terhadap barangan yang mereka beli secara kredit dan keuntungan yang diperolehi keduanya akan dibahagikan sama rata antara mereka.
(ii) Seorang individu yang terkenal (termasyhur) dalam bidang mu’amalah berusaha memperniagakan barangan dan tidak mengeluarkan sebarang modal sementara seorang individu lain mengeluarkan modal sahaja. Keuntungan yang diperolehi hasil daripada perniagaan mereka dibahagikan sama rata antara keduanya.
Hukumnya -
(a) Menurut mazhab Syafi’e dan Maliki, Syarikat al-Wujuh adalah batal dan tidak diharuskan. Di antara sebab-sebabnya ;
(i) Ketiadaan (ternafi) modal yang dikeluarkan dari kedua-duanya yang seharusnya patut disatukan sebelum berakad syarikat dan sebelum mereka melaksanakan mu’amalah. Jadi, dianggap tidak ada harta (modal) yang menjadi kepunyaan bersama yang dikongsikan.
(ii) Salah seorang daripada ahli-ahli yang bersyarikat tidak mengeluarkan modal. Oleh sebab itu tiada haknya untuk memiliki keuntungan di mana sepatutnya keuntungan menjadi hak orang yang mengeluarkan modal dan bersama menanggung kerugian mengikut kadar modal mereka jika ada.
(b) Menurut mazhab Hanafi dan Hanbali, Syarikat al-Wujuh adalah diharuskan.
RUKUN SYARIKAT AL-INAN
1. Ahli-ahli Syarikat / Rakan Kongsi : sekurang-k
urangnyan dua orang.
2. Modal - dari jenis harta sama ada wang ringgit atau benda yang bermanfaat atau berfaedah.
3. Perbuatan (Operasi atau kerja-kerja syarikat) - dengan tujuan untuk mendapatkan
keuntungan.
4. Sighah (Lafaz akad) - perjanjian lisan atau bertulis.
SYARAT AHLI-AHLI SYARIKAT
Sekiranya kedua-dua ahli syarikat itu akan menjalankan perniagaan syarikat, disyaratkan kedua-duanya itu hendaklah orang yang sah berwakil dan menerima wakil, kerana setiap seorang daripada keduanya itu adalah dianggap menjadi wakil daripada pihak taulannya (rakan kongsi) yang seorang lagi.
Adapun syarat sah berwakil dan menerima wakil itu ialah ;
« Berakal – Tidak sah akad syarikat daripada orang yang bodoh atau gila.
« Baligh – Tidak sah akad syarikat dari kanak-kanak.
« Merdeka – Tidak sah akad syarikat hamba yang tidak mendapat kebenaran tuannya.
« Dengan kemahuannya – Tidak sah akad syarikat dari orang yang dipaksa.
« Hendaklah dikendalikan oleh ahli syarikat. – Tidak sah sekiranya urusan syarikat itu dikendalikan oleh orang asing (bukan dari kalangan ahli syarikat).
[Orang buta adalah sah menjadi ahli syarikat sekiranya ia mempunyai syarat-syarat tersebut, kerana ia mempunyai kelayakan untuk berwakil namun ia tidak mempunyai kelayakan untuk menerima wakil saja.]
SYARAT MODAL SYARIKAT
R Jenis Mata Wang : Hendaklah modal itu dari jenis matawang atau emas atau perak. Ataupun barang-barang yang boleh disukat atau ditimbang seperti beras, gula dan sebagainya.
R Sebanding (Mithli) : Hendaklah ia daripada harta yang sebanding seperti wang sama wang, emas sama emas dan perak sama perak. Adalah tidak sah seandainya seorang mengeluarkan modal dari emas dan yang lain mengeluarkan beras. Namun demikian, sekiranya dua orang yang bersyarikat memperolehi modal yang berlainan itu hasil daripada pemberian orang (hibbah) atau dari harta pusaka yang mereka warisi, maka tidaklah disyaratkan modal itu dari jenis yang sama.
R Modal itu disatukan : Modal itu hendaklah terdiri dari barang yang boleh dicampur dan disatukan sebelum akad (sehingga tidak dapat dibezakan antara satu sama lain). Maka tidak sah syarikat sekiranya modal itu dari jenis barang yang dinilai harga seperti kambing, lembu dan sebagainya, kerana binatang-binatang itu tidak boleh dicampur dan dapat dibeza-bezakan.
R Modal dan kerja tidak semestinya sama : Malahan seorang ahli syarikat boleh mengeluarkan modal B$1000.00 dan yang seorang lagi B$500.00. Begitu juga tentang kerja-kerja syarikat. Seorang ahli syarikat boleh bekerja 8 jam sehari sedangkan yang seorang lagi 10 jam sehari, menurut persetujuan sewaktu akad.
R Untung dan rugi mengikut modal : Keuntungan dan kerugian mesti ditanggung bersama mengikut kadar modal masing-masing. Sebagai misalan, Azmi mengeluarkan modal B$100.00 dan Azrin pula B$50.00. Maka Azmi akan mendapat 2/3 dan Azrin pula akan mendapat 1/3 dari keuntungan yang diperolehi. Demikian juga sekiranya berlaku kerugian, kedua-duanya akan berkongsi mengikut kadar modal mereka.
SYARAT KERJA-KERJA SYARIKAT
Orang yang diberi izin menjalankan perniagaan syarikat hendaklah ia melakukan kerja-kerja berdasarkan kemuslihatan, kepentingan dan faedah syarikat. Setiap ahli syarikat boleh menjalankan urusan-urusan syarikat walau dengan apa cara sekalipun (bukan dengan cara yang negatif) asalkan ia boleh mendatangkan faedah kepada syarikat mereka.
Sebaliknya ahli syarikat tidak boleh melakukan kerja-kerja yang boleh membawa keburukan atau kerugian kepada syarikat. Seandainya seseorang ahli melakukan sesuatu tugas tanpa mendapat keizinan ahli-ahli yang lain sedangkan kerja yang diusahakannya itu mendatangkan kerugian kepada syarikat, maka ia dikenakan membayar ganti rugi kepada syarikat.
Sehubungan dengan itu, untuk merealisasikan matlamat dan kepentingan syarikat agar berhasil, hendaklah ahli syarikat berpegang kepada beberapa garis panduan berikut ;
ÿ Jualan secara tunai.
ÿ Jualan dengan menggunakan matawang dalam negeri kecuali ada kebenaran ahli syarikat.
ÿ Menjual dengan harga tinggi jika ada banyak permintaan pada barangan.
ÿ Tidak menjual barangan yang mendatangkan kerugian yang banyak.
ÿ Tidak dibawa musafir melainkan dengan izin ahli syarikat.
SYARAT SIGHAT SYARIKAT
Lafaz akad syarikat hendaklah mengandungi erti izin untuk pengurusan sesebuah syarikat. Maksudnya setiap ahli syarikat hendaklah berlafaz sesuatu yang menyatakan bahawa ia memberikan izin kepada ahli syarikatnya untuk memperniagakan harta (modal) itu. Sebagai contoh, salah seorang dari ahli syarikat berkata, “Saya memberi izin kepada saudara untuk mempergunakan modal ini untuk diperniagakan dalam syarikat ini.” Dijawab oleh taulannya, “Saya terima apa yang awak katakan.”
Sehubungan dengan itu, ‘aqad (kontrak) persetujuan menubuhkan syarikat hendaklah jelas sama ada dalam bentuk perjanjian lisan atau perjanjian bertulis, seelok-eloknya bertulis dan disetemkan.
BEBERAPA MASALAH TENTANG SYARIKAT
Ã. KEUNTUNGAN DAN KERUGIAN SYARIKAT
Pembahagian keuntungan hendaklah berasaskan kepada modal masing-masing yang dilaburkan dalam syarikat itu sebagaimana yang dipersetujui semasa akad. Begitu juga halnya jika terjadi kerugian ditanggung ke atas mereka mengikut peratus modal yang dilaburkan.
Contohnya : Fauzan mengeluarkan modal 60% dan Azman mengeluarkan modal 40%. Maka keuntungan bersih syarikat diberikan kepada Fauzan 60% dan 40% kepada Azman. Demikian juga jika syarikat itu menanggung kerugian, maka Fauzan menanggung kerugian 60% dan Azman menanggung 40% kerugian.
à TERFASAKH SYARIKAT
Syarikat juga boleh terfasakh (terbatal) dengan sendirinya apabila terjadi perkara-perkara berikut ;
* Mati salah seorang daripada ahli syarikat.
* Salah seorang ahli syarikat menjadi gila atau kurang siuman (berterusan).
* Ahli syarikat menarik balik modalnya (saham) dari syarikat. Walau bagaimanapun, setiap ahli syarikat adalah berhak untuk menarik balik (memansukhkan) modal syarikat pada bila-bila masa.
[* mengundur diri daripada menyertai syarikat, atau berhenti, atau memecat salah seorang rakan kongsi.]
* Salah seorang ahli syarikat menjadi murtad.
à AMANAH
Harta syarikat yang ada di dalam tangan ahli syarikat itu adalah merupakan suatu amanah, bukannya suatu jaminan (dhaman). Oleh itu seandainya salah seorang ahli syarikat mendakwa bahawa modal rakannya di dalam syarikat itu telah dikembalikannya, atau dia mendakwa bahawa syarikat itu telah rugi sekian-kian banyaknya, atau bahawa harta itu telah binasa, maka dakwaannya itu adalah diterima dan dibenarkan dengan syarat dia mesti bersumpah.
Seseorang ahli syarikat yang mendakwa bahawa harta syarikat itu telah binasa dengan sebab yang zahir seperti terbakar, dakwaannya itu tidak boleh diterima melainkan dengan ada saksi dan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa barang-barang tersebut telah terbakar.
qalam_azraq, 05102008 / 10.45pm



0 comments:
Post a Comment