Orang yang tidak memiliki rumah biasanya akan menyewa rumah. Orang yang tidak memiliki kenderaan pula biasanya akan menyewa kereta atau sebagainya. Orang yang tidak memiliki tanah pula selalunya akan menyewa tanah untuk membuat perusahaan. Dan orang yang tidak dapat membuat sesuatu pekerjaan biasanya akan mengupah orang lain.
Gambaran sebegini merupakan sebahagian kecil daripada fenomena al-Ijarah yang merangkumi sewa-menyewa dan upah-mengupah. Al-Ijarah merupakan kaedah yang berkesan untuk memenuhi keperluan setiap orang dan untuk memajukan kehidupan manusia kerana tidak ada seorang pun yang tidak terlibat dalam kegiatan sewa-menyewa dan upah-mengupah, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Malahan kedua-duanya merupakan mekanisme yang menggerakkan perusahaan, perniagaan, perdagangan dan pembangunan umat manusia secara aktif dan dinamik.
Sekiranya aktiviti sewa-menyewa dan upah-mengupah terjejas, maka seluruh aktiviti perusahaan, perniagaan, perdagangan dan pembangunan juga akan terganggu. Akibatnya keperluan, kemudahan, kemajuan dan kemakmuran tidak akan tercapai. Malahan keadaan sebaliknya yang akan terjadi. Tidak ada orang yang dapat memenuhi keperluannya, menyediakan kemudahan, membina kemajuan dan mencapai kemakmuran dengan sendirinya kerana manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan.
Adakalanya orang yang berharta, tetapi tidak mempunyai upaya atau kemahiran. Keadaan manusia yang sedemikian menimbulkan kesedaran bahawa manusia saling memerlukan dan perlu bekerjasama bagi memenuhi keperluan dan kehendak masing-masing. Islam sebagai agama yang prihatin terhadap kehendak manusia menyediakan kaedah bagi memenuhi keperluan dan kehendak manusia menerusi sistem al-Ijarah iaitu sewa-menyewa dan upah-mengupah.
TA’RIF SEWAAN
Secara etimologi, lafaz al-Ijarah dalam Bahasa Arab ialah upah, sewa, jasa atau imbalan.
Al-Ijarah merupakan salah satu bentuk kegiatan mu’amalah dalam memenuhi keperluan hidup manusia, seperti menyewa, kontrak atau menjual jasa perhotelan dan sebagainya.
AL-IJARAH (SEWAAN) dari segi istilah syara’ ialah satu akad (perjanjian) antara pemilik harta dengan penyewa di mana pemilik harta membenarkan penyewa menggunakan dan memperolehi manfaat yang tertentu lagi dikehendaki yang boleh diserahkan dan diharuskan oleh syara’ dan penyewa pula membayar kepada pemilik harta bayaran sewaan seperti yang telah dipersetujui bersama.
JENIS-JENIS SEWAAN
Sewaan jika dilihat berdasarkan kepada akad terbahagi kepada dua bahagian :
UJARAH ‘AIN - Sewa sesuatu barang yang telah wujud ‘ain ma’jur pada masa akad dilakukan. Jenis sewaan ini ialah sewa harta yang tidak alih, seperti sewa rumah, sewa tanah, atau sewa harta alih, seperti sewa pakaian, sewa jentera, kenderaan, khemah, senjata dan seumpamanya.
UJARAH ZIMMAH - Sewa atau jenis upah untuk melakukan sesuatu pekerjaan seperti mengupah pembantu rumah atau buruh, atau mengupah menjahit pakaian atau mengupah seseorang yang pakar dalam sesuatu pekerjaan tertentu seperti mengupah membina bangunan, mengupah mengajar, mengubati dan seumpamanya. Jenis sewaan atau upahan seperti ini disyaratkan tunai pembayaran sewanya semasa akad.
Rumusannya secara ringkas;
Sewa - melibatkan harta benda. Upah à melibatkan orang yang melakukan sesuatu pekerjaan.
Sewa - menyewa manfaat sesuatu benda (‘ain) yang dapat dilihat dan dapat dirasakan seperti menyewa tanah, bangunan, kenderaan atau binatang.
Upah - mengupah seseorang untuk melakukan sesuatu pekerjaan dalam waktu yang tertentu dan dengan upah yang tertentu.
DALIL DIHARUSKAN SEWAAN / UPAHAN
Jumhur Ulama’ Fiqh sependapat mengatakan bahawa mu’amalah sewaan adalah HARUS.
Firman Allah (Surah at-Thalaq : 6) ;
“Jika mereka (ibu-ibu) menyusukan anak kamu, maka hendaklah kamu berikan upah mereka.”
Firman Allah (Surah al-Qashash : 26 – 27) ;
Salah seorang dari kedua wanita (puteri Nabi Allah Syu’aib) itu berkata : “Wahai ayahanda, ambillah dia (Musa) sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai”. Menjawab ayahandanya (Nabi Allah Syu’aib a.s.), “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan engkau (Musa) dengan salah seorang dari kedua anak puteriku ini. Atas dasar engkau bekerja denganku selama lapan puluh kali Haji (lapan tahun), dan jika engkau cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (waktu kebaikan) dari engkau.”
Hadith Rasulullah s.a.w. :
Dari Ibnu Umar r.a. berkata ia, Bersabda Rasulullah s.a.w., “Berilah upah orang yang bekerja sebelum kering peluhnya.” [HR Abu Ya’la, Ibnu Majah, at-Thabrani dan at-Tirmidzi]
Hadith Rasulullah s.a.w. :
Dari Abu Said al-Khudri r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah berkata, “Barangsiapa mencari orang yang akan mengambil upah, maka hendaklah dinyatakan kepadanya berapa upahnya.” [HR Abdul Razak]
Hadith Rasulullah s.a.w. :
Dari Thabit bin Dhahak r.a., Berkata ia, bahawa Rasulullah s.a.w. telah melarang muzara’ah* tetapi memerintahkan melakukan sewaan saja, dan Rasulullah s.a.w. berkata, “Itu tidak mengapa.” [HR Muslim]
Maksud muzara’ah ialah tuan punya tanah membenarkan kepada seorang yang lain mengusahakan tanahnya dengan benih tanaman daripada tuan tanah itu sendiri sementara hasilnya nanti akan dibahagi di antara keduanya. Adapun sistem muzara’ah ini tidak harus dalam Islam sebab ada larangan di dalam Hadith, kerana hasil bumi itu boleh didapati dengan cara sewaan (al-Ijarah) sama ada dengan wang atau makanan yang tertentu kadarnya dan jenisnya atas tanggungan orang yang menyewa.
Akad di antara tuan tanah dengan pengusaha dengan pembahagian hasil yang dipersetujui oleh kedua belah pihak dengan syarat benih disediakan oleh tuan tanah.
Al-Mukhabarah
Akad di antara tunah tanah dengan pengusaha dengan pembahagian hasil yang dipersetujui oleh kedua belah pihak dengan syarat benih disediakan oleh pengusaha.
Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Abbas r.a. ;
Rasulullah s.a.w. berbekam lalu baginda membayar upahnya kepada orang yang membekam baginda. [HR al-Bukhari, Muslim, Ahmad ibn Hanbal]
HIKMAT DIHARUSKAN SEWAAN / UPAHAN
ÿ Syari’at Islam memandang bahawa tidak semua dapat memiliki beberapa barangan tertentu yang diperlukan begitu juga tidak semua orang mempunyai kebolehan dalam membuat kerja-kerja tertentu. Dengan adanya keharusan mu’amalah sewaan dan upahan ini maka akan tercapai hajat seseorang untuk memiliki manfaat sesuatu dan terlaksana sesuatu pekerjaan, sebaliknya jika mu’amalah sewaan atau upahan ini tidak diharuskan, sudah tentu akan menyukarkan dan menyulitkan kehidupan manusia.
ÿ Menerusi mu’amalah sewaan, pemilik barangan akan mendapat hasil sewaan dan penyewa pula akan mendapat manfaat daripada barang yang disewanya.
ÿ Sementara menerusi mu’amalah upahan, pekerja akan menikmati upah dan ganjaran dari pekerjaan yang diusahakannya dan majikan dapat menyelesaikan segala tugas yang dikehendakinya.
ÿ Menggalakkan orang yang berada supaya sentiasa mengambil berat dan memberi kemudahan kepada orang yang kurang bernasib baik secara tidak langsung.
ÿ Sewaan dan upahan secara tidak langsung dapat mengeratkan perhubungan silaturrahim antara dua golongan masyarakat iaitu antara majikan dengan pekerja dan antara pemberi sewa dengan penyewa.
RUKUN SEWAAN
Rukun Ijarah pada pendapat Abu Hanifah ialah Ijab dan Qabul. Sementara bagi pendapat Jumhur Ulama’ terbahagi kepada 5 perkara ;
SYARAT PEMBERI SEWA dan PENYEWA
Disyaratkan akad ijarah itu beberapa syarat sebagaimana juga akad jualbeli. Di antara syarat-syarat itu ialah seperti berikut ;
Menurut pendapat Ulama’ Syafi’iyah dan Hanabilah ;
· Kedua-duanya hendaklah berakal. Maka tidak sah akad ijarah yang dilakukan oleh orang yang gila.
· Kedua-duanya hendaklah sempurna umurnya (baligh). Maka tidak sah akad ijarah yang dilakukan oleh kanak-kanak. Berbeza dengan pendapat Ulama’ Hanafiah dan Malikiyah à mereka tidak mensyaratkan baligh, bahkan sah akad ijarah jika dilakukan oleh kanak-kanak mumayyiz, apabila dipersetujui oleh walinya.
· Hendaklah dengan kehendaknya sendiri. Maka tidak sah akad ijarah jika sekiranya dilakukan secara paksa. Sebagaimana dalam Firman Allah (Surah an-Nisaa’ : 29) ;
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta kamu dengan cara yang batil (salah), kecuali melalui suatu perniagaan yang berlaku suka sama suka antara kamu.”
· Tidak ditegah mempergunakan hartanya. Tidak sah seandainya orang yang muflis atau bankrap melakukan akad ijarah. Begitu juga orang yang safih (bodoh).
· Memiliki akan manfaatnya bagi pemberi sewa.
· Tidak disyaratkan kedua-duanya beragama Islam. Maka sah akad ijarah jika sekiranya salah seorang daripada mereka itu orang kafir atau kedua-duanya itu orang kafir tetapi makruh.
SYARAT BAYARAN SEWAAN
· Bayaran sewaan atau upahan itu mestilah halal dan suci dari segi syara’ seperti wang atau barang-barang yang mendatangkan manfaat dan faedah. Sesuatu yang haram atau syubhat seperti arak dan babi tidak boleh dijadikan sewa atau upah.
· Wang bayaran itu hendaklah maklum bagi kedua belah pihak. Maksudnya, diketahui jenisnya, jumlahnya (kadar) dan sifatnya.
Kedua-dua syarat ini adalah ittifaq ulama’, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. ;
“Barangsiapa mengupah orang bekerja maka hendaklah dimaklumkan (diberitahu) upahnya.”
· Keadaan bayaran itu tertentu. Maka tidak sah ijarah (sewa) rumah dengan bangunan, begitu juga sewa binatang dengan makanannya, kerana itu adalah jahil (tidak ditentukan bayarannya). Tetapi Ulama’ Malikiyah mengharuskan sewa binatang dengan makanannya ataupun seumpamanya. Keadaan ini berdasarkan kepada ‘uruf (kebiasaan) yang dilakukan oleh orang ramai.
· Jika disyaratkan dalam akad bayaran sewa dengan segera, maka ia mesti dibayar.
SYARAT MANFAAT SEWAAN
· Bernilai atau berharga à seperti menyewa rumah untuk tempat tinggal, menyewa kereta untuk kemudahan perjalanan, menyewa tanah untuk membangunkan bangunan komersial. Maka adalah tidak sah menyewa sesuatu yang tidak bernilai (berharga), seperti menyewa buah durian untuk mencium baunya, sedangkan durian itu adalah untuk dimakan atau mengupah seseorang untuk membunuh orang lain.
· Diketahui manfaatnya (maklum) à adalah tidak sah menyewa sesuatu yang manfaatnya majhul (tidak jelas atau tidak ada) atau sesuatu tempoh masa yang tidak ditentukan dengan jelasnya.
· Berkekalan manfaat zat (diri) yang disewakan itu à hendaklah zat (diri) barang yang disewakan itu manfaatnya kekal dan tidak berkurangan dalam masa penyewaan. Oleh yang demikian, adalah tidak sah penyewaan ke atas lilin untuk dipasang atau menyewa makanan untuk dimakan, kerana zat (diri) barang yang disewakan itu akan hilang atau berkurangan.
· Manfaat sewaan dapat diserahkan à Maksudnya manfaat itu boleh diserahkan oleh pemberi sewaan kepada penyewa dari segi syara’ atau dari segi kenyataan. Termasuk dalam maksud ini ialah barang (manfaat) yang disewakan itu adalah milik pemberi sewa.
Sebagai contoh, seorang lelaki yang menyewa rumah dan telah diterima kunci rumahnya. Apabila rumah itu masih berada di tangan orang lain, maka akad al-Ijarah hanya berlaku sejak rumah itu boleh diterima dan ditempati oleh penyewa kedua.
Oleh yang demikian, sewaan ke atas sesuatu yang tidak boleh diserahkan adalah tidak sah seperti penyewaan ke atas kuda atau kenderaan yang hilang, penyewaan ke atas sesuatu yang telah dirampas orang dan sebagainya. Selain dari sewaan barang, upah untuk melakukan ibadat yang wajib berniat (selain daripada mengerjakan haji dan umrah) adalah tidak sah, kerana manfaat demikian itu untuk pengupah. Adapun upah untuk mengerjakan ibadat-ibadat yang tidak perlu kepada niat, maka sah ijarahnya contohnya seperti upah melakukan azan (bang) dan iqamat, menguruskan jenazah, mengajar Al-Qur’an dan sebagainya.
· Manfaat yang disewakan hendaklah halal (tidak haram) à Hendaklah manfaat itu diharuskan pada syara’ seperti sewa kitab untuk bacaan dan kajian, atau sewa rumah untuk didiami. Adalah tidak sah penyewaan ke atas sesuatu alat atau barang yang dihukumkan haram atau syubhat dari segi syara’, seperti menyewakan barang-barang rampasan. Begitu juga tidak sah al-Ijarah bahkan haram pada perkara-perkara maksiat, seperti mengupaj penyanyi untuk menyanyi bagi memeriahkan majlis perkahwinan, atau mengupah seseorang untuk membunuh orang lain, mengupah orang untuk mengajarkan ilmu sihir, menyewakan rumah kepada orang bukan Islam untuk dijadikan gereja atau tempat melakukan amalan mereka.
Tegahan ke atas perkara-perkara yang dilarang itu adalah berdasarkan kaedah fiqh yang berbunyi ;
yang bermaksud - Sewa menyewa dalam masalah maksiat adalah tidak boleh.
SYARAT SIGHAH
Lafaz akad seperti kata pemberi sewa, “Saya sewakan rumah ini kepada awak dengan bayaran sebanyak $150.00 sebulan selama tempoh setahun.” Jawab orang yang menyewa, “Saya terima.”
Adapun syarat bagi sighah sewaan adalah sama seperti sighah bagi jualbeli, iaitu ;
· Hendaklah ijab dan qabul itu didengar oleh orang yang hampir.
· Hendaklah ijab itu diikuti oleh qabul dengan segeranya.
· Hendaklah bersamaan ijab dan qabul itu pada maknanya.
· Hendaklah ijab dan qabul itu tidak bertaklik.
· Hendaklah ijab dan qabul itu menyatakan tempoh (waktu) penyewaan.
· Hendaklah ijab itu tidak berubah sebelum adanya qabul.
PELBAGAI PERMASALAHAN SEWAAN
(1) MATI PEMBERI SEWA ATAU PENYEWA
Jika mati salah seorang daripada pemberi sewa atau penyewa, maka kuatkuasa sewaan adalah terus berjalan seperti biasa, begitu juga tidak batal sewaan seandainya mati kedua-duanya. Ini bererti mati tidak membatalkan sewaan sama ada mati salah seorang daripada mereka atau keduanya. Bahkan sewaan terus kekal berjalan kuatkuasanya sehingga habis tempoh perjanjian yang telah dibuat semasa akad.
Dalam hal ini hak menerima manfaat atau melaksanakannya atau mengambil ujrahnya (bayaran sewa) jika belum menerimanya adalah menjadi hak waris kedua belah pihak.
Apabila berlaku penjualan terhadap barang yang disewa, sama ada dijual kepada orang yang menyewa itu sendiri atau kepada orang lain, sewaan tersebut masih tetap berjalan terus sehingga tamat tempoh yang dijanjikan.
Perbezaan pendapat ulama’ berkenaan dengan masalah apabila salah seorang di antara penyewa dan pemberi sewa meninggal dunia ;
1. Ulama’ Hanafiyah - Terbatal sewaan, kerana manfaat tidak boleh diwariskan.
2. Jumhur Ulama’ - Tidak batal sewaan, kerana manfaat boleh diwariskan dan ia termasuk harta.
(2) ROSAK BARANG SEWAAN
ÿ Jika rosak atau binasa semua sekali barang sewaan itu, umpamanya rumah yang disewa itu telah runtuh atau terbakar, maka tidak wajib bagi penyewa menggantikannya atau membayar pampasan kepada pemberi sewa, kerana dalam konsep sewaan adalah AMANAH (sesuatu barang yang ada pada seseorang yang dipercayai {Al-amin}) bukannya berdasarkan konsep DHAMAN (jaminan untuk mengganti). Berdasarkan konsep ini, andainya berlaku kerosakan dengan sebab ketaksiran atau senghaja dilakukan oleh penyewa, maka wajib bagi penyewa menggantikannya atau memberi pampasan.
ÿ Sewaan menjadi batal atau terfasakh dengan sebab rosak atau binasa semua sekali benda yang disewakan itu. Umpamanya rumah yang disewakan telah runtuh sama sekali, haiwan yang disewakan telah mati.
ÿ Sekiranya barang sewaan itu hanya rosak sesetengahnya sahaja dan sebahagiannya lagi masih dapat diambil manfaat, contohnya runtuh sebelah rumah dan sebahagiannya masih dapat diduduki, maka dalam keadaan seperti ini, penyewa thabit khiyar iaitu sama ada mahu meneruskan sewaan atau tidak. Begitu juga thabit khiyar andainya didapati kecacatan pada binatang yang disewa untuk kenderaan atau rumah yang disewakan itu telah usang atau terlalu buruk.
Terbatal sewaan jika berlaku à banjir, runtuh, kebakaran, hilang dan sebagainya.
(3) UPAH MEMBACA AL-QUR’AN DI ATAS KUBUR DAN DI MAJLIS KEMATIAN
Para fuqaha’ berselisih pendapat tentang upah membaca Al-Qur’an di atas kubur dan di majlis kematian. Mengikut pendapat Ulama’ Syafi’iyah dan Qaul azhar dari ashabul Imam Malik à Sesungguhnya upah membaca Al-Qur’an di atas kubur dan di majlis kematian itu adalah SAH, kerana pahalanya itu akan sampai kepada simati.
Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. ;
“Barangsiapa masuk ke kawasan tanah perkuburan serta dia membaca ‘Qulhuwallahu Ahad’ sebelas kali dan menghadiahkan pahalanya untuk mereka (orang mati yang berada di situ), nescaya Allah tuliskan kebajikan (pahala) untuknya sebanyak bilangan orang yang dikebumikan orang yang dikebumikan di situ.”
Dan berdasarkan Hadith yang diriwayatkan oleh Uthman r.a. berkata ;
“Sentiasa Rasulullah s.a.w. apabila selesai mengebumikan jenazah baginda berhenti sebentar di situ serta bersabda, “Hendaklah kamu semua beristighfar (memohon keampunan) untuk saudara kamu (yang disemadikan) itu serta penuhkanlah ketetapan dan keteguhan keimanannya, maka sesungguhnya dia sekarang sedang disoal (oleh munkar dan nakir).”
Sementara pendapat Hanafi pula, TIDAK HARUS dan TIDAK SAH mengambil upah membaca Al-Qur’an di atas kubur dan di majlis kematian, kerana setiap qurbah (mendamping diri kepada Allah) itu berlaku dari orang yang beramal, dan seseungguhnya diberi pahala kepada yang beramal sahaja tidak diberi kepada orang lain, sebagaimana Firman Allah (Surah an-Najm : 39) ;
“Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperolehi (pahalanya) selain dari apa yang telah diusahakannya.”
Berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. pula,
“Hendaklah kamu membaca Al-Qur’an serta jangan kamu mencari makan dengannya.”
Masalah mengambil upah dalam penyelenggaraan jenazah, seperti memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan :
Æ Ulama’ Hanafiyah - Tidak boleh / Tidak Harus, kerana hal tersebut merupakan kewajipan bagi seorang muslim.
Æ Jumhur Ulama’ - Boleh / Harus, kerana penyelenggaraan jenazah termasuk kewajipan kolektif (Fardhu Kifayah) bukannya kewajipan peribadi (Fardhu ‘Ain).
(4) BUDI PEKERTI DALAM SEWAAN
Di antara budi pekerti yang mesti dijaga oleh masing-masing pihak penyewa dan pemberi sewa ialah
Ø Kedua-dua penyewa dan pemberi sewa hendaklah jujur dan bertimbangrasa.
Ø Sempurnakan janji yang telah dibuat dengan sebaik-baiknya.
Ø Penyewa hendaklah menggunakan barang itu dengan cermat.
Ø Setelah habis tempoh perjanjian sewaan, barang sewaan hendaklah penyewa menyerahkan balik dengan segera.
Ø Penyewa hendaklah membayar sewa dengan segera apabila sampai waktunya.
Ø Bila penyewa ditimpa kesukaran, pihak pemberi sewa hendaklah bertimbangrasa dengan memberi kemudahan atau kelonggaran tempoh pembayarannya.
(5) BEBERAPA PERMASALAHAN LAIN TENTANG SEWAAN
& Akad al-Ijarah tidak berlaku pada pohon-pohon atau pokok-pokok tanaman untuk diambil buahnya, kerana buah itu sendiri adalah benda (material), sedangkan akad al-Ijarah itu hanya ditujukan kepada manfaat.
& Begitu juga dengan binatang seperti kambing, kerbau, lembu dan sebagainya tidak boleh dijadikan sebagai objek al-Ijarah untuk diambil susu atau bulunya, kerana susu dan bulu binatang adalah termasuk benda (material).
& Jumhur Ulama’ Fiqh juga tidak membolehkan air mani (benih) haiwan ternakan seperti unta, sapi, kuda dan kerbau, kerana yang dimasudkan dengan hal itu adalahmendapatkan keturunan haiwan, dan benih binatang itu sendiri merupakan benda (material).
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. riwayat daripada Abdullah ib Umar r.a. ;
Rasulullah s.a.w. melarang penyewaan mani (benih) haiwan jantan.
[HR al-Bukhari, Ahmad ibn Hanbal, an-Nasa’ie dan Abu Daud]
& Para Ulama’ Fiqh juga tidak membolehkan al-Ijarah terhadap nilai tukar matawang seperti dirham dan dinar, kerana menyewakan hal itu bererti menghabiskan bendanya (material) sedangkan dalam al-Ijarah yang dituju hanyalah manfaat dari suatu benda.
qalam_azraq, 05102008 / 11.15pm



0 comments:
Post a Comment