CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, December 26, 2008


ILA’

MUQADDIMAH

Dalam kehidupan berumahtangga, kedua-dua pasangan suami isteri mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing terutama sekali dalam usaha untuk mencapai salah satu matlamat perkahwinan yang sebenarnya iaitu untuk menghalalkan perhubungan kelamin di antara kedua-dua pasangan. Walau bagaimanapun, bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri, sudah setentunya akan mengalami perselisihan faham atau ketidaksefahaman meskipun tidak selalu. Jadi, kedua-duanya harus menangani masalah yang dihadapi itu dengan wajar dan penuh diplomasi.

Di antara punca keretakan dalam rumahtangga bagi kebanyakan masyarakat Islam ialah hubungan yang tidak mesra antara kedua pasangan suami isteri, sama ada disebabkan oleh perkataan atau perbuatan yang menunjukkan sikap negatif terhadap isteri atau suaminya. Kata-kata dan perbuatan tersebut adakalanya menunjukkan kekecewaan atau kebencian. Lantaran itu, tawarlah segala rasa cinta, kasih sayang dan nafsu untuk menikmati kemuncak hubungan antara suami isteri iaitu untuk melakukan persetubuhan (jima’).

Perkara seumpama ini adalah jelas apabila seorang suami tidak melayan isteri atau sebaliknya, sama ada layanan zahir atau batin atau kedua-duanya sekali, malahan sampai ke peringkat menjauhkan diri daripada pasangan masing-masing dengan pelbagai cara dan alasan. Contohnya, ada lelaki yang merasa begitu kecewa atau tawar hati terhadap isterinya sehingga sanggup bersumpah tidak mahu melakukan persetubuhan dengan isterinya, padahal persetubuhan itulah yang menjadi keinginan manusia dalam berumahtangga dan sebagai satu tanggungjawab nafkah yang disebut nafkah batin.

Rumahtangga yang menghadapi gejala sedemikian sehingga sampai ke peringkat bersumpah tidak mahu melakukan persetubuhan dengan isterinya sebagai sekatan nafkah batin boleh dianggap rumahtangga yang sedang berada di pintu perpisahan atau talaq.

Namun begitu, Islam mempunyai tatacara hidup yang lengkap telah menyediakan peruntukan khusus bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah ini di bawah hukum Ila’. Dan Ila’ itu sendiri bukanlah bermaksud menjatuhkan talaq ke atas isteri, hanya merupakan kata-kata sumpah dari suami yang jelas menunjukkan keengganannya untuk ‘bersama’ isterinya dalam tempoh-tempoh tertentu.


TA’RIF ILA’

Dari segi bahasa - sumpahan.

Dari segi istilah syara’ - Sumpah seorang suami yang enggan melakukan persetubuhan dengan isterinya dalam masa lebih daripada empat bulan ataupun ia bersumpah dengan tidak menyatakan tempoh masa, sama ada bersumpah dengan nama Allah atau salah satu sifatNya ataupun dengan sumpah talaq.

Contoh Ila’ tanpa batas waktu, “Wallahi! Aku tidak akan melakukan persetubuhan dengan engkau, Hamirah. Tidak!” Manakala contoh Ila’ dengan batas waktu, “Wallahi! Aku tidak akan melakukan persetubuhan dengan engkau, Yani selama lima bulan.”


SEJARAH ILA’

ILA’ adalah merupakan jenis perceraian (talaq) pada masa Jahiliah. Orang-orang Jahiliah melakukan ila’ ini untuk memudharatkan isteri mereka dengan jalan bersumpah tidak mahu menghampiri isterinya selama setahun atau lebih, kemudian mereka mengulangi sumpah apabila habis tempohnya. Setelah kedatangan Islam, maka hukum ila’ ditetapkan tempoh masa tidak lebih daripada empat bulan. Maka jika seorang suami mengulangi sumpahnya semula selepas tempoh itu, ia wajib membayar kifarah sumpah.


DALIL ILA’

1. Firman Allah (Surah al-Baqarah : 226 – 227) ;

Kepada orang-orang yang meng-ila’ isterinya diberi tangguh empat bulan (lamanya). Kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan jika mereka berazam (bertetap hati untuk) talaq, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

2. Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah r.a. berkata ;

Rasulullah s.a.w. telahpun bersumpah dengan isteri-isterinya dan baginda mengharamkan, maka baginda menjadikan yang halal itu haram dan ia jadikan pada sumpahan itu kifarah.”
[HR at-Tirmidzi]

3. Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. berkata ;

Adalah ILA’ pada masa jahiliah dahulu setahun dan dua tahun, maka Allah telah menetapkan masa ila’ itu empat bulan, maka jika kurang dari empat bulan itu bukan dinamakan ila’.”
[HR al-Baihaqi]


HUKUM ILA’

Menurut pendapat Jumhur Ulama’, Ila’ adalah HARAM kerana ia boleh menyakiti hati isteri disamping sumpah meninggalkan perkara yang wajib. Manakala bagi pendapat Ulama’ Hanafiyah pula, Ila’ adalah MAKRUH TAHRIM.

Sekiranya suami yang meng-ila’ isterinya itu tidak juga mahu menyetubuhi semula dalam masa empat bulan itu, maka isteri boleh membuat pengaduan kepada qadhi meminta supaya suaminya itu menyetubuhinya semula serta membayar kifarah sumpahnya dan jika suami tidak juga mengedahkan tuntutan tersebut, pihak isteri boleh menuntut supaya suami menggugurkan talaqnya. Jika suami berdegil juga, tidak mahu menunaikan salah satu daripada dua perkara tersebut, pihak qadhi berhak menggugurkan talaq satu.

Hukum di atas adalah berdasarkan dalil-dalil yang telah dinyatakan sebelum ini. Sebahagian ulama’ berpendapat : Apabila tempoh ila’ itu sampai empat bulan, suami tidak juga kembali kepada isterinya (menyetubuhinya) dengan sendirinya gugur talaq isteri itu sebagai talaq ba’in. Maksudnya tidak perlu dikemukakan hal itu kepada qadhi.


RUKUN ILA’

¿ Suami yang meng-ila’
¿ Isteri yang di-ila’
¿ Sesuatu yang dibuat sumpah dengannya - dengan nama Allah, sifat-sifatNya.
¿ Tempoh masa Ila’
¿ Sighah



SYARAT BAGI SUAMI YANG BERSUMPAH

1. Hendaklah orang yang bersumpah itu benar-benar seorang suami, bukan tuan kepada hamba perempuan dan bukan orang asing.

2. Hendaklah suami itu sah talaqnya jika ia menjatuhkan talaq ke atas isterinya. Maksudnya, suami itu hendaklah ;

(i) yang sudah cukup umur (baligh). Tidak sah ila’ dari kanak-kanak.

(ii) sempurna akal (berakal). Tidak sah ila’ dari orang yang gila atau mabuk yang tidak disengajakan.

(iii) dengan kerelaan hatinya sendiri. Tidak sah ila’ dari orang yang dipaksa.

3. Suami itu hendaklah seorang yang mampu untuk melakukan persetubuhan. Maka tidak sah ila’ dari seorang suami yang terpotong zakarnya atau mati pucuk dan sebagainya, kecuali jika perkara-perkara itu berlaku setelah ila’.


SYARAT BAGI ISTERI YANG DI-ILA’

Di antara syarat yang mengesahkan jatuhnya ila’ ke atas seorang isteri ialah Isteri adalah orang yang berada di dalam wilayah (kekuasaan) suaminya dan berupaya untuk melakukan persetubuhan dengan suaminya.

Adalah tidak sah Ila’ jikalau sekiranya isteri itu mempunyai kecacatan seperti ada ketumbuhan daging di dalam faraj atau ada ketumbuhan tulang dalam faraj atau seumpamanya dari kecacatan yang menyebabkan isteri tidak dapat dipersetubuhi, kerana yang demikian itu bukan bertujuan memberi kemudharatan dan menyakiti.


SYARAT SESUATU YANG DIBUAT SUMPAH DENGANNYA

Iaitu dengan menggunakan nama Allah s.w.t. dan sifat-sifatNya. Begitu juga pada pendapat Jumhur Ulama’ selain dari Hanafiyah mengatakan setiap sumpah yang melazimkan darinya itu hukuman seperti talaq, memerdekakan hamba, nazar untuk berpuasa, sembahyang atau mengerjakan Haji dan sebagainya. Sebagai contoh, suami berkata kepada isterinya, “Jika saya menyetubuhi awak, maka wajib bagi saya memerdekakan hamba atau bersedeqah, atau puasa atau sembahyang.”

Suami dikira meng-ila’ isterinya jika mentaklikkan sumpah dengan talaq, memerdekakan hamba atau melakukan sesuatu ibadat.

Sementara menurut pendapat Ulama’ Hanabilah mengatakan tidak sah Ila’ kecuali sumpah dengan nama Allah s.w.t. ataupun dengan salah satu dari sifat-sifatNya.


SYARAT TEMPOH MASA ILA’

Jumhur Ulama’ selain dari Ulama’ al-Hanafiyah berpendapat bahawa tempoh masa ila’ ialah lebih daripada empat bulan. Seperti kata suami, “Demi Allah, saya tidak akan menyetubuhi awak selama empat bulan sepuluh hari”, Ataupun tidak menghadkan masa, seperti kata suami, “Demi Allah, saya tidak akan menyetubuhi awak.” Ataupun secara bertaklik iaitu dikaitkan tempoh masa itu dengan sesuatu perkara yang akan berlaku tetapi masih jauh, seperti kata suami, “Demi Allah, saya tidak akan menyetubuhi awak sehingga saya mati atau awak mati.”

Apabila seseorang suami berkata kepada isterinya seperti contoh-contoh tersebut di atas, maka ia dianggap telah meng-ila’ isterinya itu.

Seandainya suami berkata kepada isterinya, “Saya tidak akan menyetubuhi awak selama empat bulan,” perkataan yang sedemikian tidak dinamakan ila’ bahkan hanyalah sumpah biasa, kerana tempoh masa tersebut tidak melebihi empat bulan.

Sekiranya suami berkata kepada isterinya, “Wallahi saya tidak akan menyetubuhi awak selama empat bulan”, kemudian apabila berlalu empat bulan, suami itu berkata lagi, “Saya tidak akan menyetubuhi awak selama empat bulan,” kata-kata yang demikian dianggap suami itu telah meng-ila’ isterinya kerana sumpahnya itu telah melebih empat bulan.

Jika sekiranya suami berkata, “Wallahi saya tidak akan menyetubuhi awak selama lima bulan,” kemudian apabila berlalu masa lima bulan, suami berkata lagi, “Wallahi saya tidak akan menyetubuhi awak selama enam bulan.” Maka kata-kata sedemikian dianggap suami telah melakukan dua kali ila’ dan tiap-tiap satu daripadanya mempunyai hukum-hukum yang berlainan.

Sementara menurut pendapat Ulama’ Hanafiyah pula, tempoh masa ila’ itu sekurang-kurangnya empat bulan dan lebih. Maka jikalau suami bersumpah tidak mahu mempersetubuhi isterinya selama tiga bulan atau empat bulan, maka tidak dinamakan ila’ pada pendapat Jumhur Ulama’, namun menjadi ila’ pada pendapat Ulama’ Hanafiyah pada perkataan ‘empat bulan’ itu dan bukan ila’ pada yang kurang dari empat bulan.


SYARAT LAFAZ ILA

Ila’ ini sah dilafazkan dengan sebarang bahasa, sama ada dengan Bahasa Arab ataupun dengan bahasa-bahasa lain dari Bahasa Arab, sama ada suami yang meng-ila’ isterinya itu dari kalangan orang yang pandai berbahasa Arab atau tidak. Oleh yang demikian adalah sah ila’ dari suami berbangsa ‘ajam dengan Bahasa Arab dan suami berbangsa Arab dengan bahasa ‘ajam, jika sekiranya dia faham dan mengerti maknanya.

Lafaz ila’ itu terbahagi kepada dua bahagian ;

Lafaz Soreh

Lafaz yang jelas dan terang menunjukkan ila’, tidak mengandungi maksud yang lain, seperti suami bersumpah tidak mahu menjima’ isterinya, tidak mahu wathi’, tidak mahu memecahkan daranya dan seumpamanya. Sebagai contoh kata suami, “Wallahi saya tidak akan meyetubuhi awak selama empat bulan lima hari.”

Lafaz Kinayah

Lafaz yang boleh mengandungi makna yang lain selain dari ila’. Lafaz kinayah ini memerlukan niat, seperti kata suami, “Wallahi saya tidak akan sentuh awak, atau tidak akan memeluk awak.” Antara perkataan lain yang digunakan dalam lafaz kinayah ialah seperti ;

Æ sentuh-menyentuh
Æ menyentuh zakar dengan faraj
Æ pergaulan
Æ mendatangi isteri
Æ menglubangi atau menutup isteri
Æ menghampiri isteri


KIFARAH ILA’

Apabila suami menyetubuhi semula isteri yang di-ila’nya itu sebelum sampai empat bulan dari tarikh ila’nya, maka suami wajiblah membayar kifarah sumpahnya itu, kerana ia dianggap telah melanggar sumpah yang dibuatnya.

Kifarah Ila’ adalah sama seperti kifarah sumpah (denda bagi orang-orang yang melanggar sumpahnya). Ini adalah berdasarkan Firman Allah (Surah al-Mai’dah : 89) ;
Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahan-sumpahmu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja.. Maka kaffarah (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka (iaitu kepada sepuluh orang miskin), atau memerdekakan seorang hamba. Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka hendaklah dia berpuasa selama tiga hari. Yang demikian itu ialah kaffarah sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukumNya agar kamu bersyukur (kepadaNya).”

Sehubungan dengan dalil yang tersebut, maka kifarah Ila’ adalah seperti berikut ;

B Memberi sedeqah makanan kepada 10 orang miskin, setiap seorang diberi secupak makanan yang asasi (seperti beras).

B Memberi pakaian kepada 10 orang miskin.

B Memerdekakan seorang hamba yang mu’min.

B Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa selama tiga hari, sama ada selang seli atau berturut-turut.


BEBERAPA MASALAH BERHUBUNG DENGAN ILA’

1) Sekiranya seorang isteri yang dii-ila’ itu sedang berada dalam masa iddah raj’iyah, maka masa empat bulan itu dikira dari masa suami meruju’ dirinya semula.

2) Seandainya seorang isteri yang di-ila’ itu murtad, sakit, gila atau sedang mengerjakan ibadat haji yang wajib, masa empat bulan itu akan terputus. Masa ila’ selama empat bulan itu dikira semula setelah isteri yang di-ila’ itu telah sehat atau selesai mengerjakan hajinya.

3) Jika sekiranya isteri yang di-ila’ itu mengaku yang suaminya telah menyetubuhinya kembali setelah empat bulan masanya, sedangkan suami tidak mengakuinya, maka pihak isteri tidak berhak mengemukakan tuntutan lagi, kerana ia telah membuat pengakuan terlebih dahulu.


ILA’ BUKAN BERMAKSUD TALAQ

Dalam amalan masyarakat Jahiliah, Ila’ adalah setaraf dengan Talaq. Ia mempunyai kesan jangka masa panjang kerana isteri yang di-ila’ tidak mempunyai peluang untuk berkahwin dengan sesiapapun sehinggalah dia meninggal dunia, jika ila’ yang dilafazkan oleh suaminya itu secara mutlak atau bersambung masanya dari setahun ke setahun sehinggalah ke saat akhir hayatnya.

Namun dalam Islam, Ila’ tidak dihukum sebagai Talaq, malah ia dianggap sebagai satu sumpah yang diharamkan kerana dengannya suami telah mengharamkan dirinya dari suatu nikmat yang halal disamping itu juga merupakan satu tindakan bodoh. Sungguhpun begitu, ekoran daripada tindakan ila’ boleh membawa kepada perceraian, sama ada secara automatik (menurut satu pendapat) atau menerusi lafaz talaq daripada suami yang berkenaan, apabila kesnya itu dibawa ke pengadilan oleh isterinya.


DARI ILA’ BOLEH MEMBAWA KEPADA TALAQ

Ila’ merupakan suatu peruntukan hukum yang terhad dan khusus bagi lelaki (suami) yang luar biasa sikapnya kerana perbuatan bersumpah yang sedemikian merupakan perbuatan yang jarang-jarang terjadi bagi manusia yang mempunyai akal yang waras, fikiran yang sihat dan naluri hidup yang normal.

Walaupun begitu, Islam amat prihatin dengan memberi peruntukan undang-undang ini, bagi memberi ruang dan membatasi kemahuan dan tindakan suami yang sedemikian serta menentukan peraturan-peraturan mengikut syara’ iaitu Al-Qur’an dan Sunnah.

Tempoh masa empat bulan bagi kuatkuasa sumpah yang diperuntukkan oleh Allah seperti yang terdapat di dalam Al-Qur’an adalah sebagai tempoh untuk suami yang bersumpah melakukan melakukan muhasabah yang membolehkannya menarik balik sumpahnya dan kembali hidup bersama isterinya secara normal, atau untuk menjatuhkan talaq ke atas isterinya.

Suami hendaklah mengambil peluang yang baik dalam tempoh tersebut kerana jika ia terus berpegang pada sumpahnya sehingga luput tempoh kuatkuasa sumpah, maka hakim akan menggunakan kuasanya untuk mengarahkan suami yang terlibat sama ada menarik balik sumpahnya dan kembali hidup bersama dengan isterinya atau hakim menggunakan kuasa untuk menjatuhkan talaq. Tindakan sebegini bagi menjaga kepentingan isteri supaya tidak teraniaya.

Ila’ menggambarkan keegoan atau kesombongan suami yang menggantungkan isteri tidak bertali. Hendak dikatakan bercerai masih hidup bersama, sebaliknya hendak dikatakan tidak bercerai, mereka tidak melakukan persetubuhan dalam tempoh masa yang lama tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Dalam pada itu, Ila juga merupakan punca talaq yang bertangguh dalam tempoh masa empat bulan bagi membolehkan suami membuat pertimbangan sebaik-baiknya sama ada mahu menarik balik sumpahnya atau menjatuhkan talaq ke atas isterinya.

Sekiranya selepas empat bulan tiada keputusan, maka hakim akan menggunakan kuasanya berdasarkan peruntukan undang-undang syara’ iaitu ;

(a) Mengarahkan suami menarik balik sumpahnya dan kembali hidup bersama isteri.

(b) Menjatuhkan talaq satu kepada isteri.

Seandainya suami masih enggan melaksanakan kedua-dua keputusan hakim itu, maka hakim berhak menjatuhkan talaq satu kepada isteri tersebut.


AKIBAT ILA’

1. Sumpah hanya berkuatkuasa selama empat bulan yang dikira dari hari suami melafazkan sumpah. Dalam tempoh tersebut, suami boleh rujuk isterinya dan memberi kifarah sumpah ataupun mentalaq isterinya.

2. Sumpah itu hanya untuk tidak melakukan persetubuhan. Ertinya perkara-perkara lain boleh dilakukan, seperti bergurau-senda dan bercumbuan kerana perempuan itu masih dikira dalam wilayah suaminya.

3. Hubungan jima’ antara suami isteri tergantung atau tertangguh kecuali suami melakukannya sebelum empat bulan. Seandainya dilakukan maka terbatallah sumpahannya dengan erti ia membatalkan sumpahnya dan dikira telah meruju’ isterinya dengan memberi kifarah sumpah.

4. Sekiranya ila’ itu berta’liq (bersyarat), maka hubungan jima’ suami isteri tergantung atau tertangguh selama syarat yang dikenakan dalam sumpah itu tidak dilanggar.

Sebagai contoh kata suami, “Wallahi! Aku tidak akan melakukan persetubuhan denganmu. Jika aku lakukan engkau tertalaq.” Dalam hal ini, jika suami menjima’ isterinya, maka jatuhlah talaq ke atas isterinya dan terbatallah ila’nya. Walau bagaimanapun, suami diwajibkan membayar kifarah sumpah iaitu ;

È Memerdekakan seorang hamba.

È Memberi makan kepada 10 orang miskin.

È Memberi pakaian kepada 10 orang yang miskin.

È Jika tidak mampu melakukan salah satu daripada ketiga-tiga perkara tersebut, maka hendaklah ia berpuasa selama tiga hari (selang seli atau berturut-turut).

5. Sekiranya dalam tempoh empat bulan suami tidak meruju’ isterinya, dan tidak melakukan jima’ malahan tetap melaksanakan sumpah bersyarat (ta’liq) serta tidak menceraikan isterinya juga, maka isteri boleh melaporkan kepada qadhi atau hakim. Di antara tujuan dibolehkan bagi isteri melaporkan kepada pihak qadhi atau hakim tentang kes ila’nya ini adalah untuk mengindari sebarang kemudharatan (kesusahan, kesukaran, kesulitan, kepayahan atau penderitaan) yang dialami oleh isteri. Pihak qadhi atau hakim boleh mengambil tindakan ke atas suami dan dengan kuatkuasanya berhak memberi pilihan kepada suami, iaitu ;

Æ Menarik balik sumpah dan melakukan hubungan jima’ bersama isterinya semula serta membayar kifarah sumpah jika ia bersumpah dengan nama Allah atau sifat-sifatNya. Namun sekiranya suami bersumpah dengan amalan atau perbuatan seperti puasa atau sedeqah, maka setelah ruju’ ia wajib melakukan syarat (ta’liq) yang disumpahnya.

Æ Menceraikan isterinya, jika ia masih mahu berpegang dengan sumpahnya. Hakim atau qadhi boleh menjatuhkan talaq kepada isterinya dengan talaq satu, sebagai kuasa yang diambil daripada suami bagi mengelakkan kemudharatan yang menimpa isteri.

Tindakan sebegini seandainya tidak ada yang menghalang suami daripada melakukan jima’ seperti sakit atau tidak berdaya. Sekiranya ada halangan tersebut, maka hakim boleh memerintahkan suami agar menarik balik sumpahnya seperti berkata, “Jika aku pulih atau sihat atau berdaya aku batalkan sumpahku.”


HIKMAT DISYARIATKAN ILA’ DAN PENGHARAMANNYA

1) Memberi kesedaran dan keinsafan kepada pasangan suami isteri, terutama kepada suami bahawa Ila’ merupakan salah satu sumpah yang diharamkan dalam Islam dan pengharamannya menyebabkan kedua-dua pasangan tidak boleh menikmati sesuatu perbuatan yang dihalalkan iaitu jima’ dan istimta’.

2) Tempoh masa empat bulan yang ditetapkan adalah untuk memberi peluang kepada suami untuk berfikir sama ada ingin bersama dengan isterinya semula dan membayar kifarah, ataupun menceraikan isterinya dengan talaq satu.

3) Walaupun Ila’ disyariatkan dalam Islam, namun ia memberi kesan dan impak yang mendalam terhadap isteri kerana menerusi ila’, seseorang isteri akan mengalami penderitaan dan penyiksaan batin, sekaligus mungkin mengakibatkannya terjebak ke lembah maksiat atau kejahatan.

4) Pihak qadhi atau hakim pula diberi mandat (kuasa) untuk menyelesaikan kes dalam mahkamah sekiranya suami enggan ‘bersama’ dengan isterinya semula dan tidak mahu membayar kifarah, selepas ia meng-ila’ isterinya.

5) Salah satu jalan yang terbaik terutama bagi suami yang telah meng-ila’ isterinya, kemudian enggan ‘bersama’ isterinya semula dan tidak mahu membayar kifarah, ialah dengan menjatuhkan talaq satu ke atas isterinya supaya kedua-dua pasangan terlepas daripada dosa dan perkara-perkara yang lebih buruk.

6) Kifarah yang ditetapkan dalam ila’ tidak menegaskan suami untuk membayarnya mengikut susunan bahkan dia boleh memilih satu daripada kifarah tersebut untuk membolehkannya ‘bersama’ isterinya semula dan agar terlepas daripada dosa.


qalam_azraq 26122008 10.00 am

0 comments: