CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, December 25, 2008

MUNAKAHAT - RUJU' [BAB 11]


RUJU’

TA’RIF RUJU’

Pengertian Ruju’ dari segi bahasa - kembali, balik atau pulang.
RUJU’ - Mengembalikan isteri yang telah diceraikan kurang tiga kali kepada perkahwinan yang asal dalam masa iddah dengan syarat-syarat yang tertentu.
Pengertian lain ;
1. Mengembalikan ikatan perkahwinan daripada talaq selain talaq ba’in dalam tempoh iddah.

2. Hak untuk kembali semula kepada isteri yang telah ditalaq (diceraikan) bukan dengan talaq ba’in ketika masih dalam tempoh iddah. ( Hak ar-Raj'ah )


DALIL-DALIL YANG MEMBOLEHKAN RUJU’

Ruju’ pada asalnya adalah harus. Ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Firman Allah (Surah al-Baqarah : 228) ;
Wanita-wanita yang diceraikan, hendaklah mereka menahan diri (menunggu) tiga kali quru’ (haidh atau suci), dan tidak boleh mereka menyembunyikan apa yang dijadikan Allah dalam rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan suami-suami mereka lebih berhak mengembalikan mereka (meruju’) dalam mana menanti itu, jika mereka (para suami) itu menghendaki islah (kebaikan), dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang ma’ruf, akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada (isterinya) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Firman Allah (Surah al-Baqarah : 229) ;
Talaq (yang dapat diruju’) dua kali, setelah itu boleh ruju’ lagi dengan cara yang ma’ruf atau menceraikan dengan cara yang baik, tidak boleh bagi kamu mengambil kembali dari suatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya khuatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (khulu’). Itulah hukuman-hukuman Allah maka janganlah kamu melanggarnya. Barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka adalah orang-orang yang zalim.”

Sabda Rasulullah s.a.w. ;
Telah datang kepada aku Jibril a.s. lalu berkata, “Ruju’lah Hafsah itu semula, kerana ia adalah seorang perempuan yang sangat (suka) berpuasa, sangat betul dan berpendirian teguh (kuat beribadat), dan dia adalah isteri engkau di syurga.” [HR Abu Daud dengan sanad Hasan]

Hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Umar r.a. ;
Bahawasanya (Abdullah ibnu Umar) telah menceraikan isterinya semasa isterinya sedang dalam haidh pada masa Rasulullah s.a.w. Kemudian Umar ibn al-Khattab bertanya Rasulullah s.a.w. tentang perkara tersebut, maka baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Suruhkanlah (Abdullah ibn Umar) supaya dia meruju’ kembali isterinya itu.” [HR al-Bukhari]

Berdasarkan dalil-dalil tersebut, apabila suami menceraikan isterinya yang telah dipersetubuhi dengan talaq satu atau dua, maka harus bagi suami meruju’ kembali isterinya itu semasa dalam iddah, sama ada isterinya itu redha atau tidak, kerana pada pendapat Ulama’ Hanafiah, kedua-dua pasangan adalah masih kekal sebagai suami isteri. Ini dibuktikan dengan harusnya dilakukan zihar, ila’, li’an dan boleh mempusakai antara keduanya serta boleh dijatuhkan talaq yang lain sekiranya iddah isterinya belum lagi selesai.


HUKUM RUJU’

HARUS - Secara umumnya hukum ruju’ ini pada asalnya adalah harus.

SUNAT - Sekiranya suami yang menceraikan dengan talaq bid’ie dan ruju’ itu mendatangkan kebaikan kepada kedua pasangan suami isteri.

MAKRUH - Jika sekiranya perceraian itu lebih baik diteruskan dari berbaik semula.

HARAM - Sekiranya ruju’ itu menjadi sebab bagi menyakiti atau mendatangkan kemudharatan kepada isteri tersebut, seperti tidak membuat giliran bagi suami yang berpoligami, atau lemah dari membiayai nafkah isteri.

WAJIB - Bagi suami yang menceraikan salah seorang dari isteri-isterinya jika ia belum menyempurnakan pembahagian giliran terhadap isteri yang diceraikan itu.


RUKUN RUJU’

Rukun ruju’ pada mazhab Hanafi hanya satu iaitu sighah ataupun perbuatan sahaja. Namun pada pendapat Jumhur Ulama’, rukun ruju’ itu tiga perkara iaitu ;

Ø Suami yang meruju’
Ø Isteri yang diruju’
Ø Lafaz Ruju’

SYARAT-SYARAT SUAMI YANG MERUJU’

Ruju’ merupakan suatu hak yang diberikan kepada suami untuk meneruskan atau melanjutkan (usia) perkahwinannya dengan bekas isteri yang telah diceraikannya. Ruju’ yang dimaksudkan di sini hanya berlaku ketika bekas isteri di dalam masa iddah raj’ienya.

Ruju’ itu adalah di atas kemahuan seorang suami sendiri, bukannya dipaksa oleh orang lain. Oleh kerana itu, suami yang dipaksa supaya meruju’ isterinya adalah tidak sah ruju’nya, dengan syarat paksaan itu secara zalim dan ia tidak mampu mempertahankan dirinya sendiri.

Demikian juga tidak sah ruju’ dari seorang suami yang gila. Maksudnya sebelum suami itu gila, ia telah menjatuhkan thalaq ke atas isterinya, kemudian selepas itu kebetulan suami tersebut gila semasa bekas isterinya itu sedang di dalam iddah.

Sementara bagi suami yang mabuk akibat perbuatannya sendiri, suami yang bodoh, yang sedang dalam ihram Haji atau Umrah, mengikut pandangan ulama’ ruju’ mereka adalah sah.

Disyaratkan bagi suami yang hendak meruju’ isterinya itu mesti mempunyai syarat-syarat berikut ;

q Hendaklah seorang yang telah cukup umur (baligh). Maka tidak sah ruju’ dari kanak-kanak.

q Hendaklah seorang yang sempurna akal (berakal). Maka tidak sah ruju’ yang dilakukan oleh orang gila dan orang yang tidak disengajakan mabuk, tetapi sah ruju’ bagi orang yang mabuk akibat perbuatannya sendiri.

q Hendaklah dengan pilihan hatinya sendiri (rela hati). Maka tidak sah ruju’ dengan secara paksaan.

q Hendaklah seorang yang bukan murtad. Maka jika sekiranya suami ini menjadi murtad, maka tidak sah ruju’nya itu.


SYARAT-SYARAT ISTERI YANG DIRUJU’

¨ Isteri yang diceraikan itu pernah disetubuhi. Bagi isteri yang belum pernah disetubuhi sepanjang tempoh perkahwinan, kemudian diceraikan oleh suami, maka suami tidak boleh meruju’ isterinya kembali melainkan berkahwin semula dengan isterinya dengan akad nikah yang baru (berserta mahar yang baru), kerana isteri tersebut tidak mempunyai iddah.

¨ Isteri yang diceraikan itu bukan diceraikan dengan talaq tiga, kerana perceraian talaq tiga tidak boleh diruju’ kembali, walaupun dalam masa iddah.

¨ Isteri yang diceraikan itu bukan cerai tebus talaq (khulu’), kerana perceraian dengan bayaran (tebus talaq) tidak membolehkan suami ruju’ kembali kecuali dengan akad nikah yang baru.

¨ Isteri tersebut masih berada dalam iddah iaitu bagi isteri yang telah ditalaq raj’ie (talaq satu atau / dan talaq dua). Apabila isteri yang diceraikan telah selesai menjalani iddahnya, maka suami tidak boleh meruju’ isterinya lagi kecuali dengan akad nikah yang baru.

¨ Bagi kes suami yang berpoligami (berkahwin lebih daripada seorang isteri), isteri yang diruju’ hendaklah ditentukan siapa gerangannya. Seandainya seorang suami telah menceraikan beberapa orang isterinya, kemudian ia ingin meruju’ semula salah seorang daripada isteri-isterinya itu dengan tidak menentukan yang mana satu yang hendak diruju’nya itu, maka ruju’ secara yang demikian adalah tidak sah.

¨ Isteri yang diceraikan itu halal bagi suami yang hendak meruju’. Jika sekiranya isteri yang diceraikan itu menjadi murtad (keluar daripada agama Islam), maka tidak sah ruju’ ketika isternya itu masih murtad.


SYARAT-SYARAT LAFAZ RUJU’

Terlaksananya ruju’ dari seorang yang boleh bercakap pada pendapat Ulama’ Syafi’iyah dengan perkataan sahaja, sama ada perkataan itu dengan lafaz sorih ataupun dengan lafaz kinayah.

Lafaz Ruju’ terbahagi kepada dua ;

} Lafaz Soreh : Lafaz yang terang dan jelas menunjukkan ruju’, seperti kata suami, “Saya ruju’ awak, atau saya kembalikan isteri saya kepada saya.”

} Lafaz Kinayah : Lafaz sindiran yang mempunyai erti lain dari ruju’, tetapi diwajibkan berserta dengan niat, seperti kata suami, “Saya pegang awak kembali, atau saya kahwini awak.

Di antara syarat-syarat sighah ruju’ itu ialah ;

« Hendaklah lafaz itu tanjiz (terlaksananya serta merta). Ertinya tidak digantungkan atau dikaitkan dengan sesuatu perkara (tidak bertaklik). Contohnya, suami berkata kepada isterinya, “Saya ruju’ awak kembali sekiranya awak suka.”

« Dengan tidak dihadkan atau dibataskan waktunya, seperti kata suami, “Saya ruju’ awak semula dalam masa sebulan.”

Jumhur Ulama’ pula berpendapat, terlaksananya ruju’ sama ada dengan perkataan atau dengan perbuatan, termasuk di dalam perbuatan itu berkhalwat.

Ruju’ dengan perbuatan

Iaitu dengan melakukan perkara-perkara yang mewajibkan haram berkahwin dengan sebab musaharah seperti menyentuhnya dengan syahwat dan melakukan persetubuhan walaupun pada dubur, berkucupan, bercumbuan dengan syahwat di mana-mana anggota sekalipun. Perbuatan yang dilakukan itu sama ada secara sembunyi, sedang tidur atau dipaksa melakukannya, dan sama ada dia berniat ruju’ ataupun tidak, kerana perbuatan-perbuatan tersebut menunjukkan dia telah pun gemar dan suka untuk memegang atau meruju’ semula. Tetapi ruju’ dengan melakukan perbuatan-perbuatan tersebut adalah makruh tanzih.

BEBERAPA PERKARA BERHUBUNG DENGAN RUJU’

1. Saksi dalam rujukan.

Sunat diadakan saksi bila seorang suami ingin meruju’ semula dengan bekas isterinya yang diceraikan, walaupun ada pendapat yang mengatakan wajib diadakan saksi sebagaimana pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad menurut satu riwayat. Mengadakan saksi bukanlah menjadi syarat sah ruju’, namun ia dilakukan semata-mata bertujuan untuk mengelakkan dari berlakunya pengengkaran isteri terhadap rujukan semula itu apabila selesai iddah disamping untuk menjauhi atau menghindari dari berlakunya tohmahan (atau tuduhan melulu) tentang pergaulan semula suami isteri itu.

Firman Allah (Surah at-Talaq : 2) ;
Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi yang adil di antara kamu.”


2. Tidak perlu kepada persetujuan.

Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa keredhaan perempuan tidak menjadi syarat untuk sahnya ruju’. Oleh kerana ia adalah suatu hak yang hanya dimiliki oleh suami, sama seperti dia memiliki hak untuk menjatuhkan talaq, maka untuk merujuk seseorang bekas isteri ke pangkuannya tidaklah memerlukan kepada keizinan atau persetujuan bekas isterinya asalkan dia masih berada di dalam iddahnya. Lagipun tujuannya adalah untuk mengekalkan perkahwinan yang sudah ada, bukannya mengadakan akad perkahwinan yang baru.

Ini adalah berdasarkan Firman Allah (Surah al-Baqarah : 228) ;
Dan suami-suaminya berhak meruju’nya dalam masa menanti itu (iddah), jika mereka (para suami) itu menghendaki islah (kebaikan).”

Sehubungan dengan itu, oleh sebab ruju’ bukan hak yang dimiliki oleh seseorang bekas isteri, maka akibatnya dia tidak berhak menghalang atau menyekat bekas suaminya melaksanakan haknya, iaitu merujuknya kembali ke pangkuannya selama masa iddahnya masih ada.

Konsep ruju’ juga bukan merupakan akad perkahwinan yang baru, malah ia dianggap sebagai lanjutan kepada perkahwinan yang terdahulu, maka bekas isteri yang diruju’ tidak berhak sama sekali mendapatkan mas kahwin (mahar) yang baru apabila dia telah diruju’ oleh suaminya.

Tidak disyaratkan perempuan itu tahu tentang ruju’ itu. Oleh itu adalah sah ruju’ walaupun tanpa pengetahuan isteri, kerana ruju’ itu adalah hak suami yang tidak semestinya dipersetujui oleh isterinya. Namun begitu adalah sunat memberitahu isterinya untuk mengelak isterinya daripada berkahwin lain selepas iddahnya dan dibimbangi dari berlakunya pertelingkahan di kemudian hari.

Walau bagaimanapun, seandainya sesudah diruju’, masih terdapat sebab-sebab yang tidak memungkinkannya untuk meneruskan hidup bersama-sama bekas suaminya itu, maka harus dia mengemukakan tuntutan supaya difasakhkan perkahwinannya.


3. Meruju’ isteri ketika dalam haid.

Tidak menjadi suatu tegahan untuk meruju’ seseorang bekas isteri ketika dia sedang berada dalam masa haidnya, tetapi suami tidak diharuskan (ditegah) menyetubuhinya kecuali apabila isteri itu telah suci daripada haid.

Firman Allah (Surah al-Baqarah : 222) ;
Maka hendaklah kamu menjauhkan diri dari orang-orang perempuan (iaitu isteri-isteri kamu) ketika mereka berhaid dan janganlah kamu menghampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.”

4. Meruju’ dengan perbuatan.

Salah satu rukun ruju’ ialah sighah (lafaz ruju’). Ini bererti bahawa meruju’ bekas isteri tanpa sighah, sama ada soreh atau kinayah (dengan niat ruju’), sama sekali tidak sah menurut pendapat Mazhab Syafi’ie. Hal ini disebabkan perkahwinan yang diuraikan ikatannya oleh talaq telah berlangsung menerusi ucapan, maka untuk mengikatnya kembali mestilah juga dengan ucapan. Lantaran itu perbuatan menyetubuhi bekas isteri atau beristimta’ sebelum diucapkan lafaz ruju’ adalah satu perbuatan yang haram dan tidak dianggap sebagai ruju’. Tegasnya di dalam mazhab Syafi’ie tidak ada rujukan menerusi perbuatan.

Sementara menurut pendapat para ulama’ dari mazhab yang lain - Ruju’ melalui perbuatan adalah harus dan sah, seperti tindakan suami menyetubuhi bekas isterinya atau hanya sekadar bercumbuan dengannya. Pada pendapat Imam Abu Hanifah pula, apabila sahaja suami itu berkhalwat (duduk berdua-duaan) dengan bekas isterinya, maka dia dihukum sebagai telah merujuk bekas isterinya.

Ini berdasarkan Firman Allah (Surah al-Baqarah : 228) ;
Dan suami-suami mereka lebih berhak untuk kembali kepada mereka.”
Di dalam ayat tersebut, menurut mereka tidak ditentukan ruju’ itu sama ada dengan perkataan atau dengan perbuatan.


5. Meruju’ dengan surat.

Ruju’ dengan cara menulis surat adalah sah dengan syarat hendaklah dibaca terlebih dahulu oleh suami yang menulisnya sebelum dikirimkan kepada bekas isterinya. Jika dibaca terlebih dahulu maka ia menjadi sama seperti ucapan ruju’ yang soreh. Namun begitu jika tidak dibaca, hanya disertakan niat dan qasad ruju’, maka ruju’ secara yang demikian dikira seperti lafaz kinayah yang memerlukan niat.


6. Ruju’ dari suami yang bisu.

Ruju’ dari suami yang bisu dengan menggunakan bahasa isyarat yang boleh difahami oleh semua lapisan masyarakat adalah sah dan dikira sama seperti lafaz soreh. Namun begitu seandainya isyarat tersebut hanya difahami oleh orang yang tertentu maka dikira seperti lafaz kinayah dan memerlukan niat.

BEBERAPA MASALAH BERHUBUNG DENGAN NIKAH SELEPAS TALAQ TIGA


' Sekiranya perkahwinan suami yang kedua itu disyaratkan bercerai setelah disetubuhi, maka perkahwinan itu tidak sah jika syarat itu disebut di dalam akad. Sebaliknya kalau syarat tersebut dibuat sebelum akad perkahwinannya, maka hukumnya adalah sah tetapi perbuatannya makruh.

' Jika di dalam akad perkahwinan suami yang kedua itu, pihak isteri mensyaratkan bahawa suami yang kedua itu tidak boleh menyetubuhinya, maka perkahwinan itu tidak sah, kerana syarat tersebut adalah bertentangan dengan maksud perkahwinannya. Sebaliknya jika syarat tersebut dibuat oleh pihak lelaki, perkahwinannya itu sah, kerana suami berhak sama ada ia mahu menyetubuhinya atau tidak, sedangkan isteri adalah berkewajipan untuk menyerahkan dirinya kepada suami.

' Dakwaan isteri yang ditalaq tiga diterima dengan syarat ia bersumpah bila ia mengaku yang ia telah berkahwin dengan seorang yang lain serta telah melakukan persetubuhan dengan suami tersebut, kemudian diceraikan dan telah pun habis menjalani iddahnya. Sekiranya di antara jarak masa ia diceraikan thalaq tiga dulu dengan tempoh masa perceraiannya dengan suami kedua itu adalah munasabah, maka bekas suaminya yang pertama diharuskan berkahwin semula dengan bekas isterinya dengan akad nikah dan mahar yang baru (mengikut rukun-rukun dan syarat-syarat nikah yang asal).

HIKMAT RUJU’

Islam sangat mengharapkan perpaduan dan kebahagiaan sesuatu perkongsian rumahtangga sehingga dibenarkan kembali semula seperti perceraian yang cukup tiga kali dan masih belum selesai tempoh iddah isteri yang diceraikan. Kemudian apabila berlaku perceraian kali yang ketiga, maka tidaklah dibenarkan kembali semula sehingga memenuhi syarat-syaratnya. Dengan keadaan yang tersebut dapatlah masing-masing merasai betapa pahitnya peristiwa-peristiwa yang berlaku ke atas diri mereka, dengan itu boleh memberi kesedaran serta keinsafan dalam membina rumahtangga yang aman bahagia.

Kebenaran ini juga memberi peluang kepada suami untuk memerhatikan tentang bekas isterinya dan memikirkan tentang baik buruknya ruju’ semula itu, maka jika dia berfikir ada baiknya kembali semula, maka hendaklah dia ruju’ sebelum selesai iddah isterinya, manakala jika sekiranya tidak ruju’ itu lebih baik, maka hendaklah dia teruskan tidak meruju’ kembali sehingga selesai iddahnya.

Sebagai rumusan, di antara rahsia dan hikmat mengapa ruju’ itu diharuskan oleh syara’ ialah ;

È Perceraian biasanya terjadi disebabkan krisis yang membawa kepada keretakan hubungan suami isteri. Maka ruju’ boleh menghapuskan segala masalah dalam krisis dan merapatkan kembali hubungan suami isteri dengan semangat baru.

È Perceraian mengakhiri perjalanan hidup rumahtangga, sementara ruju’ membolehkan suami isteri meneruskan semula perjalanan tersebut bagi memenuhi cinta dan impian membangunkan keluarga bahagia.

È Perceraian menjadikan rumahtangga porak-peranda dan banyak memberi akibat buruk kepada suami isteri dan anak-anak. Ruju’ pula dapat menyelamatkan rumahtangga dan menyelamatkan suami isteri dan anak-anak daripada gejala-gejala buruk yang akan menimpa mereka.

È Perceraian menyebabkan hubungan keluarga suami isteri menjadi renggang, sedangkan ruju’ dapat mengukuhkan ukhuwah Islamiah di kalangan keluarga yang berkaitan.

È Perceraian dan segala perkara yang menjadi puncanya adalah menjadi rancangan syaitan yang dikendalikan oleh rajanya yang bernama Thabar dan hasil perceraian merupakan tanda kejayaannya. Maka ruju’ merupakan tindakan menentang segala rancangan syaitan dan menggagalkannya.

È Memberikan ketenangan jiwa kepada suami dan isteri yang tertekan akibat perceraian. Lazimnya, jiwa orang yang bercerai diselaputi oleh sifat negatif seperti marah, dendam dan benci, liar dan bengis. Ruju’ menghapuskan sifat-sifat tersebut dan menggantikannya dengan sifat positif seperti pemaaf, bertolak ansur, bertimbangrasa, kasih sayang dan bertanggungjawab.

È Memberi keinsafan dan rasa tanggungjawab kerana banyak kesan negatif akibat perceraian seperti anak-anak terabai, tidak mendapat kasih sayang serta hilang tempat bergantung. Justeru itu, ruju’ selepas perceraian menjadikan suami isteri lebih memahami antara satu sama lain dan lebih matang untuk hidup bersama dalam suasana yang ceria.

È Sesuai dengan tabiat semulajadi manusia iaitu dapat membetulkan kesilapan masing-masing dan membina kembali kerukunan rumahtangga. Dengan keharusan ruju’ boleh mengajar suami isteri tahu menghargai kehadiran, sumbangan dan nilai masing-masing dan mereka menyedari bahawa mereka saling perlu memerlukan.

È Memberi peluang sekali lagi kepada pasangan untuk memulakan kehidupan sebagai suami isteri. Lantaran ruju’ sebenarnya memberi erti sebuah perkahwinan dan hidup berkeluarga.

È Menyatukan semula keluarga. Ruju’ dapat mengembalikan hubungan kekeluargaan antara anak-anak dengan ibu dan ayah, dan juga antara keluarga suami dengan keluarga isteri yang terputus akibat perceraian.


JENIS PERCERAIAN YANG TIDAK BOLEH DIRUJU’

1. Talaq tiga yang juga disebut sebagai Talaq Ba’in Kubra.

2. Isteri yang diceraikan dan belum pernah disetubuhi.

3. Perceraian dengan cara khulu’ (tebus talaq).

4. Perceraian dengan cara fasakh (pembatalan perkahwinan), disebabkan aib atau sakit yang tidak memungkinkan hubungan kelamin berlaku, sakit yang tiada harapan sembuh atau berbahaya seperti AIDS.

5. Perceraian yang dilakukan oleh majlis tahkim disebabkan syiqaq iaitu krisis rumahtangga yang berterusan.

qalam_azraq 25122008 10.45pm

0 comments: