CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, September 24, 2008

MU’AMALAT - BAB 4 [KHIYAR]

KHIYAR

MUQADDIMAH

Dalam Islam, perniagaan adalah merupakan salah satu manifestasi pekerjaan yang sangat digalakkan lantaran Rasulullah s.a.w. sendiri semasa mudanya menjadikan perniagaan sebagai salah satu pekerjaan sekaligus merupakan sumber pendapatan dan budaya kehidupan masyarakat Arab di zaman baginda.

Perniagaan adalah merupakan suatu usaha untuk memenuhi keperluan individu dan masyarakat. Perniagaan dalam Islam juga adalah sebahagian daripada kegiatan kemayarakatan (sosio-ekonomi) dengan matlamat untuk mendatangkan kesejahteraan, kebahagiaan dan keredhaan Allah s.w.t. Justeru itu Islam mengharuskan dan menggalakkan umatnya berniaga mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh syara’.

Di antara lain tujuan perniagaan ialah ;
(i) salah satu cara untuk mendapatkan harta yang halal.
(ii) meningkatkan modal pengeluaran.
(iii) mendapatkan keuntungan.
(iv) memberi kepuasan kepada pelanggan.

Rasulullah s.a.w. meletakkan kedudukan orang yang berniaga di tempat yang tinggi sepertimana sabda baginda ;
“Peniaga yang jujur dan amanah akan ditempatkan bersama-sama para Nabi, orang yang saleh dan para syuhada’.”

Setiap individu adalah bebas dalam urusan hal ehwal jualbeli. Tidak ada salah satu pihak pun yang memaksa sama ada untuk menjual atau membeli. Di antara lain, kebebasan tersebut bertujuan untuk :
>> Memastikan jualbeli dilakukan dengan pilihan sendiri (sukarela)
>> Mengelakkan unsur-unsur negatif dalam jualbeli seperti penipuan, riba.
>> Memberi kepuasan kepada kedua belah pihak
>> Memudahkan perpindahan hak milik berlaku dengan adil
>> Mewujudkan hubungan harmoni antara penjual dan pembeli
>> Menanamkan sikap jujur, ikhlas dan amanah

Bagi mencapai tujuan ini, Islam menyediakan satu peraturan dalam akad jualbeli yang dikenali dengan perkataan KHIYAR.

PENGERTIAN

Adapun maksud khiyar dari segi bahasa ialah pilihan. Sementara dari segi istilah syara’ ialah satu konsep pembelian yang dilakukan oleh pembeli dan penjual sama ada untuk meneruskan jualbeli yang telah dipersetujui atau membatalkannya (ditarik balik atau tidak jadi berjualbeli).

HIKMAT DIHARUSKAN KHIYAR

1. Ingin memberi peluang kepada penjual dan pembeli untuk membuat pilihan sama ada untuk meneruskan proses akad jualbeli atau membatalkannya.

2. Untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang penipuan dalam akad jualbeli.

3. Untuk memberi kepuasan sepenuhnya terhadap pihak yang menerima barangan dan juga penjual.

4. Memberi peluang kepada pembeli atau penjual atau kedua-duanya agar sentiasa bersikap berhati-hati dan berfikir sama ada sebelum atau semasa melakukan sesuatu urusan akad jualbeli antara mereka.

5. Mengelakkan dari penyesalan di kemudian hari akibat tertipu.

6. Khiyar merupakan salah satu cara jualbeli yang boleh dibatalkan untuk menjaga kepentingan penjual dan pembeli.

HUKUM KHIYAR

Khiyar adalah diharuskan oleh syariat Islam supaya kedua-dua belah pihak dapat membuat keputusan setelah dipertimbangkan dengan cara yang baik agar tiada pihak yang akan menyesal atau merasa tertipu setelah terlaksana jualbeli.

JENIS-JENIS KHIYAR

1. Khiyar Majlis
Pembeli dan penjual dibolehkan memilih samaada meneruskan urusan jualbeli atau tidak jadi jualbeli tersebut selama kedua-duanya masih berada di tempat akad jualbeli.

Menurut pendapat Jumhur ulama’ Syafi’e dan Hanbali, hukum Khiyar Majlis adalah HARUS.

Sabda Rasulullah s.a.w. :
Penjual dan pembeli diharuskan pilih memilih sama ada meneruskan jualbeli mereka atau tidak, selama kedua-duanya belum berpisah dari tempat akad. [HR al-Bukhari dan Muslim]

Adapun maksud ‘berpisah dari tempat akad’ itu ialah :

o Mengikut adat kebiasaan, sekiranya kedua-dua penjual dan pembeli sudah berpisah, maka tidak boleh khiyar lagi.

o Seandainya kedai itu kecil, maka dianggap selesai khiyar apabila pembeli keluar sahaja daripada kedai tersebut.

o Sekiranya kedai itu terlalu besar atau di suatu tempat yang lapang, seperti jualan di padang atau sebagainya, maka tidak boleh khiyar lagi setelah berpaling atau beredar dua tiga langkah daripada tempat tersebut.

2. Khiyar Syarat

Kedua-dua penjual dan pembeli atau salah seorang dari keduanya membuat syarat di waktu akad. Seperti kata pembeli, “Saya beli barang ini dengan harga sekian dengan syarat khiyar dalam tempoh tiga hari atau kurang dari tiga hari.”

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa Khiyar Syarat adalah HARUS hukumnya kerana ia merupakan suatu keperluan bagi pembeli.

Sabda Rasulullah s.a.w. :
Rasulullah s.a.w. bersabda kepada seorang lelaki, “Engkau boleh khiyar pada semua jenis barang yang engkau telah beli selama tiga hari tiga malam.” [HR al-Baihaqi dan Ibnu Majah]

Dari hadith yang tersebut di atas, semua jenis jualan boleh dilakukan khiyar kecuali jualan barang-barang yang mesti terima menerima di tempat akad (proses penyerahan barang semasa akad) seperti barang-barang ribawi (barang-barang yang ada padanya riba).

Sehubungan dengan itu, Khiyar Syarat ini diharuskan pada setiap yang dinamakan jualbeli kecuali ;
(i) dalam perkara jualbeli yang ada riba (disyaratkan penyerahan barangan dalam majlis akad).
(ii) salam (jualan secara tempah).
(iii) as-Sarf, iaitu jualbeli mata wang (pertukaran mata wang).

Contoh bagi khiyar syarat :

(a) Amin berkata, “Aku jual mini Hi-Fi ini kepadamu dengan harga $250.00 dengan syarat khiyar selama 3 hari.

(b) Kata Salim, “Aku beli basikal mountain bike ini daripadamu dengan harga $500.00 dengan syarat khiyar dalam masa 3 hari.”


Perselisihan Pendapat Ulama’ Mengenai Tempoh Masa Khiyar & Jumlah Hari


Pendapat Ulama’ Hanafi
[Masa Khiyar] Sekiranya akad jualbeli dengan khiyar syarat tidak dinyatakan lama masa oleh penjual atau pembeli - FASID
[Jumlah hari] termasuk sebahagian ulama’ Syafi’e >> Tidak lebih daripada 3 HARI


Pendapat Imam Syafi’e dan Hanbali

[Masa Khiyar] Sekiranya akad jualbeli dengan khiyar syarat tidak dinyatakan lama masa oleh penjual atau pembeli - BATAL
[Jumlah hari] termasuk sebahagian ulama’ Syafi’e >> Mengikut persetujuan penjual dan pembeli, walaupun lebih daripada 3 hari.

Pendapat Imam Malik
[Masa Khiyar] Akad jual beli dengan khiyar syarat >> Tidak perlu kepada penentuan masa, namun begitu ia mengikut adat kebiasaan dalam masyarakat.
[Jumlah hari] >> Mengikut ‘Urf (adat kebiasaan)
Contoh :
Buah-buahan >> tidak lebih sehari
Pakaian >> dalam masa 3 hari
Tanah atau rumah >> 2 minggu atau sebulan.



Beberapa hukum

{ Dalam masa tempoh khiyar, barang jualan itu adalah milik orang yang mensyaratkan khiyar, samaada dari pihak penjual maupun pembeli. Namun begitu, kalau sekiranya kedua-dua penjual dan pembeli itu sama-sama mensyaratkan khiyar, maka barang jualan itu tidaklah milik sesiapapun dari keduanya. Bahkan tergantung begitu sahaja sehingga barang itu jadi diteruskan beliannya, maka ketika itu barulah tetap menjadi milik pembeli. Sebaliknya andainya jualan itu tidak jadi diteruskan oleh pembeli, maka barang itu menjadi milik penjual semula.

{ Jual beli yang diteruskan atau tidak, mestilah dengan lafaz yang jelas menunjukkan jadi atau tidak jual beli itu. Sebagai misalan, kata pembeli, “Saya teruskan membelinya.” Atau “saya fasakhkan jualbeli ini.”

{ Mempergunakan barang jualan di masa tempoh khiyar seperti dijual, disewa, dihibahkan (diberikan) dan sebagainya. Sekiranya dilakukan oleh penjual bererti membatalkan jualan itu, dan seandainya dilakukan oleh pembeli bererti pembeliannya terlaksana dan jadi.

3. Khiyar ‘Aib

Maksud Aib ialah cacat atau rosak barang yang dibeli.

Pembeli berhak mengembalikan barang yang terdapat kecacatan atau meminta harganya dikurangkan, sedangkan biasanya barang yang seumpama itu adalah baik dan di waktu akad, kecacatan itu sudah pun ada cuma pembeli tidak mengetahuinya ataupun kecacatan itu berlaku setelah akad tetapi belum diterima oleh pembeli.

Adapun hukum Khiyar ‘Aib mengikut pendapat jumhur ulama’ adalah HARUS.

Sabda Rasulullah s.a.w.
Aisyah telah meriwayatkan, bahawa seorang lelaki telah membeli seorang budak (hamba), budak itu tinggal beberapa lama dengannya kemudian kedapatan bahawa budak itu ada cacatnya. Lelaki itu terus membawakan hal tersebut kepada Rasulullah s.a.w. kemudian budak itu dikembalikan semula kepada penjualnya. [HR Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmidzi]

Hadith lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah :
Orang Islam adalah saudara orang Islam yang lain. Tidak halal (haram) menjual kepada saudaranya barang yang ada kecacatan, melainkan ia telah jelaskan.


SYARAT SABIT KHIYAR AIB

1. Terdapat kecacatan atau aib sebelum akad atau selepas akad ataupun sebelum diserahkan barangan kepada pembeli. Sekiranya berlaku kecacatan atau aib selepas barang tersebut diserahkan kepada pembeli, maka tidak boleh khiyar.

2. Pembeli tidak mengetahui adanya kecacatan ketika berjualbeli. Seandainya pembeli mengetahui ada kecacatan, namun ia mengambil dan membeli juga barang tersebut, maka tidak boleh khiyar lagi kerana dianggap ia redha.

3. Penjual tidak mensyaratkan tanggungjawabnya pada kecacatan barangan yang dijualnya. Andaikata ia mensyaratkan demikian, maka tidak ada khiyar oleh pembeli. Walau bagaimanapun, ulama’ berselisih pendapat tentang penjual yang melepaskan tanggungjawab terhadap barang yang aib, iaitu :

™ Pendapat Imam Hanafi - SAH jual beli tersebut.

™ Pendapat Jumhur ulama’ (pendapat Syafi’e, Maliki dan Ahmad Ibn Hanbal) - mesti diketahui oleh pembeli semasa akad jualbeli.

Ø Sekiranya penjual tidak mengetahui ada kecacatan pada benda atau barangan yang dijual itu, dan dia menetapkan terlepas tanggungjawab terhadap kecacatan itu - SAH jual beli.

Ø Sekiranya penjual mengetahui ada kecacatan pada benda atau barangan yang dijual itu, namun dia menetapkan terlepas tanggungjawab terhadap kecacatan itu - TIDAK SAH jual beli.

4. Kecacatan pada benda atau barang yang dijual beli tidak hilang sebelum dibatalkan jualbeli.

PENGECUALIAN DAN GUGURNYA KHIYAR AIB

1. Pembeli sudah mengetahui ada aib atau kecacatan pada barang yang diibelinya, namun ia menerima juga barang tersebut.

2. Meluputkan hak khiyar, sebagai contoh pembeli berkata, “Aku tidak mahu khiyar walaupun barang ini cacat.”

3. Terdapat kecacatan baru yang disebabkan oleh pembeli. Seperti barang yang dibeli sudah cacat, tetapi menimbulkan kecacatan yang lain pula dengan sebab kecuaian pembeli sendiri.

4. Barang yang dibeli bertambah sama ada bertambah yang boleh dipisahkan atau tidak boleh dipisahkan.

Sebagai contoh, seorang perempuan membeli baju yang pudar warnanya, kemudian dicelupnya dengan warna yang terang. Maka pertambahan tersebut tidak boleh dipisahkan dan tidak boleh khiyar. Pertambahan yang boleh dipisahkan iaitu seperti seorang lelaki membeli ibu kucing yang bunting yang cacat. Tidak lama kemudian, kucing tersebut beranak. Pertambahan dengan sebab kelahiran anak kucing itu juga tidak boleh khiyar (tidak boleh dipulangkan kepada penjual semula).


BEBERAPA HUKUM BERHUBUNG DENGAN KHIYAR AIB

' Kecacatan yang terjadii sesudah akad, sebelum barang itu diterima oleh pembeli adalah masih di bawah tanggungjawab penjual.

' Sekiranya barang yang dijual itu berada di tangan pembeli, ia boleh dikembalikan serta diminta wang harganya kembali.

' Mengembalikan barang yang cacat itu mestilah dengan segera. Jikalau dilambat-lambatkan, bermakna pembeli sukakan barang tersebut. Segera yang dimaksudkan di sini adalah menurut adat kebiasaan. Kalau ditakdirkan waktu itu sedang masuk waktu sembahyang, pembeli boleh menunaikan sembahyang terlebih dahulu. Ataupun sekiranya di waktu malam, yang agak sukar dan susah untuk dipulangkan, bolehlah memulangkan barang tersebut pada keesokan harinya.

KESIMPULAN

Membuat pilihan untuk membeli sesuatu barangan adalah merupakan hak bagi pembeli. Namun begitu, seringkali terjadi pembeli tidak mengambil berat tentang hak seperti ini. Mereka kadangkala terpengaruh dengan iklan atau pujukan penjual yang ingin mengambil kesempatan terhadap pembeli dengan menawarkan pelbagai barangan dengan harga murah.

Lantaran itu, pembeli haruslah berhati-hati di dalam membuat pilihan dan keputusan yang tepat agar mereka tidak terpedaya dengan tawaran harga-harga yang dipamerkan oleh pihak penjual. Para pembeli perlu mengambil kira spesifikasi setiap barangan yang dijual di mana-mana saja seperti jenis barang yang dijual, rupa dan warnanya, jenama barang, kegunaannya, kualiti barangan, bentuk, saiz dan timbangan, dan harga yang berpatutan dengan barang yang dijualbeli.

Secara globalnya, dengan adanya keharusan khiyar di dalam jualbeli, pembeli atau pengguna dapat memiliki barangan yang berkualiti sekaligus mendapat kepuasan setara dengan harga yang dibayar oleh mereka.
qalam_azraq, 24092008 / 9.15am

0 comments: